Diari Rawatan ... Susuk 916

 


***************************

Ambo terima mesej whatsapp dari seorang wanita yang minta bantuan keluarkan susuk emas ibunya. Sukar ambo nak penuhi permintaannya kerana sudah lama ambo tidak membuat rawatan buang susuk ni.

Seingat ambo, kali terakhir ambo buang susuk seorang wanita dari Kuala Lumpur pada tahun 2009. 

Ilmu jika sudah lama tidak diamal akan menjadi kaget juga. Apatah lagi ilmu perubatan. Bukan hal biasa yang boleh dibuat main kerana kesannya boleh mengundang padah dan mudharat pada pesakit.

Ambo tidak berikan harapan pada wanita yang baru hubungi ambo tu. Mohon masa dahulu untuk rujuk semula nota pengajian yang pernah dituntut dan log diari kes rawatan. Alhamdulillah, masih ada lagi nota tulisan tangan yang masih rapi dalam susunan rak buku di bilik belakang. 

Mengikut catatan pengajian ilmu buang susuk yang ambo belajar, ada beberapa hal dan cakna pengubatan yang perlu diketahui.

1.Susuk mudah dikeluarkan jika:
-masih baru.
-berada bawah kulit daging.
-jin susuk belum diusir keluar.

2.Susuk susah dikeluarkan jika:
-sudah melebihi 4 tahun
-dipasang di sekitar sendi, tulang, payudara dan punggung.
-jin sudah diusir keluar dari tubuh.

3. Susuk besi, perak dan emas perlu dikeluarkan secara nyata. Manakala susuk hablur belian, tumbuhan dan binatang akan keluar melalui saluran najis badan.

Daripada 3 sifat panduan buang susuk ini, maka perlulah di amati kaedahnya yang bersesuaian.

Dalam kes nak rawat susuk ni, dinasihatkan jangan terus ambil pendekatan rukyah. Seeloknya cari perawat Islam yang mahir dan punyai kemahiran untuk mengarahkan jin berkenaan membuang susuk dari tubuh. Selepas susuk dikeluarkan, barulah buat rawatan rukyah mengusir jin dari tubuh.

Susuk sebenarnya barang nyata. Tapi proses nak masukkan dalam tubuh tu guna ilmu ngaib iaitu dengan cara memuja jin agar bahan-bahan susuk dapat dimasukkan dalam tubuh tanpa menggunakan ubat bius dan rasa sakit. Hal ni kena cakna betul-betul sebelum rawatan buang susuk dapat dilakukan dengan mudah.

Jika jin sudah dikeluarkan dahulu, cara ikhtiarnya tetap ada cuma ianya agak sukar dan perlukan bahan-bahan alami tambahan sebagai sokongan ikhtiar.

Ada juga kaedah lain iaitu dengan mengarahkan jin dalam tubuh pesakit lain membuang susuk dalam pemakai susuk. Namun, cara ini tidak digalakkan kerana boleh mengundang masalah gangguan lain pula. Antara kes yang pernah berlaku bila jin yang diarah menjadi Jin Asyik yang akhirnya minat nak duduk dengan tuan baru pula. Satu masalah pulak timbul.

Berbalik kepada cerita wanita dari Kuala Lumpur tu, kes yang ambo hadapi agak sukar kerana jin susuk nya telah di rukyah keluar oleh perawat sebelum dia berubat dengan ambo.

Kalau tak silap, ambo panggil wanita tu Kak Lin. Ketika itu, umurnya sekitar awal 40an. Semasa Kak Lin berjumpa ambo di Kemaman, dia hanya datang memandu seorang diri. Alasannya kerana tidak mahu suaminya tahu dia pernah memakai susuk. Maka terpaksa lah ambo minta isteri temankan semasa rawatan tersebut disebabkan pesakit wanita itu tidak membawa muhrim.

Oleh kerana sudah sedia maklum tentang jenis susuk yang dipakai dan kedatangannya pada waktu petang, pagi itu sempat ambo cari bahan yang perlu untuk rawatan susuk tanpa jin.

Bahan yang perlu adalah:
1.Air Laut 5 liter
2.Daun Kelor 7 ranting
3.Daun Bidara 7 helai
4.Magnet (ambo ambik kat speaker radio yang dah rosak).
5.Plucker (pengepit bulu)
6.Lampu

Pada Kak Lin pula, ambo minta bawakan sebotol minyak zaitun, kapas muka dan air mineral.

****************

Menurut cerita Kak Lin, dia mula bertaubat selepas pulang dari mengerjakan umrah. Sejak Kak Lin bertaubat, dia mula mengalami mimpi buruk, melihat kelibat makhluk hodoh berwajah sepertinya dan kadangkala rasa susuk jarum emas yang dipakai bergerak-gerak dalam urat mukanya hingga berasa seperti lentok gerakan ulat. Saat itulah Kak Lin akan rasa begitu miang, geli, gatal dan pedih. Terasa macam nak siat-siat kulit muka masa tu.

