'Gagah' Orang Tanah Seberang



'Gagah' Orang Tanah Seberang

************************************

Pak Man Telur memang bukan asing namanya di kalangan penduduk Felda Cheneh. Pada awalnya, Pak Man ni menjadi pesakit ambo. Bila dah lama kenal, dah banyak kali bertandang ke rumah, lama kelamaan dah jadi macam saudara pula.

Pak Man ni asalnya orang tamah seberang. Menurut ceritanya, beliau datang ke Malaysia sejak tahun 1978 lagi. Setelah berkahwin dengan orang tempatan, Pak Man akhirnya menetap di Felda Cheneh, Kemaman dengan bekerja sebagai pengait buah sawit. Beliau sudah pun mendapat 'IC Merah' dah kini berumur 62 tahun.

"Ustaz.. Saya dulu datang Malaysia masuk kot kepala dulu. Orang lain kaki dulu..".

Maksud Pak Man, kedatangannya dahulu ke tanah Malaysia ni ikut tongkang laut. Bila saja bot sudah nampak daratan, di situ penumpang perlu terjun, berenang hingga ke tebing. Mana yang tak mampu, pasti mati lemas. Punya lah susah masa kedatangan awalnya. Tapi kini alhamdulillah, dia dapat hidup selesa dan sudah pun bercucu.

Walaupun sudah berumur, Pak Man masih kuat kudratnya, bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit. Setandan sawit yang beratnya hampir 70kg bukan sebarang orang mampu lakukan lebih-lebih lagi orang berumur sepertinya.

Banyak orang tempatan yang menyangka Pak Man ni berilmu. Maklumlah datangnya dari Indonesia.  Ada juga yang minta agar diberikan ayat-ayat amalan agar menjadi kuat sepertinya.

Ketika bertandang ke rumah ambo tempoh hari, sempat Pak Man berkongsi amalan tersebut dengan Ambo. Amalan sebenarnya amat mudah tetapi dijalankan secara secara istiqamah.

Pertama, hindar diri minum air berais. Digalakkan minum air panas suam walaupun cuaca panas. Kemudian, sebelum memulakan pekerjaan, tadah tangan dan bacakan Al-Fatihah 7 kali disusuli 3 Qul dan berdoalah agar selamat dalam pekerjaan dan dimurahkan rezeki dalam kehidupan.

Begitu ringkas saja amalannya tetapi sudah diamalkan selama bertahun-tahun. Pak Man juga izinkan amalan ini disebarkan. Moga mendapat barokah kita semua dalam kehidupan sehari-hari.

~gelaran Pak Man Telur diberikan kerana sebelum ini Pak Man pernah menjual telur itik sebagai sebagai pendapatan sampingan pada waktu petang di sekitar kampungnya.

Wassalam..





Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim Part 5 (Akhir)




Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim
Part 5 (Akhir)

******************************

Suara azan laungan Pak Halim Badar bergema dalam ruang Gua Mat Hasan. Badi hutan yang merasuk lelaki Kemboja itu telah berasa getaran hikmah azan yang didengarinya. Namun begitu, bukan mudah dia mengalah. Walaupun beberapa kali cubaan untuk mara menyerang Pak Halim Badar gagal, dia cuba pula melempar parang di tangannya.

Nyaris pusingan parang yang dilempar mengena bahu kanan Pak Halim Badar. Walaupun sedang mengelak, laungan azan tetap diteruskan. Setelah cubaan serangan itu turut gagal, makhluk itu cuba pula membaling batu yang dikutip di lantai gua.

Ambo dan Abang Nar masih ‘bertiang tebing’ di sisi mulut Gua Mat Hasan. Bila diperhatikan pertempuran di antara Pak Halim Badar dan Badi Hutan itu, sememangnya nampak sengit. Cuma yang menjadi hairan pada kami bila batu besar yang dilempar pada Pak Halim Badar menjadi debu pasir saja bila mengena tubuh badan.

