Assalamualaikum..
Ingin saya kongsikan sebuah kisah pengalaman diri saya sendiri untuk sama-sama kita jadikan ikhtibar dan semoga ianya menjadi panduan dalam kehidupan kita.
Pada hari ini, kita sedia maklum akan keadaan ekonomi yang tidak stabil. Kesan global ini telah memberi impak yang sangat besar terutamanya golongan sederhana dan miskin. Saya juga turut merasai kesannya. Sebagai Perawat Islam sepenuh masa, hasil pendapatan yang diperolehi sejak 2 tahun kebelakangan ini tidak mampu menampung kos asas sara diri keluarga.
Ramai pesakit yang saya ubati tidak membuat bayaran selepas berubat. Ada juga yang masih membayar RM10 walaupun sesi berubat mengambil masa 3 jam lamanya. Nak kata tak faham, saya kira tulisan harga perkhidmatan sudah dipamer berdekatan tabung bayaran.
Maka, apa yang mampu saya buat adalah bersangka baik. Mungkin memang benar dia tidak mampu atau punyai masalah kewangan. Saya hanya serahkan nasib rezeki saya pada Allah bila itu berlaku.
Tahun lepas sahaja, elektrik rumah saya pernah dipotong sebanyak dua kali. Kalau setakat bil internet dan telefon, memang kerap sangat dipotong. Sewa rumah juga pernah tertunggak sehingga 4 bulan lamanya. Nak ikutkan rasa malu pada tuan rumah memang tak mampu diluah dengan kata-kata. Tapi apa kan daya yang ada. Selagi hidup, digagahkan juga untuk bertahan.
Alhamdulillah, dengan bantuan beberapa orang sahabat dan keluarga, saya berpeluang membuka Kiosk yang menjual barangan runcit. Kiosk ini beroperasi selama 24 jam kecuali hari Jumaat. Walaupun hasil yang diperolehi tidak lah sebesar mana, saya masih bersyukur kerana ia sedikit sebanyak mampu menampung keperluan barang dapur dan perbelanjaan anak ke sekolah sehari-hari.
Jika sebelum ini, pendapatan melalui bidang rawatan sahaja adakalanya tidak masuk sebarang hasil. Pernah saya sekeluarga makan Nasi Goreng Ikan Bilis selama beberapa hari kerana nak jimatkan belanja.
Setelah adanya bisnes Kiosk tersebut, soal belanja dapur dan perbelanjaan kecil tidak lah saya risau sangat walaupun pendapatan dalam bidang rawatan tidak seberapa. Namun, ketika baru nak berasa selesa, saya diuji lagi bila ditipu dengan kontraktor binaan ketika mahu menambah-baik Kiosk saya tersebut.
Lebihan kos dan hasil servis yang tidak memuaskan menyebabkan saya rugi teruk. Apatah lagi individu berkenaan adalah sahabat saya sendiri yang pada pandangan saya seorang yang alim. Rupanya warak hanya tampak secara luar. Bila dah berurusan baru tahu lenggok perangainya.
Kiosk saya juga pernah 2 kali dipecah masuk pencuri. Akibat daripada tragedi itu, tidak semena-mena saya terpaksa mengganti duit jualan topup kepada ejen. Handphone yang dicuri juga terpaksa dibeli untuk kegunaan operasi kedai. Tidak termasuk lagi wang tunai yang turut dirembat sama. Mujurlah kejadian tersebut berlaku di awal bulan, maka boleh lah saya berjimat dengan untung jualan untuk 'cover' dan bayar semula apa yang dicuri.
Syukur pada Allah.. kejadian itu Allah bantu dan berikan jalan keluar. Ejen Cina yang berurusan dengan saya memahami situasi yang saya alami dan tidak meletakkan had tempoh bayaran semula. Alhamdulillah, dah selesai pun bayarannya. Handphone baru pula ada ehsan pelanggan tetap yang belanja dan duit yang hilang Allah ganti dengan lakunya jualan Pati Kelor dan Bidara pada bulan itu. Syukur..