Gangguan yang dialami menyebabkan dirinya mengalami kemurungan, sering sakit, marah-marah hingga pernah diberi amaran majikan kerana kerap sangat ambil cuti.

Banyak tempat rawatan Islam yang dicuba ikhtiar hingga hilang juga gangguan ghaib yang dialami. Cuma hatinya masih belum puas bila susuk yang dipakainya tidak keluar dari mukanya.

Setelah mendengar cerita Kak Lin, ambo sudah sedia untuk mulakan rawatan. 

Pertama, ambo kisar dahulu daun kelor dengan 2 jag air laut. Kemudian, ambo kisar pula daun bidara dengan 2 gelas air mineral.

Kesemua air kisar ini ambo rukyahkan juga bersama lebihan air mineral dan minyak zaitun.

Susunan bacaannya adalah seperti berikut:
- Al Fatihah 7x
- 7 Ayat Syifa dalam Al-Quran
- Bismillah 6 dan 5
- Ayat Qursi
- 3 Qul
- Selawat Nabi 10x

Ambo juga bacakan 'Mantera Usir' sebanyak 3 kali di akhir bacaan.

Selesai siap membaca rukyah pada bahan rawatan, maka rawatan dimulakan.

Terdapat 3 batang susuk emas 916 yang di pakai iaitu di pipi kanan dan kiri serta di dagu.

Ambo minta Kak Lin majukan kepalanya ke depan dan tunduk mengadap talam yang ambo sediakan.

Dari belakang kepala Kak Lin, ambo cucur perlahan-lahan air kisaran daun kelor bersama air laut, biar mengalir melalui muka dan jatuh ke dalam talam. Ketika mencucur air kisaran tu, ambo baca Mantera Usir sebanyak 7 kali.

"Hey Pasir Sampah,
Kayu Batu, Emas Perak,
Tembaga Besi. Keluar kamu dari anak Adam ini. Hanya Rohnya berhak ke atas Jasadnya. Berkat Lailahaillah, Muhammadurrasulallah".

Habis kesemua bacaan itu, ambo minta Kak Lin ratakan wajahnya dengan air kisar tersebut dan rehat sebentar sehingga airnya kering.

Selang 15 minit selepas itu, Kak Lin mula berasa mukanya menjadi miang dan gatal. Terasa seperti jarum-jarum susuk itu kepanasan dan mula nak cari jalan keluar. Namun, rasa itu hilang tidak lama kemudian.

Maka rawatan dimulakan semula dari awal. Letih juga bila terpaksa mengulang banyak kali. Tapi Kak Lin tak mudah mengalah. Siap dia lagi beri kata semangat pada ambo supaya sabar dan teruskan ikhtiar.

Ketika cubaan yang ke-9, barulah miang dan gatal dalam mukanya menggeletik duduk setempat. Hampir setengah jam Kak Lin bertahan begitu.

"Tak boleh buang lagi ke ni Ustaz?", akhirnya mengeluh juga Kak Lin.

"Boleh Kak Lin, tapi saya kena cungkil la. Sakit la skit. Nak?", tanya ambo pada Kak Lin.

"Ustaz buat jer. Jauh Kak Lin datang ni..".

Bila tuan badan dah beri izin, Ambo gunakan magnet dengan tekapkan pada tempat adanya susuk tu. Hanya beberapa minit, jarum itu boleh dilihat bentuknya timbul dari benjolan kulit muka. 

Bila disuluh lampu, nampak kerlipan biasan cahaya dari muncung jarum yang mula timbul melalui liang roma kulit. Ketika itulah ambo tanpa berlengah mengepit muncung jarum yang nampak sedikit keluar. Terus ambo tarik keluar dari pipinya. 

Alhamdulillah, proses nak keluarkan 2 jarumnya tidak la rumit sangat. Cuma jarum yang ke-3 di dagunya yang agak susah kerana sudah bengkok. Kulitnya juga luka terbelah dan berdarah akibat sentapan jarum yang telah sebati dan melekat dalam daging.

Ambo minta Kak Lin basuh dahulu kepala dan mukanya dengan air bersih. Kemudian kulit mukanya disapu minyak zaitun sebanyak 5 kali sehari selama 7 hari. Air kisar bidara pula hanya perlu diminum 1 gelas sehari pada waktu malam sebelum tidur. Yang tu buat rutin juga 7 malam. Daun bidara wajib dikisar dengan air yang telah siap ambo rukyah.

Maka selesai lah sudah rawatan buang susuk pada hari itu. Alhamdulillah, rezeki besar dapat dari Kak Lin haritu bila diberi 660 sebagai upah bayaran rawatan.

Bila tanya kenapa banyak sangat upahnya, Kak Lin kata, dia bayar ikut harga yang pernah dicaj oleh perawat yang dijumpainya sebelum ini.

"sebatang susuk tu 220.. 3 batang kira 660 la kan...", kata Kak Lin tersenyum yang kemudian terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.

"Terima kasih Kak Lin.. Moga sentiasa dalam lindungan Allah selalu. Amin..".

Amin












MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.