“Mu guno ilmu gapo ni hah..?! Celako sungguh..!”, sumpah seranah Badi Hutan itu pada Pak Halim Badar.

Tidak sedikit pun dilayan bebelan Badin Hutan itu. Lengkap melaungkan azan hingga 7 ulangan, Pak Halim Badar menyeret kakinya mengelilingi Badi Hutan tersebut hingga membentuk garis bulatan pasir. Bila  bertemu di tempat mula, maka dibaca Mantera Bakar dengan disudahi dengan petikan sebilangan ayat dari surah Ali-Imran ayat 181 sebanyak 7 kali.


“Hay Malik ‘Alaihissalam,
Titih payung bersambung Jibril,
Diberi api turun ke bumi,
Namun tak padan tanggungnya alam,
Walau terendam 70 kolam,
Masih bersisa bara menyala,
Cukup la bakar di atas dunia,
yang lain biar di alam baqa’.
Bakar..bakar..bakar,
hancur zat isi dan badan,
berkat Lailahaillah Muhammadurrasulallah”

WANAKU-LUU ZUU-KU AZA-BAL HARIIQ - 7x

Maka terlaung-launglah si Badi Hutan menahan kesakitan. Badan yang ditumpang pada asalnya cerah mulai hitam kemerahan hingga akhirnya mengeras hangus. Sesudah itu, kelihatan segumpal asap hitam keluar melalui umbun si mayat. Namun, gumpalan asap itu terkurung dalam bulatan batin yang telah dijampi Pak Halim Badar.  Bagai menempuh dinding, berkali-kali gumpalan asap itu mencuba keluar.

“Kirin…! Nar…! Masuk sekarang”, tiba-tiba Pak Halim Badar bersuara. Kata-kata itu sememangnya ditujukan pada kami berdua. Tanpa berlengah, kami bergegas masuk ke dalam Gua Mat Hasan dan mengadap Pak Halim Badar.

“Nampak tu..?”, tanya Pak Halim Badar sambil muncung mulutnya menghala ke arah gumpalan asap tersebut. Walaupun hanya bertemankan lampu kepala, ruang dalaman Gua Mat Hasan cukup terang kerana turut dibantu bias cahaya bulan terang di luar gua.

“Nampak.. Rasanya tu ‘ibu’ Badi Hutan tu kan.?, jawab Ambo meneka.

Pak Halim Badar mengangguk beberapa kali. Diminta berikan botol air bekalan pada Abang Nar. Sebaik saja botol air berpindah tangan, Pak Halim Badar meneguk habis air di dalamnya. Sendawa juga dia beberapa kali kerana kenyang air senafas minum.

Dibaca pula Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Ayatul Qursi dan Yasin ayat 9 pada botol itu. Badan botol di pegang di tangan kanan manakala penutupya di tangan kiri. Kemudian, tapak tangan kiri itu dihala arah gumpalan asap hitam tersebut sambil membaca LAHUL HUQMU WAILAI TURJA’UN sebanyak beberapa kali. Secara perlahan-lahan, tangan kiri Pak Halim Badar melintasi garisan bulatan hingga sebahagian tangannya menggenggam gumpalan asap hitam tersebut.

Muncung mulut botol di tangan kanannya dirapatkan ke genggaman tangan kiri. Secara beransur-ansur, gumpalan asap hitam itu ditolak masuk ke dalam botol hingga tiada lagi bersisa di luarnya. Pantas PaK Halim Badar menutup lubang botol dengan tudungnya dan diletakkan di tanah.

“Nak buat apa lagi lepas ni Pak Halim..? Geng Hj. Taslim macam mana pula?”, tanya Ambo bertalu-talu.

“Okay dah ni. Selesai dah. ‘Ibu’ badi ni kita tangkap dah, maka yang lain pun akan lemah sama. Nak hapus ‘ibu’ ni kena tunggu Hj. Taslim. Nanti tahulah kenapa gelarannya Wali Air”, tersenyum Pak Halim Badar menjawab.

