Ads 468x60px

Mayat Bangun Berdiri

Sekitar umur saya 15 tahun, saya pernah diajak arwah guru saya ke Gunung Tebu, Jertih, Terengganu.Tujuan kami ke sana adalah untuk mencari akar kayu dan herba, khasnya bunga orkid hutan bagi membuat makjun.

Bersama guru, abang Jak dan saya, kami memulakan pendakian sekitar jam 9 pagi. Walaupun seharian berjalan, barang yang dihajati masih tidak ditemui. Lalu, arwah guru saya bercadang bermalam di situ setelah kata sepakat diambil. Mungkin esok rezeki kami.

Ketika bermalam bersama guru, saya perhatikan beliau tidak digigit nyamuk. Saya dan abg Jak letih menggaru menahan gigitan nyamuk hutan. Bila ditanya, petua yang guru amal amatlah mudah.

Caranya ialah dengan menggunakan batang pokok tepu yang dibelah dua. Bahagian dalamnya kemudian digosok pada badan sambil membaca selawat ke atas Nabi Nuh a.s. 'salamun 'ala nuhin fil 'alamin'. Insyaallah, dengan petua ini, tiada lagi serangan gigitan nyamuk. Lagi power dari sheltox....

Sekitar jam 11 malam, saya terdengar seperti orang berjalan. Keresahan mula terasa dan reaksi tersebut disedari guru saya. Pada itu, saya melihat guru duduk bersimpuh sambil memejam mata. Lagaknya seperti pendekar yang menunggu musuh dalam gelap.

"Ni bukan calang-calang 'benda' ni..!", kata guru pada kami. Seraya itu, kami diberi arahan dalam lenggok isyarat agar bersedia dengan parang dan batang rotan.

"Siapa?" tanya guru pada arah pokok tembesu. Soalan ini diulang beberapa kali..



Tiada jawapan yang didengar. Masing-masing membisu dan bersedia dengan apa yang akan berlaku.



" Mu masuk kawasan aku ikut suka hati mu jer. Mu ingat sini boleh masuk sajo-sajo jah ko?", jawab suara di sebalik pokok tembesu tersebut.


"Kawan datang bukan nak ganggu. Tapi kalu mu nak lawan khalifah Allah ni, keluarlah. Jangan jadi pengecut!", cabar guru.

Seraya itu, keluar lelaki dari balik pokok tembesu tesebut. Lelaki itu tidak berbaju dan memakai seluar pendek. Bau dari badannya macam nak muntah. Macam bau mayat. Memang saya perasan bila melihat lelaki tu. Walaupun dalam samar api pelita, mukanya berulat dan bahagian kiri pipinya dah nampak tulang.


" Jak dengan Adik(saya) dok diam-diam. Hok ni 'barang' bisa ni. Jangan putus zikir", arah guru pada kami. Kemudian, saya melihat guru membaca 'wa iza bathosh tum, batosh tum jabba rin' dan ditiup pada rotan yang dipegangnya. Tahulah saya bahawa ketika itu guru membuka amalan parang terbang.



Tanpa dijangka, lelaki itu meluru ke arah guru. Kedua tangannya mara ke leher guru. Dengan tongkat rotan yang sudah di 'isi', guru gunakan untuk menangkis tangan lawan. Tongkat guru juga sempat dihayun ke rusuk kanan seterusnya belakang lutut lawan. Setiap tujahan tongkatnya disertai dengan kalimah 'Ya Qayyum'. Terduduk lelaki tersebut menahan kesakitan.

" Mu mari tempat aku, pah mu wak aku gini!" lelaki itu merenung guru. " Mu sapo hah?".

Sungguh kagum saya pada guru. Walaupun berdepan dengan lelaki sebegitu, dia boleh tenang serta merta. Jawapannya juga lembut.


"Siapa aku bukan penting. Kami hanya singgah sementara saja. Bukan nak cari musuh. Atas badan siapa kamu tumpang ni? Kamu tak kesian pada jasad ke?".

Lelaki itu masih menyinga. "Aku sakit la bodoh! Macam mana kau tahu aku takut dengan tongkat rotan kau tu?Siapa beritahu".


"La, jawapan yang aku tanya tak kau jawab. Ni pulak nak tanya lagi. Kau nak lagi kena tongkat ni?". Sinis soalan guru.


"Tolonglah..aku pun sesat sama macam kau. Badan ni bukan aku yang bunuh. Aku jumpa ni pun dah tak bernyawa", sambil menunjukkan belakang badannya. Jelas seperti kesan cakar walaupun berulat.

"Mahukah mu terima tawaran ku jika mu keluar dari jasad tu?" tanya guru lembut.

Seperti kebingungan, dia memandang guru. Lagaknya seperti tidak faham.


"Aku boleh hantar kamu pulang jika kamu sudi keluar dari jasad tu. Mengerti?", guru menyatakan tawarannya.


"Baiklah. tapi macam mana? Aku pun tak ingat mana asal aku".


"Tiada yang lebih mengetahui kecuali Allah..Baring", arah guru pada lelaki tersebut. Mungkin kerana ketakutan, lelaki itu segera baring. Lantas, guru menggaris tanah secara membulat sambil berkumat-kumit membaca 2 ayat akhir surah Yasin.


Kemudian, guru berdiri di hujung jari pesakit sambil membaca Doa Ashabul Baqia dan menumbuk tangan kanan ke tapak tangan kirinya. Ketika itu, lelaki tersebut seperti terbakar dan akhirnya bersisa dengan tulang belulang.


"Dia dah tak ada. Kamu semua jangan dok risau. Takut ke tadi?", seraya guru tersenyum pada saya.


"Takut jugok pok. Kalu keno ko kito, tok tau la nok wak gapo. Tu jenis hok mano? Pok tok pernah ajar pun", sempat lagi saya mencedok ilmu.


"Tu asal orang siam. Mungkin group cari gaharu la kot".


Mana pula guru aku ni tau laki tu orang siam. Saya lanjutkan soalan, "tau mano orang siam Pok?Tadi dengar kecek (bercakap) macam ore kito jah".


"La, tok napok tatoo tulisan siam kat tempat kena cakar di belakang badan orang tu tadi?".


Erm, baru saya sedar, memang ada tatoo tulisan siam di belakang badannya. Patut la guru tau dia tu orang siam. Tajam betul pandangan orang lama ni.


Malam itu, kami tidur sekitar jam 2 pagi. Banyak jugak lah yang dibualkan. Esok, 'barang' yang dihajati kami jumpai dan pulang.





Mengikut kata guru, mayat yang tidak disempurnakan (tidak ditanam) agak mudah untuk dirasuk. Hal ini sama dengan mereka yang berdamping, yang akhirnya nampak hidup walaupun sudah tidak bernyawa. Hanya Allah yang lebih mengetahui.







Sekian.
 
Blogger Templates