Banyak sangat komen yang ambo baca berkenaan ‘kes ketuk pintu’ yang
berlaku di Sabak Bernam sejak akhir-akhir ini. Terbaru, gangguan tu dah berlaku
di Kuala Selangor pula.
Tergelak juga bila baca komen dan pendapat ramai netizen.
Kebanyakkannya tak percaya dan mengutarakan analisis logik sendiri termasuk
jugak lah kaki sindir. Ada yang persoalkan dengan tiada dalam CCTV, ada yang
mengejek kata ketukan kucing, ada yang kata mainan teknologi dan macam-macam
hujah serta pendapat diberi. Siap kata gangguan boleh lepas roadblock masa
dalam PKP lagi. Jangan over sangatttt... 😃
Pendapat ambo pula..?
Ambo tak nafikan memang ada pengalaman orang diganggu makhuk halus dengan
cara sedemikian. Pintu rumah diketuk, bunyi orang bagi salam tak sempurna, panggilan
nama dan bunyi seretan tapak kaki di luar rumah pada malam hari. Hal sedemikian
bukanlah perkara pelik dalam dunia perubatan mistik.
Ada juga ambo share pengalaman seorang student ambo yang turut diganggu
ketukan pintu sebegitu dan caranya berikhtiar adalah dengan menggunakan petua.
Cuma apa yang ambo terkilan, ada beberapa orang yang melulu buat tuduhan
akan hal tersebut sebagai rekaan. Adakah mereka mengalami pengalaman
tersebut..? Tentu sekali tidak. Jadi usahlah buat kepandaian jawapan sendiri kerana
itu boleh merendahkan mereka yang benar-benar menjadi mangsa. Jawapan yang
paling selamat adalah TIDAK TAHU.
Adapun baiknya diajar cara ikhtiar pagar rumah mengikut keilmuan
masing-masing. Jika benar itu mainan jin, maka kena lah ikhtiarnya. Jika tidak
pun, tak salah dikongsi ilmu seperti itu. Ada juga manfaatnya di masa akan
datang. kan..?
Jangan sebab diri tu tak diganggu, semborono mengata kat orang. Kena
atas batang hidung sendiri baru menggagau nak berubat.
*****************
Ada 3 kisah yang ambo nak kongsi untuk kita sama-sama jadikan panduan.
Harap kalian bersabar membacanya kerana 3 kisah ini sangatlah panjang.
Kisah 1 - Jelmaan Langsuir di Air Terjun Sejangkang, Pahang
Kisah 2 - Kelibat Pocong di Felda Rasau,Terengganu
Kisah 3 – Jelmaan Mayat balik makan nasi di dapur.
Kesemua kisah ini punyai ciri yang sama iaitu Allah tunjukkan hikmahNya
pada mereka yang tak percaya akan kewujudan makhluk ghaib sedangkan mereka itu
ada.
Kita mulakan.. Bismillahirrahmanirrahim…
*****************
Kisah 1 - Jelmaan Langsuir di Air Terjun Sejangkang, Pahang
Sekitar tahun 2013 dahulu, ada seorang sahabat FB yang sering kecam
dengan kongsiaan cerita yang ambo kongsi di blog Darul Manzil. Memandangkan dia
juga seorang perawat, yakni sama kerjaya dengan ambo, maka ambo tak panjangkan
hal tersebut. Memang bila cerita berkenaan penampakan jin, dia akan ke depan,
lantang menegur ambo secara awam. Rasa goyah juga hati bila lihat cara
tegurannya, tapi entah kenapa ambo tak rasa nak lawan. Hati ini cuma berdetik
dan berdoa agar Allah bukakan hatinya dan berlapang dada dengan pengalaman yang
ambo pernah lalui.
Seperti biasa, ambo akan umum dalam blog ataupun di FB jika ada rawatan
atau aktiviti luar pusat rawatan. Hari itu ambo umum nak bermalam di Air Terjun
Sijangkang, Pahang. Asalnya, hanya ambo dan 2 lagi rakan yang akan ke sana.
