'Gagah' Orang Tanah Seberang



'Gagah' Orang Tanah Seberang

************************************

Pak Man Telur memang bukan asing namanya di kalangan penduduk Felda Cheneh. Pada awalnya, Pak Man ni menjadi pesakit ambo. Bila dah lama kenal, dah banyak kali bertandang ke rumah, lama kelamaan dah jadi macam saudara pula.

Pak Man ni asalnya orang tamah seberang. Menurut ceritanya, beliau datang ke Malaysia sejak tahun 1978 lagi. Setelah berkahwin dengan orang tempatan, Pak Man akhirnya menetap di Felda Cheneh, Kemaman dengan bekerja sebagai pengait buah sawit. Beliau sudah pun mendapat 'IC Merah' dah kini berumur 62 tahun.

"Ustaz.. Saya dulu datang Malaysia masuk kot kepala dulu. Orang lain kaki dulu..".

Maksud Pak Man, kedatangannya dahulu ke tanah Malaysia ni ikut tongkang laut. Bila saja bot sudah nampak daratan, di situ penumpang perlu terjun, berenang hingga ke tebing. Mana yang tak mampu, pasti mati lemas. Punya lah susah masa kedatangan awalnya. Tapi kini alhamdulillah, dia dapat hidup selesa dan sudah pun bercucu.

Walaupun sudah berumur, Pak Man masih kuat kudratnya, bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit. Setandan sawit yang beratnya hampir 70kg bukan sebarang orang mampu lakukan lebih-lebih lagi orang berumur sepertinya.

Banyak orang tempatan yang menyangka Pak Man ni berilmu. Maklumlah datangnya dari Indonesia.  Ada juga yang minta agar diberikan ayat-ayat amalan agar menjadi kuat sepertinya.

Ketika bertandang ke rumah ambo tempoh hari, sempat Pak Man berkongsi amalan tersebut dengan Ambo. Amalan sebenarnya amat mudah tetapi dijalankan secara secara istiqamah.

Pertama, hindar diri minum air berais. Digalakkan minum air panas suam walaupun cuaca panas. Kemudian, sebelum memulakan pekerjaan, tadah tangan dan bacakan Al-Fatihah 7 kali disusuli 3 Qul dan berdoalah agar selamat dalam pekerjaan dan dimurahkan rezeki dalam kehidupan.

Begitu ringkas saja amalannya tetapi sudah diamalkan selama bertahun-tahun. Pak Man juga izinkan amalan ini disebarkan. Moga mendapat barokah kita semua dalam kehidupan sehari-hari.

~gelaran Pak Man Telur diberikan kerana sebelum ini Pak Man pernah menjual telur itik sebagai sebagai pendapatan sampingan pada waktu petang di sekitar kampungnya.

Wassalam..





MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.