Bila pula masa kita 'tiba'

Sesudah saya bertahajud semalam, tiba-tiba saya mengingati nostalgia lalu akan kenangan bersama orang-orang yang saya sayangi..

Dari arwah Moyang saya yang banyak mengajar saya ilmu saraf.. Kemudian disusuli arwah nenek yang menyayangi saya sebagai cucu sulong dalam keluarga. Walaupun nenek saya buta huruf, banyak diajar saya amalan tegap badan dari ayat dalam surah At-Taubah agar hendaknya sihat dan segar..

Saya juga terkenangkan arwah Tok Ayah Cikgu Lah Pasir Puteh yang meninggal pada tahun 2008. Banyak kenangan saya bersamanya. Antara anak muridnya, saya yang paling dimanja. Hubungan kami juga bukan sahaja sebagai guru dan murid,tapi ada pertalian saudara ekoran anaknya berkahwin dengan emak saudara saya (adik mama saya)..

Tidak lupa juga kenangan manis ketika belajar silat Kalimah di Tumpat bersama arwah Ayah Ku ketika saya belajar di sekolah agama di Kelantan. Layanan beliau pada saya tidak dapat saya lupakan. Saya dimanja lebih dari pelajar yang lain. Hampir setiap minggu, dia yang mengambil saya di asrama untuk ke rumahnya belajar silat dan ilmu kebatinan..

Rakan arwah Ayah Ku adalah arwah Pak Halim yang meninggal di Kampung Tar Tujuh, Pasir Mas, Kelantan juga guru saya dalam seni silat Tongkat dan perubatan herba. Kadang-kadang, masih ingat kedua sahabat ini berbalah mulut sayang kerana mahukan saya tidur di rumah mereka..

Arwah Tok Zali di Kuala Lipis juga menggamit kenangan lama bila saat nazaknya berakhir di atas riba saya sewaktu saya masih menuntut di Bangi. Memang sedih ketika itu kerana niat saya untuk menziarah bertukar menjadi memori pilu yang tak akan saya lupa sampai bila-bila..

Kepada arwah Ustaz Amin yang asal kampungnya di Bera, Pahang, kenangan beliau merotan saya ketika sesi berlimau sebagai ingatan nasihat yang tidak akan saya lupakan. Masih terngiang nasihatnya pada saya.."Syakirin.. ilmu jangan di curah ibarat air di daun keladi.. Apa yang Ustaz ajar pada kamu bukan setakat di hafal...tapi kena AMAL...!"...begitulah kata-kata terakhir beliau sebelum dia meninggal 6 bulan kemudiannya.. Sayangnya, saya tiada di saat kematiannya kerana ketika itu saya berada Dubai disebabkan urusan kerja.

Memori indah bersama arwah Pak Nasation di Yong Peng juga menambahkan syahdu di sanubari insan jahil ini. Masih saya ingat keengganan Pak Nasation untuk mengambil saya sebagai murid dengan alasan, dia tidak pernah menjadi guru kepada sesiapa.. Tapi Allah telah bukakan hatinya selepas dia melihat kesungguhan saya berulang-alik ke rumahnya dari tempat saya belajar selama tiga bulan berturut-turut setiap hujung minggu.. Katanya, dia kasihan sebab saya kena 'ikat perut' duit belanja di universiti semata-mata mahu menjadi muridnya...

Tidak lupa juga kepada arwah Tok Ngah yang banyak mengajar saya ilmu makrifat dan perubatan tanpa rasa jemu. Sayangnya, kematiannya di Selayang pada Oktober tahun lepas tidak dapat saya hadiri ekoran masalah kewangan yang tidak dapat saya elakkan.

Akhirnya, guru yang paling saya sanjung, tak lain tak bukan ialah Allahyarham Kiyai Haji Suffian di Tanggarung Indonesia.. Walaupun saya hanya berjumpanya sebanyak 3 kali sepanjang proses pengajian, saya anggapnya seperti bapa yang penyayang.. Berbanding dengan guru-guru lain, saya tidak pernah di marahi walaupun melakukan pelbagai kesalahan. Pendekatannya lebih kepada nasihat yang membina.. Begitulah sifat orang yang tinggi kesabarannya..

Bila dilihat perjalanan hidup mereka, Allah mudahkan proses akhir kehidupan insan yang saya sayang. Mereka meninggal dalam keadaan aman, tiada sakit sebelum nazak, mudah perjalanan ke tempat kuburan dan tiada hutang pada manusia..

Berbanding diri saya yang penuh dengan noda dan dosa ini, adakah saya juga akan mendapat nikmat seperti mereka.. Mintak dijauhkan azab Mu pada ku ya Allah...

Mereka semua telah meninggalkan kita.. Bila pula masa kita 'tiba'.....?

MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.