Tapi last minit, hamba Allah berkenaan call nak turut serta.
Dia perkenalkan dirinya dengan nama Razif (bukan nama sebenar).
Cantik sungguh timingnya. Memang ambo rancang nak bawa ke tempat yang
‘keras’ sedikit agar dapat memberi sedikit pengajaran.
Ambo bertiga bertolak dari Kemaman dan kemudian susur masuk ke Tol
Gambang, Pahang untuk mengambil Razif di situ. Nampak juga kesungguhannya
datang dengan bas dari Kuala Lumpur. Tapi hajatnya ambo tahu sebab terbaca
dalam post FB nya. Kedatangan Razif masa itu adalah nak buktikan manusia biasa
tak boleh melihat jin. Begitu sekali tekadnya.
Untuk ke Air Terjun Sijangkang tidaklah susah mana jika menggunakan
pacuan 4 roda. Kebetulan pada masa itu kereta arwah ayah ambo tiada siapa yang
guna, dapat lah ambo pinjam. Kami sampai di tapak perkhemahan sekitar jam 6:30
petang. Walaupun belum pukul 7:00 malam, suasana dalam hutan dah makin gelap
sebenarnya. Tanpa berlengah, kami pasang khemah dan sediakan kelengkapan yang
dibawa.
Hanya ambo yang membawa khemah. Sebuah khemah dengan keluasan 4 orang
dan sebuah lagi untuk 2 orang menginap. Sengaja ambo suruh Razif tidur
berseorangan di khemah yang kecil dan kami bertiga di khemah yang satu lagi.
Malam itu, setelah selesai solat berjemaah dan makan malam, kami duduk
bersembang santai. Rupanya sebagaimana Razif di dalam FB, begitulah juga
sifatnya di luar.
“ Ana still tak percaya manusia boleh nampak. Karut belaka tu. Kalau
‘rasa’ adanya gangguan Ana percayalah, sebab itulah yang Ana alami masa rawat
orang..”, katanya.
“Tak percaya tak salah, nak sindir dan tegur orang hingga datang aib tu
yang salah”, nasihat ambo tanpa berlapik.
“aah..! benda karut buat apa nak berlembut. Ni yang ustaz dok cerita,
tunjuk kat Ana lah sekarang. Ana nak tengok betul ke tak. Dah dalam hutan ni”,
tiba-tiba Razif mula mencabar.
Masa tu sabar Ambo pun mari tercabar juga. Tapi sebab ada 2 lagi
sahabat yang tenangkan, panas ambo tu sejuk semula.
“Ginilah.. doakan malam ni hujan dan ustaz akan tunjukkan. Ada rezeki
kamu, dapatlah tengok”. Dia mengangguk. Namun sempat lagi ambo dengar rengusan
yang tidak enak dari mulut si Razif, “cis, rezeki taik kucing!”.
Memang masa itu, ambo doa banyak-banyak dalam hati. Minta jangan Allah
aib kan ambo. Berilah petunjuk pada si sombong Razif tu. Risau juga sebab
keadaan bukan boleh dijangka. Kena malam tu jin tak minat nak ganggu manusia,
tak ada apalah yang boleh dibuktikan.
‘Ya Allah.. dia telah sombong akan penciptaan hambaMu, tunjukkan pula
bukti kekuasaanMu padanya’
Sekitar jam 12:30 malam, hujan turun renyai-renyai. Tanpa berlengah,
ambo kejut si Razif yang sudah lena dalam khemah. Memang ambo ingat sungguh
petua yang pernah Tok Ayah Lah beritahu, kalau berada di hutan, Langsuir mudah
menjelma kalau manusia ada luka di waktu hujan renyai-renyai.