Kemudian, hampir setiap bulan kereta Exora saya masuk bengkel dengan pelbagai masalah yang berbeza. Sudah 4 kali Exora saya di overhaull. Turbo yang rosak, water pump, stereng rack, masalah suspension dan macam-macam kerosakan yang terpaksa saya tanggung.
Ujian seterusnya bila Allah uji saya dengan masalah kesihatan isteri. Akibat salah rawatan dengan seorang perawat tradisional, bahu isteri saya terkehel hingga menyukarkan pergerakan tangannya. Maka, berhabis lah kos berubat dalam ikhtiar merawat isteri yang tersayang.
Walaupun saya sendiri tahu mengubati dalam bab keilmuan tulang saraf, rawatan pada isteri dan anak-anak sendiri tidak berkesan. Acap kali juga saya ikhtiar sendiri, namun tiada kesan positif. Mungkin bukan saya ‘ubatnya’ untuk mereka.
Alhamdulillah, Allah temukan saya dengan seorang pakar tulang patah di Pahang. Namanya Pak Ya. Bila dibawa isteri berubat dengan beliau, rawatan tidak dapat diteruskan kerana katanya ruang antara sendi bahu yang terkehel tersebut sudah lama dan kering. Maka Pak Ya cadangkan saya menggunakan beberapa jenis pohon herba untuk buat rawatan sendiri dahulu di rumah. Jika ada perubahan, barulah datang semula untuk perbetulkan sendi tersebut.
Dari situ timbul idea saya untuk ekstrak herba-herba yang diajar kepada bentuk pati minyak. Saya memohon izin dari Pak Ya bila saya usulkan idea tersebut. Kata Pak Ya, beliau tidak tahu caranya. Namun dia izinkan jika saya tahu. Kebetulan memang saya pernah belajar perihal membuat ubat-ubatan tradisional sebelum ini dan tidak lah menjadi masalah pada saya untuk merealisasikan idea tersebut.
Maka, selepas siap memproses herba-herba yang terpilih kepada ekstrak pati minyak, saya buat testimoni pada isteri saya terlebih dahulu.
Alhamdulillah, hanya selama 3 hari penggunaan, sendi bahu isteri saya telah pulih 100%. Saya cuba juga pada ibu saya yang mengalami masalah lutut dan tidak sampai seminggu, masalah lutut ibu saya telah pulih. Kemudian, beberapa lagi cubaan testimoni diberi kepada pesakit yang mengalami masalah slip disc, bengkak lipatan sendi, luka kemalangan, kegatalan, tersalah urat leher dan banyak lagi masalah yang berkaitan. Hasilnya begitu menakjubkan. Rata-rata hasil yang diperolehi kurang daripada 1 minggu penggunaan.
Maha Suci Allah yang menciptakan tumbuhan untuk pelbagai hikmah penggunaan. Subhanallah..
Atas saranan sahabat, saya mula perkenalkan minyak pati herba tersebut secara komersial dengan nama Minyak Herba Wali. Di awal perkenalan, saya kekurangan modal untuk menempah kotak produk. Sekali lagi saya bersyukur kerana ada seorang hamba Allah di Kuala Terengganu yang sudi menerima tempahan kotak dalam unit yang sedikit. 50 unit pun boleh tempah. Dari situlah, saya menjual dan membuat pusingan modal seterusnya mampu menempah dalam kuantiti yang besar setelah kini Minyak Herba Wali telah mendapat perhatian pelanggan. Rata-rata pembeli yang menggunakannya, pasti berminat untuk menjadi ejen setelah merasai sendiri kesan positifnya sendiri.
Walaupun saya mendapat pendapatan aktif sepanjang 4 bulan perkenalan, wang pendapatan tersebut habis digunakan untuk membaiki kereta setiap bulan. Allahurabbi..
Ujian seterusnya bila isteri saya diserang masalah bayi pra-matang dalam kandungan. Dengan isian tunai yang tidak seberapa, isteri saya terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Terengganu dengan ambulan untuk mendapat rawatan di sana. Saya begitu susah hati kerana saya tidak punyai sedara-mara di Kuala Terengganu. Anak-anak saya seramai 5 orang yang masih sekolah rendah tepaksa saya tinggalkan dalam jagaan ibu dan adik saya yang kebetulan dalam cuti pengajian.
