Ads 468x60px

MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.

Gadis Kerasukan Gentayan Lelaki Tua




Ketika ambo sampai di rumah Abang Kamal, hujan turun dengan lebatnya. Walaupun dijemput masuk, ambo duduk di kerusi luar dahulu. Penat dan lelah masih terasa akibat memandu seharian dan sesat dari hotel apabila hendak ke rumah Abang Kamal. Sebenarnya, perjalanan kali ini begitu banyak dugaannya..

Bermula dari rumah lagi, ambo terasa begitu mengantuk ketika memandu hingga beberapa kali hampir terbabas di bahu jalan lebuhraya. Anak ambo yang turut menemani ambo pun tidur berdengkur dengan lena. Acap kali juga ambo berhenti di Hentian Rehat Lebuhraya untuk membasuh muka. Sedangkan, sehari sebelum itu memang ambo telah rehat dan tidur secukupnya untuk persediaan rawatan hari ini. Namun, ambo masih berasa mengantuk dan lenguh badan bila nak ke rumah Abang Kamal.

Petangnya, ambo sudah sampai di bandar mukim rumah Abang Kamal dan mencari hotel untuk penginapan semalaman.

Selepas Maghrib, ambo bertolak dari hotel ke rumah Abang Kamal. Namun begitu, laluan yang sememangnya ambo biasa benar kali ini juga tersesat haluan. Perjalanan sepatutnya 10 minit sahaja dari hotel telah menjadi sejam lebih lamanya. Hanya selepas berasa lama perjalanan yang ditempuh dan jalannya mula memasuki jalan kampung, barulah ambo tersedar, itupun selepas ditegur anak lelaki ambo. Lantas ketika itu, ambo bacakan surah Ad-Dhuha sebanyak 7 kali. Setiap kali memulakan bacaan surah, ambo mohon agar Allah tunjukkan jalan. Memang petua ini yang arwah guru ambo ajar kalau tersesat jalan.

Alhamdulillah, akhirnya ambo sampai juga ke rumah Abang Kamal sekitar jam 10 malam.

GENTAYAN..

Ketika Abang Kamal mengadu tentang masalah anaknya tempoh hari, ambo telah diagnos masalah yang dihadapi dengan  membuat kaedah Berkudun.

Secara batin, memang ambo lihat ada kelibat seorang lelaki tua sedang menggantung dirinya di dalam bilik. Sesudah dia menjadi mayat, rohnya berkeliaran tanpa arah tujuan. Walaupun beberapa kali ambo cuba menegurnya, orang tua itu tidak menyahut sapaan ambo. Akhirnya orang tua itu hilang di balik pokok pisang di hadapan rumah. Wayang batin itu berulang beberapa kali…

Ambo ceritakan apa yang ambo ‘nampak’ pada Abang Kamal…

Menurut Abang Kamal, anaknya Fiza sebelumnya normal. Pada petang itu, dia bermain dengan arnab yang dibelanya di hadapan rumah. Memang berdekatan sarang arnab itu ada pokok Pisang dan di situlah juga Abang Kamal nampak Fiza bercakap dan ketawa sendirian.

Bila dipanggil masuk ke dalam rumah, Fiza menurut saja tanpa engkar. Ketika itulah isteri Abang Kamal mula perasan tentang perubahan Fiza. Amat ketara langkah jalannya bila masuk ke rumah. Badannya sedikit bongkok dan matanya tajam melihat kiri dan kanan. Fiza terus masuk ke dalam bilik dan duduk bertangkup dada. Lagaknya seperti orang yang sudah tua.

Bila di suruh bangun, Fiza mengamuk dan mula mencakar sesiapa yang memegangnya..

Setelah mendengar cerita Abang Kamal itu, ambo rasakan itu adalah Gentayan yang berupa orang tua yang mati bunuh diri itu. Memang spesis jin Gentayan ni suka berupa orang yang sudah mati dan mengacau orang.

Insyaallah, jika Allah izinkan, masalah itu boleh diselesaikan. Begitulah ambo katakan pada Abang Kamal sehari sebelum bertolak ke rumahnya.


SEMBUNYI…

Ambo tahu memang anaknya Abang Kamal sedang kerasukan ketika itu. Tetapi memandangkan dia tidak agresif, ambo biarkan dulu kerana mahu berehat dan untuk mengembalikan kekuatan badan yang keletihan. Selepas hampir 15 minit duduk di luar rumah, ambo masuk ke dalam rumah..

“Fiza..Assalamualaikum”, ambo memberi salam kepada anak Abang Kamal yang duduk bertakup dada di depan katil. Walaupun beberap kali ambo berikan salam, tiada balasan yang ambo terima. Lalu ambo duduk di sisinya.

Kali ini, ambo suruh dia mengucap. Suruhan itu juga tidak memberi sebarang tindak balas. Ambo baca surah Al-Fatihah, Ayatul Qursi dan Al-Ikhlas dan hembus pada telingannya. Hembusan itu sedikit sebanyak menjadikan Fiza duduk tidak selesa. Seperti berada dalam dunia terasing, Fiza bermain-main jarinya sendiri dan merenung lantai.

