Ads 468x60px

Testimoni Amalan Yasin 7 Mubin

Pelbagai reaksi yang diterima dari pengamal Yasin 7 Mubin yang membeli khazanah amalan ini dengan RIDAM.

Secara automatik, pembeli buku Yasin 7 Mubin RIDAM mendapat ijazah setelah melakukan syarat ijazah seperti yang tertera dalam buku. Ada yang bertanya samada perlu bersanad/bersuri/bersalam secara berdepan untuk mendapat ijazah pengamalan ini.

Sebenarnya, saya pun mendapat ijazah secara lisan dari Arwah ToK Ayah Lah Pasir Puteh sebelum mengamal amalan Yasin 7 Mubin ini. Sebab itu saya katakan bahawa, mereka yang ingin beramal dengan amalan Yasin 7 Mubin ini hanya perlu membelinya, kemudian mengamal syarat pengijazahan dengan niat yang baik.

Antara ujian pengamalan ini ialah:
1-Badan terasa pijar semasa pengamalan
2-Mengantuk dan keletihan semasa mengamal
3-Melihat bayangan melintas semasa mengamal
4-Anggota badan(spt telinga, bahu, belakang badan) seperti ada yang mencuit
5-Mimpi serangan selepas pengamalan

Untuk itu, janganlah ditakuti akan kesan seperti di atas. Bukan senang untuk senang. Setiap hajat biasanya akan punyai ujian dari Allah. Janganlah takut untuk meneruskan pengamalan.

Dari pengalaman RIDAM, gangguan semasa amalan hanyalah untuk menggertak / menakutkan pengamal supaya menghentikan amalan. Sebenarnya, tiada kesan fizikal pun yang berlaku. Itu semua hanyalah ujian sementara dalam amalan. Hanya Allah yang lebih berhak ditakuti.

Saranan Amalan
Seeloknya, amalan dilakukan selama 3 hari. Jika tiada tindak balas, lanjutkan ke 7 hari. Seterusnya 9 hari atau 21 hari atau 41 hari atau 101 hari.Biasanya tidak melangkaui 9 hari.

Peringatan
RIDAM sesekali tidak menghalalkan amalan ini untuk tujuan keburukan. Jangan tertipu dengan hawa nafsu.

Sekian

RIDAM cuti 3 hari

Waduh...penat sudah saya baring, berdiri, terlentang, duduk dan meniarap. Semuanya rasa tidak kena. Memang kecuaian saya...

3 hari yang lalu, saya mengubati seorang pesakit yang mengidap penyakit Hernia. Atau istilah lain dikenali sebagai penyakit Angin Pasang. Ore kelate & terengganu panggilnya Uluran.

Pada hari mengubati pesakit tersebut, jadual perubatan saya padat dari pagi. Makan tengahari pula pukul 4:30 petang! Orang kata, perut dah masuk angin..

Diringkaskan cerita, saya terlupa memagar diri sebelum melakukan rawatan Hernia. Mungkin kerana itu, diri saya juga dihinggap 'angin' penyakit tersebut. Tahan sakit jugaklah dalam 3 hari ni. Kes rawatan juga terpaksa saya tolak. Tak tahan menanggung derita.. Ujian...

Sebagai peringatan kepada diri sendiri dan perawat, hatta yang cuba-cuba nak merawat..jenis mengurut, penyakit angin atau saraf, sila pagar diri anda... Lebih selamat kalau memakai sarung tangan. Insyaallah, selamat..

Doa-doa la saya cepat sembuh.. Pintu klinik masih ditutup. Mungkin esok lusa, boleh la bukak semula.. Itupun kalau sembuh..

Nasib..nasib... :D

Jin Silat

RIDAM didatangi pesakit yang disahkan gila bersama ayah dan pakciknya.Dari pemerhatian saya sepanjang perbualan kami sebelum berubat, dia dikategorikan mengidap penyakit skizofrenia dalam istilah perubatan moden.

Saya bertanya perihal dirinya satu persatu-satu. Mengikut katanya, dia khatam dalam 3 seni silat. Satu daripadanya diperolehi dari mimpi. Mimpi? Wah! itu lebih teruja untuk saya bertanya selanjutnya pada pesakit.

Pesakit mengatakan bahawa dia bermimpi bertemu neneknya yang berpakaian ala-ala pendekar melayu yang berlilit kain kuning di kepala dan pinggang.Hanya dengan satu malam dia bermimpi, dia berupaya mengingat kesemua langkah tari dan gerak silat. Memang pesakit seorang yang handal. Seorang guru pernah ditumpaskan dengan mudah.
Ada satu lagi kisah dari pakciknya, pesakit pernah menampar seekor lembu hingga pengsan si haiwan tersebut. Kemudian diangkatnya balik ke rumah. Kecoh sekampung dibuatnya.

