Hikayat Rawatan...
Wali Air; Panglimun Hj.
Taslim.. Part 1
**********************************
Bunyi seruling dan gendang
silat bercaturan gema di gelanggang kampung milik Pak Halim Badar. Malam itu,
hanya 8 pasangan murid yang hadir berlatih silat.
Pak Halim Badar merupakan anak
jati kampung Batu Gajah yang dikenali sebagai guru Silat Pulut dan senibeladiri
Muay Thai di kampung itu. Gelaran 'Badar' pada namanya itu diberi semasa zaman
mudanya. Pernah dicerita orang, dia pernah mengalahkan lawan yang mengadapnya
puluhan orang serentak. Mungkin kerana ramainya musuh yang telah ditumbangkan,
gelaran Badar diberi sempena sejarah yang berlaku dalam perang Badar antara
tentera Muslimin yang sedikit dengan tentera musuh yang ramai. Peperangan itu
memberi kemenangan kepada pihak Islam dengan jayanya.
"Masuk 'buah paras' dulu
deh.. Lepas tu pasangan sambut dan cuba tarik pehanya untuk jatuhkan
lawan", begitu Pak Halim Badar ajarkan Ambo dan Abang Nar ketika sedang
berpencak.
Memang kami berdua ni selalu
jadi perhatian bila gelanggang mula dibuka. Nampak sayang benar Pak Halim Badar
pada kami berbanding muridnya yang lain. Mungkin kerana kami pandai mengambil
hatinya. Jika habis latihan, kami tak seperti muridnya yang lain, habis menadah
terus pulang. Kami melayan bual dulu dengan Pak Halim Badar hingga lewat malam.
Adakalanya, ada masa bukan kelas latihan pun kami datang menjengah. Seronok
juga melayan cerita pengalaman orang tua tu. Tak lokek sungguh dia bercerita.
Ambo melangkah sendeng ke arah
lawan. Bunga langkah tetap beralun walaupun saat menempur musuh. Merecik juga peluh di dahi
bila teruja membaca lawan.
Abang Nar yang menjadi lawan Ambo
kini bermain langkah rendah. Jika tadi sempat disambut 'buah paras', namun
kecepatan Ambo mengelak membantutkan hajatnya menumbangkan lawan. Sedia diri
juga dirinya bila Ambo mahu gunakan 'buah tetak' ketika itu.
Pernah Pak Halim Badar berikan
petua permainan," dalam silat mesti pandai tipu daya. Adakalanya tenaga
bukannya taruhan permainan. Nak menang kena tahu bertingkah....".
Hayunan tangan Ambo mensasar
lawan. Buah Tetak nampaknya sedia mengena, tapi itu hanya hayunan kosong.
Tangan Ambo yang satu lagi sebenarnya ibu senjata. Sempat Ambo menarik belakang
paha Abang Nar dan dia jatuh terlentang. Menjadi juga helah yang dirancang.
"Mu main nipu.. Mano aci
Kirin.....", tersengih Abang Nar terbaring sambil dihulur tangannya untuk
disambut bangun. Dia kemudiannya mengibas tepuk pasir yang melekat di
seluarnya. Kami berdua duduk keletihan. Nampaknya setakat itu sahaja latihan
kami pada malam itu.
Namun, kami berdua masih di
situ walaupun semua murid yang lain dan pemain adat sudah pulang ke rumah
masing-masing.
Sengaja kami menahan pulang
kerana Pak Halim Badar ingin sampaikan sesuatu pada kami. Dia sendiri yang
berpesan begitu waktu kami sampai awal di gelanggang tadi.
"Esok, ikut Pak gi Gunung
Tebu nak?", tanya Pak Halim Badar pada kami berdua.
Tanya Abang Nar,"nak gi
berkelah ke Pak?", mungkin kerana Gunung Tebu di Jertih tu terkenal dengan
air terjun Lata Tembakah yang cantik pemandangannya.
"Dok eh.. Nak gi jumpa
kawan lama. Dapat 'alamat' semalam".
"Alamat...?", soal Ambo
kehairanan. Nak pos barang ke apa...
"Bukan alamat rumah..
Dapat ilham.. ", jawapan itu barulah Ambo faham. Pening juga berkata kias
dengan orang lama ni.
"nak gi tak?",
sekali lagi Pak Halim Badar minta kepastian.