******************************

WALI AIR


“ Assalamualaikum ”, Hj. Taslim mengucap salam pada kami bertiga. Seperti yang dijanjikan, pertemuan kami itu dilakukan di tebing Sungai Cakah Dua. Kelihatan anak-anak buah Hj. Taslim memegang pangsi buluh yang berbalut di hujungnya.

Pada hemat ambo, pangsi buluh itu adalah kurungan Badi-badi hutan yang ditangkap sebagaimana yang Pak Halim Badar lakukan pada botol air minuman tadi.

“Dah selesai semuanya?”, tanya Pak Halim Badar pada Hj. Taslim.

“Alhamdulillah. Tunggu tugas akhir saja lagi. Moga dimudahkan..”, tenang jawab Hj. Taslim.

“Amin”, serentak Pak Halim Badar dan anak-anak buah Hj. Taslim membalas. Ambo dan Abang Nar yang masih terpinga-pinga ketika itu turut mengaminkan tanpa tahu apa tindakan Hj. Taslim selanjutnya. Masih berteka-teki dengan apa yang  berlaku.

Hj. Taslim menyilang paha, duduk rapat ditebing Sungai Cakah Dua. Sambil berkumat-kumit membaca, dicelupkan tangan kanan ke dalam air sungai separas buku lali itu. Ambo cuba-cuba juga menangkap bacaan yang dibaca Hj. Taslim tapi tidak jelas kerana bacaannya laju. Hanya bunyi hujung angin saja yang boleh didengar.

Tangan yang mencelup itu kemudian dipusing-pusing arah tawaf hingga membentuk pusaran air. Lama-kelamaan, pusaran air itu semakin membesar dan membentuk lohong pusaran air, luas dan dalam ke dasar tanah sungai. Masa itulah kesemua botol dan pangsi buluh-buluh kurungan Badi Hutan itu dicampak ke dalamnya. Hanya beberapa saat saja, pusaran itu kembali mengecil dan aras sungai kembali tenang.

Rupanya, gelaran Wali Air yang diberikan pada Hj. Taslim adalah kelebihan beliau mampu mengawal aliran air walau dimana atau apa jua keadaan. Sewaktu dalam perjalanan pulang, Pak Halim Badar banyak bercerita tentang kelebihan Hj. Taslim pada kami berdua. Pernah satu ketika musim kemarau, Hj. Taslim pernah mengarahkan air sungai mengalir naik dari hilir ke hulu hingga airnya dapat digunakan oleh penduduk kampungnya.

Begitulah antara kehebatan yang Allah berikan pada Hj. Taslim sebagai satu tanda kebesaranNya. Kesemua kelebihan yang ada, adalah dengan izin Allah SWT semata-mata.

Sekian, Wassalam.

~Tamat



Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 4




Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 4
******************************

“Kat mana tempatnya sarang mereka tu Hj?”,tanya Pak Halim Badar pada Hj. Taslim.

“Dekat dengan Gua Mat Hasan”

“Pasti?”, Pak Halim Badang bertanya lagi. Kali ini dia perlu pastikan tempat sasarannya tepat. Jika tersalah arah, berkemungkinan perjalanan di hutan tebal menuruni Gunung Tebu akan sesat dan jauh perjalanannya.

Hj. Taslim mengangguk yakin. Katanya, sudah banyak kali dia ke situ untuk mengintai gerak-geri makhluk Badi Hutan berkampung.

“Baiklah. Jika begitu, kita bergerak dalam dua kumpulan. Cukuplah kami bertiga. Yang lain Hj. yang pimpin… Ya..?”, suara Pak Halim Badar memberi cadangan.

Ambo dan Abang Nar hairan juga dengan strategi Pak Halim Badar itu. Cukup kah kalau hanya kami bertiga? Pertanyaan dalam benak fikiran kami berdua itu dapat pula dibaca Pak Halim Badar.