Petang itu, saya memandu sendirian ke Kuala Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur. Sepanjang perjalanan, hati saya berbaur sedih, takut dan risau. Jika lama isteri saya ditahan rawat di Kuala Terengganu, mana pula nak saya cari modal sara diri saya di sana? Urusan Kiosk saya pula bagaimana? Nak proses dan keluarkan produk Minyak Herba Wali pula macam mana? “Allah…tabahkan ujian ini untuk ku…”. Hanya ungkapan itu saya ucapkan dalam hati. Moga-moga makbul doanya.
Sedang asyik memandu dengan galau perasaan yang difikirkan, tiba-tiba kereta yang saya pandu ‘mati’ sendiri. Mujurlah sempat saya hentikan kereta di tepi jalan. Beberapa kali saya mencuba, enjin kereta masih tidak dapat dihidupkan. Secara kasar, saya syak masalah tersebut berpunca dari dalam enjin. Sah saya akan habis ribuan ringgit lagi untuk membaikinya selepas itu.
Tanpa sedari, tumpah juga air mata saya bila risau memikirkan keadaan isteri yang saya pasti sudah sampai di Hospital Kuala Terengganu. Masalah lain yang timbul bila kawasan kejadian tidak mempunyai signal liputan telefon. Mati akal saya dibuatnya. Di tambah pula langit nampak semakin gelap, tanda-tanda hujan yang akan turun.
Saya beristighfar beberapa kali. Acap kali juga saya berdoa.. “Ya Allah.. jika ujian ini kerana balasan dosa-dosa aku, jangan lah Kau tempias pada isteriku yang sedang sakit dan keseorangan di negeri orang. Janganlah kau sedihkan anak-anak aku. Kalau setakat untuk aku seorang aku redha ya Allah. Tapi untuk isteri dan anak-anakku, aku tak mampu ya Allah.. Bantulah aku ya Allah..bantulah aku..”
Dalam tangisan itulah, saya tekad berjalan untuk mendapatkan signal liputan telefon agar boleh saya hubungi pihak insuran kereta. Hampir 500 meter saya berjalan menyusuri lebuhraya berbukit, sebuah Lori Towing berhenti dan menawarkan diri untuk menunda kereta saya. Dengan baik, saya menolak pelawaan beliau kerana jika dengan pihak insuran, kereta saya akan ditunda percuma. Saya perlu jimatkan wang yang ada untuk sara diri saya di Kuala Terengganu nanti.
Pemandu itu mula berasa kasihan dan minta saya ceritakan masalah yang saya alami. Selepas mendengarnya, dia tawarkan pula untuk menunda kereta saya secara percuma..
Syukur ya Allah.. Engkau hadirkan hambaMu di kala aku memerlukan.
Kata pemandu towing tersebut, jika mahu dapatkan signal liputan telefon, saya perlu berjalan hampir 3 kilometer jauhnya dari tempat saya berhenti. Mujurlah saya berjumpa beliau yang kebetulan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Kereta saya ditunda hingga ke Tol Kerteh. Di situ, saya dapat hubungi pihak insuran untuk datang menunda kereta saya ke bengkel di Kemaman. Masalah yang lebih parah bila memikirkan kenderaan siapa yang boleh saya guna untuk ke Kuala Terengganu.
Ada juga saya hubungi mekanik yang saya kenal. Walaupun dia dapat datang ke tempat kejadian, dia tiada kenderaan untuk saya pinjam. Jika nak sewa, tinggi juga kosnya. Maka di tepi Surau Tol Kerteh itulah saya menangis keseorangan. Betapa kusutnya fikiran saya ketika itu.
Tiba-tiba saya disapa seorang lelaki yang singgah solat di situ. Sambil meletakkan tangan di bahu saya, dia hanya sarankan saya bersolat terlebih dahulu. “Mengadulah pada Allah dalam sujud”, nasihat dia lagi. Saya seperti dipukau hanya mengiyakan nasihatnya dan bingkas bangun untuk solat di surau.