Oleh kerana sudah banyak tindakan rawatan tidak memberi sebarang kesan pada Fiza, ambo cuba pula teknik kepit jari yang biasa ambo buat sebelum ini. Hairan sungguh, kaedah itu juga tidak memberi sebarang reaksi pada Fiza. Pada pengalaman ambo, jika kerasukan seperti itu berlaku, tandanya jin gangguan tidak duduk dalam saraf. Biasanya golongan jin ini akan menyorok di celah-celah sendi tubuh untuk mengelak kesan serangan dari perawat.

Ambo tekan point meridian tubuh Fiza bermula dari betisnya hingga melurut ke atas. Setiap tekanan yang ambo berikan akan ambo sertai dengan kalimah “Allahu Daim”. Akhirnya, Fiza menjerit kesakitan bila ambo tekan poin ‘As-Sirsam’ yakni di belakang tengkuknya.

“Oooo.. duk situ rupanya kamu ni..!!!,” kata ambo ambo tanpa melepakan tekanan.

“Mari mano mu ni..?”

Bertubi-tubi juga soalan sama yang ambo tanya. Hinggalah dia merayu agar dilepaskan dan berjanji untuk keluar dari tubuhnya. “Tolonglah.. aku sakit sangat ni.. Aku tak mahu ganggu doh budok ni..”, merayu-rayu jin itu pada ambo.

“Jawab soalan aku dulu.. Mu ni mari mano..?”.

“Aku mari sini lah.. Sinilah tempat aku!”

“Dah tempat mu pun, kenapa ganggu budok ni? Banyak lagi makhluk lain boleh ganggu. Ayam, Itik, Lembu pun boleh ganggu..”, sengaja ambo berikan provokasi pada jin tu.

“Tolonglah.. aku nak keluar doh.. tolonglah..”.

Bila dengar rintihan begitu, lagi kuat tekanan yang ambo beri. “Hishhh… ingat mudah-mudah nak keluar gitu? Kali ni aku tak bagi mu keluar sendiri. Kalu tak, nanti mu masuk ganggu balik budak ni..”.

“Ikut suka lah lah.. asal aku boleh keluar.. Tolong lah lepas.. aku sakit ni…”, akhirnya jin itu mengalah.

Bila dah nampak kesungguhan jin tu nak keluar, ambo pimpin jin tu untuk bersumpah dahulu. Disertai dengan lafaz ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ maka jin itu bersumpah untuk keluar dan tidak akan mengganggu manusia lagi.

Ambo baca beberapa Ayat Tarik dan mengeluarkan jin itu dari tubuhnya dengan kaedah Pasung Limau. Terpinga-pinga Fiza tersedar.

LAPISAN KEDUA…

Rupanya, masih ada lagi jin dalam badan Fiza. Hanya beberapa minit sahaja Fiza menjadi normal. Selepas itu, matanya melilau tajam. Melihat keadaan itu, ambo tekan puncak kepalanya sambil membaca “Inna fatahna lakafatham mubii-na” sebanyak 3 kali dari surah Al-Fath ayat 1. Dia meraung kesakitan dan minta dilepaskan.

Oleh kerana badan ambo sudah keletihan, ambo tidak banyak bersoal-jawab. Ambo terus paksa jin itu keluar dari tubuhnya. Ekoran tidak tahan dengan seksaan yang dikenakan, akhirnya jin itu mengalah dan keluar bila ambo lakukan kaedah Pasung Limau.

Alhamdulillah, kali ini Fiza sudah tersedar sepenuhnya. Ambo turut sediakan air rendaman 7 jenis bunga bersama 7 perahan biji limau nipis untuk Fiza mandi ubat sebaik sahaja selesai rawatan. Tujuan mandian ini adalah sebagai ikhtiar memulihkan jasmani badan dan semangat diri akibat kesan kerasukan yang dilalui. Ibunya juga mandi air perahan 7 biji limau kerana terkena tempias gangguan tersebut.

Selepas itu,  ambo buat amalan Pagar Rumah dengan air garam yang dirukyah di keliling dalam dan luar rumahnya. Ambo juga curahkan Cuka Getah secara melintang pagar rumahnya sebagai petua pelindung sebagaimana amalan orang lama. Selepas itu, ambo bacakan Ayat Pelindung Istana Sulaiman pada lada hitam yang dalam genggaman dan ambo lempar di atas atap rumahnya. Amalan melontar ini juga ambo lakukan pada 6 bahagian sisi atas rumahnya.

Sebelum pulang, ambo ajarkan beberapa petua amalan dan memberi beberapa nasihat kepada pesakit untuk diamalkan.

Rawatan hari itu akhirnya berakhir jam 2 pagi. Ambo mohon izin pulang kerana pagi esoknya, ambo ada temujanji dengan sahabat yang telah mempelawa ambo menaiki botnya untuk mengelilingi sebuah pulau. Selepas itu, perjalanan pulang akan diteruskan dan ambo perlu sampai ke rumah sebelum malam kerana berjanji untuk membantu anak sulong ambo menyediakan bahan-bahan penting untuk aktiviti sekolahnya.

Semoga pesakit berada dalam keadaan sihat dan dimudahkan segala urusan oleh Allah S.W.T.. Amin..







 
Blogger Templates