“Cara kita lain. Gerak mereka pun lain. Insyaallah, nanti di sana nanti korang akan tahu,”, begitulah Pak Halim Badar memujuk hati kami agar percaya dan bersangka baik pada arahan guru. Langkah orang lama lebih berbisa kerana pengalaman yang dilalui. Mereka lebih ‘makan garam’ berbanding orang muda.


***************

LANGSUIR..

Seperti yang dicadangkan oleh Pak Halim Badar, kami bergerak dalam dua kumpulan. Kumpulan yang dipimpn Hj. Taslim sekitar 6 orang bergerak mendahului kami bertiga. Memang nampak tegap sungguh badan orang-orang muda pimpinan Hj. Taslim itu. Hanya beberapa minit saja mereka di hadapan, kelibat mereka hilang selepas melalui kabus embun sewaktu menuruni Gunung Tebu tersebut.

Ketika dalam perjalanan itu, melalui sebuah batu yang amat besar. Kata Pak Halim Badar, itulah dia Batu Madrasah. Jika diizinkan Allah terbuka mata batin, sebenarnya Batu Madrasah itu adalah tapak surau lama kaum bunian tadi. Perkampungan bunia itu sebenarnya berdekatan dengan Taman Santai Bunian. Hanya beberapa meter menghala matahari jatuh dari puncak Gunung Tebu itu.

Dalam perjalanan malam bertemankan suluhan lampu kepala, ambo dengar jelas bunyi jatuhan air terjun. Semakin dekat perjalanan kami dengan bunyi air terjun itu, Pak Halim Badar menyuruh kami memperlahankan langkah berjalan.

Bertanya Pak Halim Badar sambil berbisik,”ada sesiapa yang luka tak? kudis ker? kena ranting ker?”.

“Saya Pak Halim. Kena daun buluh masa lalu kat kawasan buluh hutan tadi”, akui Abang Nar. Seraya itu Ambo juga lihat-lihat di anggota badan kalau-kalau ada juga luka yang terhiris. Rasanya memang tak ada.

“Allah.. cari bala doh la kali ni…”. keluh Pak Halim Badar bila mendengar akuan Abang Nar.

“Bakpo..”. tanya Ambo dengan pertanyaan Pak Halim Badar itu. Abang Nar juga inginkan penjelasan yang sama.

“Kawasan kita duduk ni dekat dengan Punca Air Gunung Tebu. Banyak Langsuir sini. Kalau ada luka, pahtu ada hujan pulok, memang dia muncul. Jadi lambat perjalanan kita nanti”, tertelan air liur ambo tengok Abang Nar bila Pak Halim Badar berkata begitu.

“Dah tu camana ni Pak..?”. soal Abang Nar cemas.

Belum sempat Pak Halim Badar menjawab, terdengar suara perempuan mengilai nyaring di atas pokok besar sebelah kami. Pada masa itu, memang terasa bulu roma naik ke tengkuk. Di tambah pula hujan renyai-renyai mulai turun, rasa seram makin lah terasa. Ambo dan Abang Nar bersauk siku. Bimbang juga kalau Langsuir itu menyerang.

“Mercun bola mana Kirin?”, tanya Pak Halim Badar.

“Ada ni,” jawab Ambo sambil hulurkan mercun bola bersama pemetik api kepada Pak Halim Badar yang diambil dari beg galas. Tanpa berlengah, sebiji mercun bola dibakar, dan dilempar ke arah hilaian Langsuir di puncak pokok. Walaupun hilaian ketawa Langsuir itu senyap seketika, ia kembali mengilai dari arah lain pula.

Kali ini, Pak Halim Badar gunakan 2 biji mercun bola dan melempar ke arah bunyi hilaian berkenaan. Sewaktu melempar, dibaca seiring INNA FATAHNA LAKAFATHAM MUBIINA….!, iaitu ayat 1 daripada surah Al-Fath.