Dalam sujud maghrib itu, saya berdoa sebanyak-banyaknya. Habis lencun air mata hingga basah sejadah yang saya sujud. Doa saya hanya satu.. “Kau Bantulah Aku.. Mudahkan Urusan Ku.. Tabahkan hatiku.. Ringankanlah ujianku..Allah..Allah..”
Sebaik saja selesai solat dan wirid ringkas, saya menerima panggilan telefon dari Kak Angkat saya. Kak Yah yang saya kenal dulunya adalah pesakit saya. Namun, kami kini umpama keluarga setelah sekian lama mengenali hati budi masing-masing. Tanpa banyak bicara, Kak Yah tawarkan keretanya untuk saya guna bagi menjaga isteri di Hospital Kuala Terengganu.
Saya berasa terharu kerana Kak Yah sanggup bersusah payah meminta tolong sahabatnya mengambil dan menghantar anaknya ke sekolah sehari-hari disebabkan keretanya terpaksa dipinjamkan kepada saya. Kerana saya, orang lain pula yang terpaksa menanggung beban.
Sehingga ke hari ini, budi Kak Yah dan suaminya tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Semoga Allah meluaskan pintu rezekinya hingga berlimpah-ruah.. Amin.
Malam itu, Kak Yah dan suaminya datang ke Tol Kerteh dengan 2 kenderaan secara konvoi. Sudahlah diberi pinjam keretanya, diberi pula duit belanja minyak kepada saya.
Allah Hurabbi… Engkau bantu aku saat aku memerlukan…
Dapatlah saya bergerak ke Kuala Terengganu dengan kenderaan milik Kak Yah. Sekitar jam 1:30am, saya tiba di Kuala Terengganu. Bila saya telefon isteri bertanya khabar, barulah saya tahu yang dia masih belum makan sejak jam 2 petang semalam. Jika pada hari itu saya tidak sampai, maka isteri saya akan menanggung kelaparan sementara menunggu sarapan pagi yang akan disediakan pihak hospital pada keesokkannya.
Dalam keadaan hujan lebat, saya hanya membeli bubur McDonald melalui kaunter pandu-lalu. Tidak sabar rasanya nak jumpa isteri tercinta. Selesai membeli makanan dan minuman, saya terus ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Mujurlah tidak banyak kenderaan pada waktu itu. Dapatlah saya parking kereta betul-betul dihadapan bangunan wad.
Setelah mendapat kebenaran Pengawal bertugas, saya bergegas ke wad isteri. Sedih rasanya bila melihat wajah isteri yang pucat kelaparan dan seksa menahan sakit kandungan. Saya cium pipi isteri dan membuka bekalan makanan yang dibawa.
Sebenarnya, saya juga masih belum makan sejak tengah hari. Tapi saya jadi kenyang bila lihat isteri makan dengan begitu selera, akibat luahan seksa kelaparan seharian.
Memandangkan saya hanya diberi izin khas melawat isteri yang bukan pada waktunya, maka saya terpaksa beredar awal. Sempat saya cium dahi dan pipi isteri sebelum berpisah. Memang terasa berat nak tinggalkan isteri keseorangan di situ, tapi nak buat macam mana.. Prosedur hospital kerajaan memang begitu. Jika saya ni orang berduit, memang nak sangat dihantar ke hospital swasta. Siang malam boleh menemani isteri.
Malam itu saya menginap di sebuah chalet budget yang jaraknya tidak lah jauh dengan hospital. Di chalet itu, saya diuji lagi. Kali ini dengan permainan makhluk halus pula. Mungkin kerana banyak fikir, saya menjadi tidak mengantuk. Hanya ingin memecah kesunyian duduk seorang diri, saya membuka televisyen.
Ketika asyik menonton itulah, tiba-tiba tuala yang saya sangkut di ampaian penjuru dinding bilik terbang melintasi saya. Terkejut juga dibuatnya.
Dengan rasa letih seharian yang belum hilang, usikan sebegitu menjadikan saya bertambah marah. Sempat saya ‘pagar diri’ dengan kalamullah dan surah-surah rukyah. Melilau mata saya ke setiap arah bilik, kalau-kalau makhluk tersebut mahu tunjukkan dirinya. Sila dan tapak serangan sudah saya atur. Nafas dan gerak batin juga telah saya kemaskan. Bila dah tercabar sebegitu rupa, tiada guna lagi berundur..!