Lanjutan jawapan dari pesakit ialah mengamalkan ayat kunci pukul yang mana ianya terdiri dari sebahagian ayat Al-Quran yang tidak lengkap. Setelah disemak, makna sekerat ayat yang diamalkan ialah memuja Abu Lahab laknatullah dan pohon binasa bersama-sama! Kan haru biru jadinya..

Seperti rawatan yang lalu, saya memulakan rawatan rukyah sebagai ikhtiar awal sebelum beralih ke teknik lain. Dari situ, pesakit mengadu kepanasan di bahagian badan dan kemudiannya beransur hilang sebaik sahaja sesi rukyah tamat.
Dari pandangan kebatinan semasa saya merukyah, saya (dengan izin Allah) melihat seorang nenek yang berpakaian silat seperti yang diceritakan. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh memandang saya dengan renungan yang tajam.

"Siapa kamu wahai hamba Allah?" saya bertanya padanya.

"Aku Wan budok ni. Toksoh nok hambak aku la. Mu tok padan Ustaz Mudo eh", ujarnya sinis. Jari telunjuknya diangkat tegak dengan menghala pada saya sebagai tanda amaran.

Melihat kepada ketidak-kesudiannya untuk bekerjasama, saya bacakan ayat kunci 3 kali dan hentakkan tumit kanan ke tanah. Penumbuk tangan kanan saya genggam sambil membaca doa hajat pelindung diri.

"Aku tanya elok, kau jawab lebih kurang!", seraya itu saya halakan tapak tangan padanya. Saya bacakan ayat dalam surah Al-Fill sambil qasadkan bahawa ada segenggam api ditangan. Maka, saya lontarkan kepadanya. Dia mengelak, namun terkena sedikit di bahagian belakang badannya. Kelihatan asap hitam keluar dari tempat sakitnya.

"Celaka mu Ustaz! Mu ingat aku ni apa?! Nih Wan Silat! Tak ada siapa boleh kalahkan aku!", jeritnya mendabik dada.

Saya hanya tersenyum memandangnya. "Tiada yang lebih hebat kecuali Allah!", maka saya bacakan pula ayat tanzir dan tiup ke arahnya. Kesan dari serangan itu, berguling-guling dia kebelakang.

"Ilmu apa kau pakai ni hah! Sakit tau tak?!", jeritnya sambil menahan sakit.
"Ooooo...tahu pulak sakit? Tadi berlagak sangat. Nak lagi?", sindir saya sinis. Jenis begini elok saya bangkitkan marahnya. Lagi marah, lagi nampak kelemahannya.

Dia bertukar wajah. Kelihatan gigi rongak dimulutnya. Hidungnya macam hidung tapir. Sesekali terbau nanah yang busuk. "Ni baru lawan kau! Tadi bukan main lagi. Ambik ni!", kata-katanya disertakan dengan serangan angin yang mengena tapak tangan kanan saya.

Memang saya merasa pedih dan berdenyut-denyut pada tangan. Badan juga terasa pijar akibat serangan tersebut. Lalu, saya bacakan Bismillah 5 dengan disertakan selawat syifa' sambil membuat jurus penyembuh pada diri. Alhamdulillah, kesakitan yang dialami beransur perlahan-lahan.

"Wahai Jin kafir laknatullah! Kulluhum ajal!", saya lanjutkan dengan zikir terakhir ayat 4 berulang kali. Kelihatan dia berguling kesakitan. Kadang-kadang kedengaran dia meminta simpati.

Ah! dah memang dasar jin. Jangan tertipu dengan pujuk rayunya.

Saya membuat sfera kurungan dengan membaca yasin:9 sebanyak 7 kali. Setelah itu, saya halakan ke arahnya. Maka terperangkaplah dia di dalam bulatan tersebut.

"Selepas ini, akan ku pindahkan ka ke tempat yang lebih baik. Bukan kuasa aku untuk membunuh kerana kau juga adalah makhluk. Moga dosa mu diampuni Allah...".

Dia hanya diam terduduk. Sugul keadaan dirinya.

Saya tersedar dari pandangan batin. Berulangkali saya beristighfar. Syukur kerana masih di alam sedar.