Hanya ambo dan Razif sahaja yang berjalan mudik ke hulu sungai. Dua
lagi sahabat sengaja tidak ambo kejutkan dari lena. Kami melangkah menuju ke arah
pokok Ara liar. Semasa menyusuri tepian jeram, sengaja ambo lukakan belakang
tangan Razif dengan hirisan lalang yang sempat ambo ambil berdekatan khemah. Si
Razif pun tidak syak apa-apa kerana ambo berbohong mengatakan tidak sengaja.
Sampai di kaki pokok Ara liar tersebut, ambo arahkan si Razif duduk
diam di situ. Memang berani sungguh si Razif tu sebab dia yakin dengan
pegangannya. Tak sedikit pun dia membantah. Kalau orang lain memang tak sanggup
nak duduk sorang-sorang kat situ.
Kawasan pokok Ara liar itu menjadi pilihan kerana berada di sempadan
kawasan antara Jin Islam dan Jin Kafir di kawasan Air Terjun Sijangkang. Untuk
sampai ke kawasan pokok Ara liar tu, kita akan melalui kawasan rimbunan pokok
pandan di kiri dan kanan trak. Itu sempadannya.
Jika berlaku gangguan, ambo maklum pada si Razif agar lari ikut jalan
yang dilalui tadi. Insyaallah, tiadalah dikejar selepas sempadan kawasan tersebut. Petunjuk yang ambo
beritahu itupun hanya di pandang enteng oleh Razif.
Biarlah…. Hidayah Milik Allah..
Selepas 15 minit ambo tiba di tapak khemah, terdengar orang berlari
pantas menghala datang. Dari jauh nampak bayang lampu kelam-kabut cahayanya,
berterabur suluhannya. Rupanya si Razif. Tercungap-cungap menghela nafas menahan
lelah. Ambo suruh duduk dulu. Nampak benar letihnya berlari.
“Kenapa..?” tanya Ambo yang boleh meneka kenapa si Razif lelah sebegitu
rupa.
“Ana nampak………” bicaranya terhenti setakat itu. Nampaknya dia masih
tercungap-cungap keletihan.
Ambo hulurkan sebotol air mineral pada Razif untuk dia minum seteguk
dua dan bertenang dulu dalam mencari nafas pulih setelah penat berlari.
“Kenapa..? nampak apa-apa ke tadi?”, tanya ambo membuka bicara.
Kelihatan renek peluh di dahi Razif. Bajunya basah,lencun berkeringat.
“Ana minta maaf Ustaz. Ana akan tunaikan nazar yang Ana buat masa mula masuk
ke hutan petang tadi”.
“Nazar..? Nazar apa pulak ni?”, soal ambo hairan. Kaitan apa pula
dengan nazar si Razif ni? Pelbagai persoalan bermain di fikiran ambo.
“Ana nazar kalau nampak sungguh Jin, Ana akan tutup akaun facebook yang
ada sekarang. Nampaknya memang Allah nak tegur Ana sungguh malam ni”, kata
Razif sambil tunduk merenung lantai. Sesekali tangannya menguis-nguis tanah
dengan ranting kayu kecil.
Ambo masih diam. Sengaja ambo biarkan Razif menyambung cerita. Biarlah bersangkut
henti ceritanya asalkan dia rasa selesa. Jangan ditekan raga orang dikala
stress, nanti penyakit lain pula yang timbul.
“Masa duduk bawah pokok Ara tu Ustaz, Ana tercium bau bunga Tanjung.
Itupun selepas hilang bunyi langkah kaki ustaz. Tapi bau tu tak lah lama mana.
Bau bungai tu kemudian berganti dengan bau bangkai. Busuk sungguh sampai tak
tertahan hidung menghidunya. Tak pernah Ana rasa begitu takut hingga naik bulu
roma seluruh badan”.
Razif menyambung lagi ceritanya. Nampak benar badannya mula menggigil
tatkala bercerita. Hal itu sebenarnya ambo sudah maklum jika pelaku menghadapi
pengalaman pertama berdepan dengan makhluk halus. Sudah ambo sediakan sebatang pokok
Tepus buat bedalan jika Razif kerasukan.