‘Gedebuk’ bunyi benda jatuh dihadapan kami. Segera Pak Halim Badar berlari ke arah itu sambil dikeluarkan parang dari sarungnya. Kami juga tergesa-gesa menurut langkah Pak Halim Badar. Semput juga berlari ribut begitu.

Di hadapan kami kelihatan seorang wanita berambut panjang, terbaring lipat di atas tanah. Terdengar juga suara nafas wanita itu menghela kencang kesakitan.

“aku nak kira mudah..! Pergi dari sini atau aku wi mu sakit. Pilih nak yang mana?”, kata Pak Halim Badar. Parang di tangan tetap digenggam rapi. Bersedia juga kalau wanita itu menyerang.

“hihihihihi…. mu ingat boleh lawan aku..?,”kata wanita itu sambil mengilai ketawa.

Pak Halim Badar nampaknya kali ini tidak banyak bersuara. Nampak lebih langkah dari suaranya. Segera hulu parang di benam dalam tanah. Dalam benamnya hanya sekitar suku panjang parang sahaja. Kemudian, dikeluarkan parang dari tanah dan dibaca mentera sekuat laungan suara.

“Hey betina berambut panjang,
Selubung putih bermain awan.
Aku tahu asal usulmu,
Langsuir baka siluman,
kerana bercampur angin setan,
Aku pengikut Sultan Abu Bakar.
Sumpah bertapis perkena manusia.
Berkat kalimah Lailahaillah,
Muhammadurrasulullah”.

“fuh…!”, dihembus tanah yang terlekat di parang dengan satu nafas. Kemudian, belakang parang itu dihayun laju, menetak sebiji baju besar di tanah. Bunyi ‘ting…ting…ting..’ lagaan besi parang dan batu memeritkan telinga wanita itu. Dicuba menutup kedua telinganya, namun gema bunyi tersebut makin kuat memeritkan pendengarannya.

Dari ketawa mengilai-ngilai, akhirnya dia merayu tolong dihentikan perbuatan itu,”tolong..tolong jangan buat lagi. Aku tak tahan…”. Beberapa kali juga dirayu sedemikian sebelum Pak Halim Badar menghentikan perbuatannya.

Sebaik saja parang disarung, dengan pantas wanita itu bangun dan terbang naik ke pokok. Tiada lagi ketawa mengilai yang bila saat itu Ambo perasan, suara unggas rimba pun turut diam ketakutan. Berasa lega dan syukur sungguh. Satu lagi kemudharatan telah dimudahkan. Alhamdulillah.

Perjalanan kami diteruskan. Ketika melalui laluan denai menghala turun ke kawasan yang dikenali sebagai Jendela Pandang, banyak kali juga Ambo melihat makhluk binatang yang pelik-pelik. Ada juga melihat katak di atas pokok yang besar saiznya. Arnab yang bewarna emas dan pernah Ambo dan Abang Nar tiba-tiba disuruh matikan langkah dan menahan nafas. Rupa-rupanya melintas si ular Sawa sebesar batang pokok Pisang. Lajunya lintasan ular sawa tu hingga terasa angin yang membuaikan rambut. Persis lintasan keretapi laju dilandasan.

Memang berasa seronok dapat melihat pengalaman baru begitu. Tapi jika boleh ditimbang antara seronok dan takut, rasanya lebih rasa takut ikut gayanya.

Dari laluan denai yang tingi-tinggi rumput lalangnya, kami melalui pula denai yang lebih rata. Pak Halim Badar tunjukkan sebatang pokok besar yang akarnya masuk menembusi batang pokoknya. Agak berbeza dari kebiasaan kerana sifat akar biasanya melilit pokok. Ini, akarnya menembusi batang pokok dan barulah hujung keluarnya melilit pokok secara menaik.