Bila bab pergi jalan-jalan,
memang kami tak tolak. Apa lagi semuanya di tanggung. Cuma bawa diri saja.
"Ya....",kami
mengangguk setuju dan serentak pula menjawab.
************************
Kami sampai di rumah sedara
Pak Halim Badar sekitar jam 3 petang. Ucop Matih tu sebenarnya sepupu Pak Halim
Badar sebelah ibunya. Memang rumahnya terletak betul-betul di kaki Gunung Tebu.
Kata Pak Halim Badar, lepas
Asar nanti akan kami mulakan pendakian. Naik ke Gunung Tebu itupun melalui kaki
Gunung Tebu di belakang rumah Ucop Matih saja.
Ucop Matih ni pula memang
peramah dan lawak orangnya. Memang tak kering gusi kami semua bila Ucop Matih
bercerita lucu. Pernah jugalah tersebur nasi yang Ambo makan akibat tak tahan
gelak bila mendengar cerita lucu Ucop Matih.
"dah pernah naik ke
'atas' ke sebelum ni?", tanya Ucop Matih pada Ambo. 'Atas' yang
dimaksudkan adalah puncak Gunung Tebu.
Ambo mengeleng kepala. Yang
paling jauh pernah Ambo sampai adalah di Air Terjun Lata Tembakah. Itupun
bersama keluarga, pergi bermandi-manda sehala perjalanan balik ke kampung ibu
di Kota Bharu, Kelantan.
"jaga diri molek deh..
Banyok hantu saka atas nung.. Jembalang pun banyak. Sekali diorang 'ngap' kamu
baru tahuuuu," panjang muncung mulut Ucop Matih mengusik.
Ambo cuma tersengih pandang.
Malas nak layan bila badan dah mula keletihan, akibat lelah perjalanan jauh
tadi.
Ambo ambil peluang yang ada
itu untuk rehat tidur sebentar. Sekadar melepaskan letih bermusafir..
***********************
Selepas solat Asar berjemaah,
kami siapkan barang-barang ringkas untuk pendakian. Cuma dengan Pak Halim Badar
ni,tak adalah protokol berkasut bagai macam join group pengakap sekolah. Cuma
berselipar, lampu picit kepala, air minuman, kain pelikat dan makanan yang
dibekalkan Ucop Matih. Parang juga terselit di pinggang masing-masing.
Maka, segera kami menghayun
langkah, susur bertiga mendaki Gunung Tebu melalui denai kecil yang sudah
tersedia.
Selepas 2 jam pendakian, Ambo
kehairanan bila asyik terpandang-pandang sebatang pokok yang sama di sisi
laluan. Seolah-olah kami berjalan di pusingan yang sama.
"Macam sesat jer kita ni
Pak...", tiba-tiba Abang Nar bersuara. Ambo juga sependapat dengannya.
Reaksi Pak Halim Badar masih
tenang. Tak nampak pun tanda risau di wajahnya. Sedangkan kami dah berkerut
galau. Hari pula dah makin gelap, maka lagi bertambah la rasa takut.
"Allah nak uji
ni...", ringkas Pak Halim Badar berkata.
Perbualan kami bertiga itu
rupanya diintai sekumpulan beruk hutan di awanan pokok. Abang Nar yang perasan
dulu akan kelibat beruk-beruk tu.
Makin lama, mereka semakin
cuba mendekat. Mungkin kerana bau bekalan makanan yang kami bawa.
Dalam kumpulan beruk-beruk
yang bergayut di pokok tu, ada seekor yang nampak lain kejadiannya. Saiznya
lebih besar dan warna kulitnya putih kemerahan. Ibaratnya beruk itu adalah
ketua kepada beruk-beruk yang lain.
Beruk-beruk itu mula berteriak
nyaring. Gamit suasana hutan yang asalnya tadi hanya kedengaran suara unggas.
Seekor demi seekor mula turun
menghala kami.. Tiba-tiba, beruk putih yang dari tadi memerhati kami mula
melompat laju menghala kami.
"Jaga-jaga...!", kilat
Pak Halim Badar bersuara perintah.
"Ya Abda.. ! Ya
Nuruzzabar...! Ya Rijalul Ghaib...!!!", teriak Pak Halim Badar sambil
bersedia memegang parang di tangan.
Kalut suasana makin
bertambah..... bersambung.. Part 2