Ads 468x60px

Hantu Sungai & Misteri Keriangan di Gunung Berkelah

Hari khamis yang lalu, saya bersama 3 orang rakan ber-rehlah di Gunung Berkelah, Pahang. Aktiviti begini memang hobi saya sebulan sekali. Ni lah masanya nak tenangkan fikiran dan bersuluk. Setiap hari dok dengar hingar bingar fenomena bandar, nak juga berehat bersama alam semulajadi.

Hari pertama
Kami sampai di kaki bukit sekitar pukul 5 petang. Selepas meletakkan kereta di kawasan yang sesuai, kami mulakan pendakian. Memang tak lupa pada petua guru setiap kali mahu meninggalkan kenderaan pada masa yang lama.

Caranya... saya bacakan doa pemagar pada seketul batu dan letakkan ditengah-tengah bumbung kereta. Kemudian saya buat Pagar 4 Al-Ikhlas serta qasadkan agar kereta dilindungi Allah dari kecurian atau sebarang bencana.

Trak awal pendakian tidaklah susah kerana laluan pendakian sudah disediakan oleh kerajaan Negeri Pahang..Terima kasih pada pihak yang bermurah hati menyediakan laluan tersebut.



Level 1 - Gunung Berkelah
Namun, untuk sampai ke level 2 pergunungan, pendakiannya agak mencabar. Jika dilihat pada ketinggiannya, orang yang berbadan besar memang susahla nak mendaki..Tapi syukur, sampai juga kami di level 2. Oleh kerana saya terlupa laluan asal (pernah datang ke sini sekitar 5 tahun yang lalu), kami mendaki di kawasan yang curam laluannya. Hari dah semakin gelap. Kami pada masa itu masih di dalam hutan yang dikelilingi pokok buluh dan tanah jerlus. Hati semakin bimbang dengan keadaan tempat yang didaki.. Melihat kepada jam sudah pukul 6:45pm, saya selaku ketua pasukan bercadang untuk patah semula ke level 2. dan menyeberangi sungai untuk berkhemah.

Untuk menyeberangi sungai yang deras airnya, kami bersepakat untuk menggunakan tali sebagai langkah keselamatan. Jika terjatuh dalam air yang deras tersebut, mungkin nyawa melayang kerana curam terjunan ainya setinggi 60 kaki! Kami menyeberangi sungai seorang demi seorang diketuai saya. Walaupun hari sudah gelap, perjalanan kami lancar dengan bantuan lampu suluh yang dibawa. Nasib malang menimpa sahabat kami yang terakhir bila seliparnya terjatuh ke dalam sungai dan hanyut ke bawah.

Di situ, kami pacakkan khemah dan menyediakan juadah makan malam. Nasib baiklah nasi sudah siap dibawa. Tak perlulah kami bersusah payah menanak. Malam itu, kami makan nasi putih berlauk sardin dan ikan pari bakar. Memang menyelerakan bila makan ketika lapar.

Sekitar pukul 12 malam, kami tidur merehatkan badan. Hari esok masih jauh perjalanan kami.....

Hantu Sungai Tersekat
Sekita pukul 3 pagi, saya terjaga dari lena bila terdengar suara mendengus diluar khemah. Walaupun takut, saya gagahi untuk mengintai dari celah pintu khemah. Takut juga kalau Sang Belang yang menyinggah....

Dari celah pintu khemah, saya melihat makhluk yang kurus melidi cuba untuk masuk ke kawasan tapak perkhemahan kami. Bentuknya seakan badan manusia cuma fizikalnya agak pelik jika dilihat. Tangannya panjang mencecah lutut. Badannya pula bongkok dan mukanya panjang ke bawah. Sesekali terbau hamis seperti ikan busuk. Beberapa kali makhluk itu cuba memasuki kawasan tapak khemah kami. Saya menghela nafas dan mengucapkan syukur berulang kali. Memang setiap kali saya berkhemah, pagar 4 Al-Ikhlas tidak dilupakan. Dengan izin Allah, kawasan perhemahan tidak terancam.. Saya menyambung tidur selepas makhluk tersebut beredar. Alhamdulillah..

Hari Kedua
Kami bersarapan pagi dengan air teh-o dan maggi goreng. Pendakian dimulakan seawal jam 9 pagi. Kali ni perjalanannya memang mencabar. Syukur pada Allah sekali lagi bila trak pendakian yang sebenar rupanya perlu dimulai dari tapak kami berkhemah. Kalau ikut laluan asal semalam, jawabnya tak sampai kami ke destinasi...

