Ads 468x60px

Jin Silat

RIDAM didatangi pesakit yang disahkan gila bersama ayah dan pakciknya.Dari pemerhatian saya sepanjang perbualan kami sebelum berubat, dia dikategorikan mengidap penyakit skizofrenia dalam istilah perubatan moden.

Saya bertanya perihal dirinya satu persatu-satu. Mengikut katanya, dia khatam dalam 3 seni silat. Satu daripadanya diperolehi dari mimpi. Mimpi? Wah! itu lebih teruja untuk saya bertanya selanjutnya pada pesakit.

Pesakit mengatakan bahawa dia bermimpi bertemu neneknya yang berpakaian ala-ala pendekar melayu yang berlilit kain kuning di kepala dan pinggang.Hanya dengan satu malam dia bermimpi, dia berupaya mengingat kesemua langkah tari dan gerak silat. Memang pesakit seorang yang handal. Seorang guru pernah ditumpaskan dengan mudah.
Ada satu lagi kisah dari pakciknya, pesakit pernah menampar seekor lembu hingga pengsan si haiwan tersebut. Kemudian diangkatnya balik ke rumah. Kecoh sekampung dibuatnya.

Lanjutan jawapan dari pesakit ialah mengamalkan ayat kunci pukul yang mana ianya terdiri dari sebahagian ayat Al-Quran yang tidak lengkap. Setelah disemak, makna sekerat ayat yang diamalkan ialah memuja Abu Lahab laknatullah dan pohon binasa bersama-sama! Kan haru biru jadinya..

Seperti rawatan yang lalu, saya memulakan rawatan rukyah sebagai ikhtiar awal sebelum beralih ke teknik lain. Dari situ, pesakit mengadu kepanasan di bahagian badan dan kemudiannya beransur hilang sebaik sahaja sesi rukyah tamat.
Dari pandangan kebatinan semasa saya merukyah, saya (dengan izin Allah) melihat seorang nenek yang berpakaian silat seperti yang diceritakan. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh memandang saya dengan renungan yang tajam.

"Siapa kamu wahai hamba Allah?" saya bertanya padanya.

"Aku Wan budok ni. Toksoh nok hambak aku la. Mu tok padan Ustaz Mudo eh", ujarnya sinis. Jari telunjuknya diangkat tegak dengan menghala pada saya sebagai tanda amaran.

Melihat kepada ketidak-kesudiannya untuk bekerjasama, saya bacakan ayat kunci 3 kali dan hentakkan tumit kanan ke tanah. Penumbuk tangan kanan saya genggam sambil membaca doa hajat pelindung diri.

"Aku tanya elok, kau jawab lebih kurang!", seraya itu saya halakan tapak tangan padanya. Saya bacakan ayat dalam surah Al-Fill sambil qasadkan bahawa ada segenggam api ditangan. Maka, saya lontarkan kepadanya. Dia mengelak, namun terkena sedikit di bahagian belakang badannya. Kelihatan asap hitam keluar dari tempat sakitnya.

"Celaka mu Ustaz! Mu ingat aku ni apa?! Nih Wan Silat! Tak ada siapa boleh kalahkan aku!", jeritnya mendabik dada.

Saya hanya tersenyum memandangnya. "Tiada yang lebih hebat kecuali Allah!", maka saya bacakan pula ayat tanzir dan tiup ke arahnya. Kesan dari serangan itu, berguling-guling dia kebelakang.

"Ilmu apa kau pakai ni hah! Sakit tau tak?!", jeritnya sambil menahan sakit.
"Ooooo...tahu pulak sakit? Tadi berlagak sangat. Nak lagi?", sindir saya sinis. Jenis begini elok saya bangkitkan marahnya. Lagi marah, lagi nampak kelemahannya.

Dia bertukar wajah. Kelihatan gigi rongak dimulutnya. Hidungnya macam hidung tapir. Sesekali terbau nanah yang busuk. "Ni baru lawan kau! Tadi bukan main lagi. Ambik ni!", kata-katanya disertakan dengan serangan angin yang mengena tapak tangan kanan saya.

Memang saya merasa pedih dan berdenyut-denyut pada tangan. Badan juga terasa pijar akibat serangan tersebut. Lalu, saya bacakan Bismillah 5 dengan disertakan selawat syifa' sambil membuat jurus penyembuh pada diri. Alhamdulillah, kesakitan yang dialami beransur perlahan-lahan.

"Wahai Jin kafir laknatullah! Kulluhum ajal!", saya lanjutkan dengan zikir terakhir ayat 4 berulang kali. Kelihatan dia berguling kesakitan. Kadang-kadang kedengaran dia meminta simpati.

Ah! dah memang dasar jin. Jangan tertipu dengan pujuk rayunya.

Saya membuat sfera kurungan dengan membaca yasin:9 sebanyak 7 kali. Setelah itu, saya halakan ke arahnya. Maka terperangkaplah dia di dalam bulatan tersebut.

"Selepas ini, akan ku pindahkan ka ke tempat yang lebih baik. Bukan kuasa aku untuk membunuh kerana kau juga adalah makhluk. Moga dosa mu diampuni Allah...".

Dia hanya diam terduduk. Sugul keadaan dirinya.

Saya tersedar dari pandangan batin. Berulangkali saya beristighfar. Syukur kerana masih di alam sedar.

Dengan menggunakan telur rukyah yang dibaca, saya tarik perlahan-lahan dari arah dadanya. Kemudian saya pasung dengan paku yang sudah dibaca dengan ayat tanzir. Jika dipegang telur pasung sesudah itu, terasa hangat di tapak tangan. Saya juga meletakkan tapak tangan di dadanya. Berulang kali saya membaca ayat hati Quran sambil membuangnya ke sungai secara batin. Moga dengan izin Allah, amalan salahnya dapat saya buang. Moga kukuhlah syariatnya.

Pesakit disuruh mengucap dengan lafaz yang terang dan jelas. Alhamdulillah, siapa saja ada disitu dapat melihat perubahannya. Wajahnya lebih bersih dan ceria. Tiada lagi perwatakan murung seperti sebelumnya.

Saya bekalkan minyak zaitun, limau untuk mandian, atar kasturi dan air rukyah bagi rawatan susulan di rumah. Semoga kesembuhannya kekal dan mendapat lindungan rahmat Allah.

Hal pandangan makrifat memang sukar dijelaskan berbanding pandangan hakikat. Jika yakin kita pada kuasa Allah, tiada yang mustahil berlaku di alam dunia ini. Wallahu'alam.
 
Blogger Templates