“Dari pandangan anak mata, Ana dapat rasa seperti diperhatikan. Masa tu
Ana memang niat nak baca ayat-ayat rukyah yang Ana sedia tahu tapi satu ayat
pun tak terlintas di fikiran. Mulut ni pula rasa terkunci. Cuma satu ayat
sahaja yang mampu Ana ingat dan baca. Itupun hanya ALLAHU AKBAR. Yang lebih
parah, kaki Ana pun rasa seperti dipasak bumi. Malahan gerakan jemari kaki pun
tidak terasa”.
“Bila Ana dongak ke atas, tiada pula nampak apa-apa. Ana toleh juga ke
kanan, masih tak nampak apa-apa juga. Bila toleh ke kiri, ada wanita berwajah
hodoh betul-betul setentang dengan muka Ana. Cuma beberapa inci sahaja kulit mukanya
dengan muka Ana”.
Ambo hanya tersenyum sepanjang mendengar ceritanya.
“Demi Allah ustaz, Ana takpernah rasa setakut itu. Masa tu hamba mampu
pejam mata dan bertakbir sebanyak mungkin dalam hati. Alhamdulillah, masa tu
jugak lah kaki Ana dah boleh di angkat. Elok sahaja perempuan hodoh tu mengilai,
Ana cabut lari selaju mungkin. Masa Ana lari tu, mujur Ana teringat pesan Ustaz
agar lari ikut trak asal. Ikutkan memang Ana nak terjun sungai. Akhirnya sampai
jugak Ana di khemah kita ni. Ana mintak maaf Ustaz.. Ana mintak maaf”, kata
Razif berkali-kali.
“Itulah namanya Langsuir. Jin liar hutan yag tidak bertuan….”, terang
Ambo pada Razif.
“Jika nak tengok cara penangkal nya, jom kita gi sekali lagi tempat tu.
Ada cara nak berhadapan makhluk macam tu. Boleh la belajar”, ajak Ambo pada
Razif sekali lagi. Bukan niat ambo nak berlagai pandai, cuma ingin berkongsi
setakat ilmu yang ada sahaja.
“Tak apalah ustaz. Fobia tadi tak hilang lagi. Lain kali lah kita set
semula. Boleh ustaz?”, jelas Razif menolak tawaran ambo.
“Kalau begitu kata kamu, ustaz okay jer. Dah la tu. Gi tidur. Kan nanti
terlajak Subuh”, kata ambo mengakhiri perbualan.
Malam itu, Razif demam. Agaknya terkejut dengan pengalaman baru. Ambo
selimutkan dia dengan baju jaket ambo agar dapat hilangkan rasa dingin tubuh
dari sentuhan embun. Esok paginya, ambo sendiri mandikan Razif dengan jirusan
air sungai yang ambo rukyah dengan ayat-ayat perubatan pilihan terutama doa
Nabi Ibrahim.
Alhamdulillah, suhu badan Razif kebah selepas itu. Sebelum tengah hari,
kami sudah pun keluar dari hutan Air Terjun Sijangkang dan Razif ambo hantar ke
stesyen bas Kuantan untuk dia pulang ke Kuala Lumpur. Itulah kali terakhir ambo
bertemu dan bercakap dengan Razif kerana selepas kejadian itu, akaun FB nya
telah ditutup dan nombor telefonnya sudah tiada dalam perkhidmatan.
Entah apa yang Razif fikirkan tidaklah ambo tahu. Walau apa pun, jika
Razif ada membaca coretan ini, hubungi lah ambo. Tak elok putuskan silaturrahim
yang dah dibina. Ambo menanti panggilan mu wahai sahabat.
Wassalam..
p/s: Nantikan kisah ke-2 - Kelibat Pocong di Felda Rasau soon. Jumpa
lagi.. Tata titi tutu..