Dengan menggunakan telur rukyah yang dibaca, saya tarik perlahan-lahan dari arah dadanya. Kemudian saya pasung dengan paku yang sudah dibaca dengan ayat tanzir. Jika dipegang telur pasung sesudah itu, terasa hangat di tapak tangan. Saya juga meletakkan tapak tangan di dadanya. Berulang kali saya membaca ayat hati Quran sambil membuangnya ke sungai secara batin. Moga dengan izin Allah, amalan salahnya dapat saya buang. Moga kukuhlah syariatnya.

Pesakit disuruh mengucap dengan lafaz yang terang dan jelas. Alhamdulillah, siapa saja ada disitu dapat melihat perubahannya. Wajahnya lebih bersih dan ceria. Tiada lagi perwatakan murung seperti sebelumnya.

Saya bekalkan minyak zaitun, limau untuk mandian, atar kasturi dan air rukyah bagi rawatan susulan di rumah. Semoga kesembuhannya kekal dan mendapat lindungan rahmat Allah.

Hal pandangan makrifat memang sukar dijelaskan berbanding pandangan hakikat. Jika yakin kita pada kuasa Allah, tiada yang mustahil berlaku di alam dunia ini. Wallahu'alam.

Mayat Bangun Berdiri

Sekitar umur saya 15 tahun, saya pernah diajak arwah guru saya ke Gunung Tebu, Jertih, Terengganu.Tujuan kami ke sana adalah untuk mencari akar kayu dan herba, khasnya bunga orkid hutan bagi membuat makjun.

Bersama guru, abang Jak dan saya, kami memulakan pendakian sekitar jam 9 pagi. Walaupun seharian berjalan, barang yang dihajati masih tidak ditemui. Lalu, arwah guru saya bercadang bermalam di situ setelah kata sepakat diambil. Mungkin esok rezeki kami.

Ketika bermalam bersama guru, saya perhatikan beliau tidak digigit nyamuk. Saya dan abg Jak letih menggaru menahan gigitan nyamuk hutan. Bila ditanya, petua yang guru amal amatlah mudah.

Caranya ialah dengan menggunakan batang pokok tepu yang dibelah dua. Bahagian dalamnya kemudian digosok pada badan sambil membaca selawat ke atas Nabi Nuh a.s. 'salamun 'ala nuhin fil 'alamin'. Insyaallah, dengan petua ini, tiada lagi serangan gigitan nyamuk. Lagi power dari sheltox....

Sekitar jam 11 malam, saya terdengar seperti orang berjalan. Keresahan mula terasa dan reaksi tersebut disedari guru saya. Pada itu, saya melihat guru duduk bersimpuh sambil memejam mata. Lagaknya seperti pendekar yang menunggu musuh dalam gelap.

"Ni bukan calang-calang 'benda' ni..!", kata guru pada kami. Seraya itu, kami diberi arahan dalam lenggok isyarat agar bersedia dengan parang dan batang rotan.

"Siapa?" tanya guru pada arah pokok tembesu. Soalan ini diulang beberapa kali..



Tiada jawapan yang didengar. Masing-masing membisu dan bersedia dengan apa yang akan berlaku.



" Mu masuk kawasan aku ikut suka hati mu jer. Mu ingat sini boleh masuk sajo-sajo jah ko?", jawab suara di sebalik pokok tembesu tersebut.


"Kawan datang bukan nak ganggu. Tapi kalu mu nak lawan khalifah Allah ni, keluarlah. Jangan jadi pengecut!", cabar guru.

Seraya itu, keluar lelaki dari balik pokok tembesu tesebut. Lelaki itu tidak berbaju dan memakai seluar pendek. Bau dari badannya macam nak muntah. Macam bau mayat. Memang saya perasan bila melihat lelaki tu. Walaupun dalam samar api pelita, mukanya berulat dan bahagian kiri pipinya dah nampak tulang.


" Jak dengan Adik(saya) dok diam-diam. Hok ni 'barang' bisa ni. Jangan putus zikir", arah guru pada kami. Kemudian, saya melihat guru membaca 'wa iza bathosh tum, batosh tum jabba rin' dan ditiup pada rotan yang dipegangnya. Tahulah saya bahawa ketika itu guru membuka amalan parang terbang.



Tanpa dijangka, lelaki itu meluru ke arah guru. Kedua tangannya mara ke leher guru. Dengan tongkat rotan yang sudah di 'isi', guru gunakan untuk menangkis tangan lawan. Tongkat guru juga sempat dihayun ke rusuk kanan seterusnya belakang lutut lawan. Setiap tujahan tongkatnya disertai dengan kalimah 'Ya Qayyum'. Terduduk lelaki tersebut menahan kesakitan.

" Mu mari tempat aku, pah mu wak aku gini!" lelaki itu merenung guru. " Mu sapo hah?".