Sepanjang pendakian, ada 3 aras laluan bahaya yang perlu ditempuhi. Aras 5 terletak di kawasan berbatu yang punyai jurang setinggi 100 kaki. Mujurlah tali dibawa. Sekali lagi tali tersebut diguna sebagai alat bantuan pendakian. Dah macam rembo lagaknya...

Aras 6 pula terletak di lereng air terjun yang laluannya hanya boleh dilalui secara mengiring.Tiada tempat berpaut boleh kami gunakan sepanjang 5 meter laluan tersebut. Jika dilihat pada jurang ditepi laluan, lemah sendi dibuatnya. Saya pula memang fobia pada ketinggian....Mujurlah ada dikalangan sahabat kami yang kurus badannya. Setelah dia mendaki dikawasan tersebut, beg dan alatan dihulur padanya untuk memudahkan kami yang lain mendaki..Sekali lagi kami berjaya melalui cabaran tersebut.

Aras 7 pula terletak dilereng bukit tanah merah. Di sini juga kami menjumpai tapak Sang Belang.. Risau jugaklah dibuatnya..Laluan ini perlu melompat jika hendak ke seberang. Ditambah pula dengan laluanya berada di bawah seketul batu yang besar. Kami kena melompat secara membongkok! Mujurlah ada sebatang pokok di tengahnya. Kami bertaut pada pokok tersebut dan melompat ke seberang. Sekali lagi kami mengucapkan syukur kerana berjaya melalui laluan bahaya tersebut.

Destinasi
Kami akhirnya sampai di Aras 8 sekitar jam 1 petang. Memang itulah destinasi kami. Di kawasan itu, terletaknya air terjun setinggi 150 kaki yang mengalir ke dalam kolam batu seluas 4 padang futsal. Memang cantik pemandangannya. Namun, kami terasa hampa kerana keadaan gelora airnya yang laju boleh membahayakan diri jika tapak khemah dibuat di situ. Memang silap kami kerana mendaki di musim tengkujuh...Padan muka kami...hahahahaahah




Aras 8 Gunung Berkelah



Kami ambil keputusan berkhemah di kawasan bawah. Memang keselamatan kami terjamin jika berkhemah di situ, tapi bekalan air pula yang menjadi masalah kerana jaraknya jauh dan menjunam. Sekali lagi kami bersyukur kerana CoolBox besar yang dibawa boleh kami jadikan tempat simpanan air. Kami pastikan air ditakung sebelum malam untuk kegunaan masakan, wudhuk dan minuman.






Misteri Keriangan di malam hari
Malam itu, kami menjamu selera dengan ayam goreng, sosej, daging burger dan maggi. Memang melantak habis..Mungkin nak cover penat mendaki siang tadi.

Sekitar jam 11 malam, saya terdengar suara sekeluarga mandi di air terjun tersebut. Ada suara kanak-kanak, ibu dan bapa..Macam sekeluarga.. Memang hairan bila mendengar suara sebegitu. Tapak perkhemahan kami adalah satu-satunya tapak yang boleh dipacakkan khemah. Lagipun air deras dan dalam. Kanak-kanak memang mustahil untuk dibawa ke Aras 8 Gunung Berkhelah kerana laluan perjalanannya sukar dan merbahaya. Tiada pula saya lihat cahaya pelita atau lampu di kawasan perkhemahan selain tapak kami.. Siapa la tu?

Saya bertanyakan pada sahabat yang lain dan mereka juga mendengar bunyi yang sama. Dipendekkan cerita, kami bersepakat buat tak tahu jer dengan bunyi tersebut. Dah masuk hutan katakan, macam-macam leh jumpa dan dengar. Bukan nak kacau orang pun..Kami datang nak beriadah...Biarkanlah..

Selipar yang hanyut dijumpai
Kami mulakan perjalanan pulang sekitar jam 9 pagi selepas bersarapan dengan nasi goreng dan sosej bakar. Perjalanan turun sepatutnya separuh dari masa pendakian, tapi oleh kerana banyak aras yang kami singgah untuk bergambar dan mandi manda, kami sampai di aras 1 sekitar jam 1 petang. Di situlah sahabat kami berteriak keriangan bila sebelah seliparnya yang dihanyutkan air pada hari pertama dijumpai semula dicelah batu. Memang seronok tengok lagaknya. Macam tak pernah jumpa selipar....

Kami sampai di kaki bukit sekitar jam 3 petang dan berkemas pulang. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat pergi dan selamat pulang. Bulan depan, tiada perancangan destinasi pendakian ditetapkan..Tapi memang akan ada pendakian..Bila dan dimana, belum ditentukan...Insyaallah
 
Blogger Templates