“Tu lah gerbang alam ‘sana’ kalau kita naik kot Air Terjun Lata Belatan. Lepas ni kita jumpa sempadannya pulak..mari”, ajak Pak Halim Badar. Hanya beberapa minit dari tempat ‘gerbang’ tadi, kami sampai di kawasan berbatu. Sedikit lagi langkah ke hadapan, ada ruang tanah lapang sekitar 2 relung, seakan-akan di situ letaknya lorong masuk. Memang di kiri dan kanan nak masuk ke ruang tanah itu ada serumpun pokok tebu yang berpangsa 3. Warna pokok tebu itu Ungu gelap dan berkilat bila terkena suluhan lampu.

Di situlah kumpulan Hj. Taslim berkumpul. Kami disambut Hj. Taslim yang pada mulanya bersila bertafakur. Anak-anak buahnya juga berkelakuan sama. Diam dan qiam dalam fana zikir diri masing-masing. Sempat juga Ambo tangkap zikir ulangan di bibir mereka. Ayat Nabi Yunus dalam perut Ikan Nun itu diulang-ulang tanpa putus.

“Dah lama sampai Hj..?”, tanya Pak Halim Badar.

“Lama dah.. Kenapa lewat sangat..?”, soal Hj. Taslim pula. Lantas Pak Halim Badar ceritakan pengalaman berjumpa Langsuir tadi.

“Dah masuk tanah dia, memang la diganggu. Kenapa tak lalu ikut tepi lembah air tu?”, lanjut soalan Hj. Taslim pula.

“Nak cepat.. tulah padahnya”, jawab Pak Halim Badar sambil ketawa kecil.

“Nampaknya, masalah kita makin bertambah ni. Ada mangsa baru lagi. Dah jadi mayat hidup masa Kami intai tadi”, cerita Hj. Taslim.

Mengeluh juga Pak Halim Badar bila mendegar laporan risikan Hj Taslim tu. Beberapa kali juga Ambo dengar Pak Halim Badar beristighfar.

“Badi Hutan ni kalau dah menumpang jasad, kekuatannya makin kuat. Apalagi kalau mayatnya masih baru..”, keluh Pak Halim Badar seorangan.

Setelah lama berfikir, Pak Halim Badar cadangkan kumpulan dibahagi 3. Hj Taslim disarankan menggempur Badi Hutan yang masih siluman. Ambo dan Abang Nar di suruh bakar sarang mereka di dalam Gua Mat Hasan dan Pak Halim Badar sendiri akan berhadapan dengan mayat hidup rasukan Badi Hutan itu. Selepas selesai urusan tugas masing-masing, semua diminta berkumpul di kawasan Sungai Cakah Dua.

Setelah menerangkan susun atur serangan, semua kumpulan bergerak serentak.


*********************

Ambo dan Abang Nar sudah sampai di pintu Gua Mat Hasan. Dari celahan tepi dinding gua itu, jelas kami nampak Pak Halim Badar sedang berdiri bercekak pinggang. Di hadapannya ada seorang lelaki bermata sepet, turut berdiri bersama parang di tangan.

Lelaki itu bersuara parau,”hahahahahaa… memang aku tahu doh mu akan mari. Berani mu dih..?”.

Soalan lelaki itu tidak dijawab oleh Pak Halim Badar. Sebaliknya, diangkat kedua tangan separas cuping telinga. Kemudian dilaungkan azan sekuat-kuatnya. Bergema suara Pak Halim Badar dalam Gua Mat Hasan itu.

Setiap kali rangkap azan beralih, lelaki itu akan terpelanting ke belakang. Namun digagahi bangun kembali dan cuba mara menyerang Pak Halim Badar.

“Jangan ingat aku ni takut bila kau baca tu..!”, jerit lelaki itu. Nampaknya bukan mudah dia menyerah kalah. Kali ini dilempar parang di tangannya. Berpusing-pusing parang itu terbang ke arah Pak Halim Badar yang sedang azan..

bersambung


























MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.