Sungguh kagum saya pada guru. Walaupun berdepan dengan lelaki sebegitu, dia boleh tenang serta merta. Jawapannya juga lembut.


"Siapa aku bukan penting. Kami hanya singgah sementara saja. Bukan nak cari musuh. Atas badan siapa kamu tumpang ni? Kamu tak kesian pada jasad ke?".

Lelaki itu masih menyinga. "Aku sakit la bodoh! Macam mana kau tahu aku takut dengan tongkat rotan kau tu?Siapa beritahu".


"La, jawapan yang aku tanya tak kau jawab. Ni pulak nak tanya lagi. Kau nak lagi kena tongkat ni?". Sinis soalan guru.


"Tolonglah..aku pun sesat sama macam kau. Badan ni bukan aku yang bunuh. Aku jumpa ni pun dah tak bernyawa", sambil menunjukkan belakang badannya. Jelas seperti kesan cakar walaupun berulat.

"Mahukah mu terima tawaran ku jika mu keluar dari jasad tu?" tanya guru lembut.

Seperti kebingungan, dia memandang guru. Lagaknya seperti tidak faham.


"Aku boleh hantar kamu pulang jika kamu sudi keluar dari jasad tu. Mengerti?", guru menyatakan tawarannya.


"Baiklah. tapi macam mana? Aku pun tak ingat mana asal aku".


"Tiada yang lebih mengetahui kecuali Allah..Baring", arah guru pada lelaki tersebut. Mungkin kerana ketakutan, lelaki itu segera baring. Lantas, guru menggaris tanah secara membulat sambil berkumat-kumit membaca 2 ayat akhir surah Yasin.


Kemudian, guru berdiri di hujung jari pesakit sambil membaca Doa Ashabul Baqia dan menumbuk tangan kanan ke tapak tangan kirinya. Ketika itu, lelaki tersebut seperti terbakar dan akhirnya bersisa dengan tulang belulang.


"Dia dah tak ada. Kamu semua jangan dok risau. Takut ke tadi?", seraya guru tersenyum pada saya.


"Takut jugok pok. Kalu keno ko kito, tok tau la nok wak gapo. Tu jenis hok mano? Pok tok pernah ajar pun", sempat lagi saya mencedok ilmu.


"Tu asal orang siam. Mungkin group cari gaharu la kot".


Mana pula guru aku ni tau laki tu orang siam. Saya lanjutkan soalan, "tau mano orang siam Pok?Tadi dengar kecek (bercakap) macam ore kito jah".


"La, tok napok tatoo tulisan siam kat tempat kena cakar di belakang badan orang tu tadi?".


Erm, baru saya sedar, memang ada tatoo tulisan siam di belakang badannya. Patut la guru tau dia tu orang siam. Tajam betul pandangan orang lama ni.


Malam itu, kami tidur sekitar jam 2 pagi. Banyak jugak lah yang dibualkan. Esok, 'barang' yang dihajati kami jumpai dan pulang.





Mengikut kata guru, mayat yang tidak disempurnakan (tidak ditanam) agak mudah untuk dirasuk. Hal ini sama dengan mereka yang berdamping, yang akhirnya nampak hidup walaupun sudah tidak bernyawa. Hanya Allah yang lebih mengetahui.







Sekian.

Mencari Rumah Sewa di Kuantan, Pahang

Assalamualaikum..



Buat masa ini, RIDAM tidak punyai masa yang cukup untuk meng-update kisah rawatan yang dilakukan. Di harap pembaca bersabar dan insyaallah, banyak kisah panas sepanjang sesi rawatan sekitar bulan Mac hingga tarikh ini.



RIDAM meminta jasa baik pembaca blog kalau-kalau ada yang tahu atau mendengar rumah yang hendak disewakan sekitar Kuantan, Pahang.



Kriteria rumah yang hendak disewakan adalah seperti berikut:-

- Lokasi: sekitar alor akar, tok sira, kubang buaya atau taman gelora.

- Jenis rumah: Teres conner lot / Semi-D / Banglo. (tak blh rumah rapat sgt, nnt mengganggu jiran seperti kes rasukan yang agresif)

- Kalau boleh, ada luas tanah dibahagian tepi.

- Harga berpatutan.



Jika ada, sila hubungi RIDAM di 019-9891078. Perancangan sewa antara Mei hingga Jun.



RIDAM akan berhijrah ke Kuantan, Pahang bagi memikirkan kemudahan pesakit utk datang setelah banyak permintaan yang diterima.



Kerjasama dan kebaikan saudara/saudari amatlah diharapkan dan semoga kalian mendapat lindungan rahmat Allah selalu.



Sekian..
 
Blogger Templates