Seketika saya berkeadaan begitu, tiada lagi gangguan yang berlaku. Tika itulah saya mula berasa mengantuk. Tanpa melengahkan masa, terus saya capai bantal dan tidur. Ada juga saya tersedar beberapa kali dan mendengar seakan-akan ada orang mandi dalam bilik air. Ada juga bunyi orang menggosok gigi. Bunyi orang mundar-mandir diluar chalet pun ada. Tapi saya buat tak layan sebab masih rasa mengantuk. Biarlah makhluk tu nak buat apa pun, asal saya tidak diganggunya. Layan tidur lagi bagus.
Ketika bangun untuk solat Subuh, saya lihat sejadah yang saya lipat sebelumnya sudah terhampar di lantai menghala arah kiblat. Pada hemat saya, mungkin makhluk halus ni Jin Islam. Lagipun bukannya saya mencari musuh. Sekadar menginap kerana musafir keadaan.
Bila saya mula solat, memang terasa seperti ada beberapa makmum di belakang saya. Jelas juga di hujung telinga mendengar mereka membaca surah Al-Fatihah di belakang saya. Ketika itu, saya menukar niat solat sendirian kepada solat jemaah, iaitu selaku imam kepada jemaah hamba Allah dibelakang.
Bila selesai memberi salam, saya paling ke belakang. Bukan rezeki saya hari itu dapat melihat mereka. Yang ada hanyalah ruang kosong yang berstentang dengan katil. Cuma yang saya ingat, lepas solat tu, ada bau wangi semerbak dalam bilik. Macam bau bunga.. Wangi sungguh..
Pagi itu, saya mendapat khabar dari seorang pelajar saya. Syukur pada Allah, atas ehsan beliau, dia telah hulurkan sumbangan untuk sara diri penginapan saya di sana. Hotel yang ditempah beliau juga lagi dekat dengan hospital. Selain itu juga, ada lagi beberapa pelajar dan sahabat yang turut memberi sumbangan peribadi. Saya ucapkan ribuan terima kasih dan semoga sumbangan kalian akan dibalas Allah dalam kerezekian yang lebih besar dari apa yang diberi.
Setelah 3 hari mendapat rawatan di hospital, keadaan isteri kembali stabil. Mujurlah pembedahan yang dirancang tidak berlaku. Jika tidak, bayi yang lahir pada usia 26 minggu akan ditahan untuk rawatan dan penjagaan susulan sehingga 3 bulan lamanya. Jika perkara itu berlaku, maka semakin beratlah tekanan dan masalah yang akan saya hadapi.
Atas doa keluarga, sahabat, pelajar dan mereka yang prihatin, Allah mungkin jadikan asbab kesihatan isteri saya kembali stabil. Semoga dimudahkan segala urusan kalian… Amin..
------
Betapa hebatnya Allah dalam hikmah ilmuNya. Ujian yang diberi PASTI sesuai dengan kemampuan hambaNya. Allah tidaklah kejam dan zalim dalam urusan yang dirancang. Bersangka baik lah kepada Allah..
Dalam coretan kisah pengalaman saya ini, setiap ujian yang diberi akan diberi jalan keluar.
Kita lihat ringkasan ujian dan hikmah yang saya alami:
1) Sumber pendapatan rawatan sepenuh masa yang merudum, Allah beri tambahan income berniaga Kiosk.
2) Isteri terkehel bahu menjadi asbab adanya ilmu dan formula terhasilnya Minyak Herba Wali.
3) Walaupun kereta selalu rosak, Allah beri saja jalan untuk dapatkan wang membaikinya samada melalui produk, hambaNya, untung niaga dan bayaran hutang sahabat yang membayarnya di kala perlu.
4) Berlaku musibah di highway, Allah bantu dengan pinjaman kereta hambaNya yang sangat baik hati.
5) Diganggu makhluk halus, Allah beri peluang solat Subuh berjemaah.
6) Dan yang paling UTAMA, Allah luaskan silaturrahim tanpa disangka-sangka.
Cuma apa yang perlu dilakukan adalah tabah, sabar, syukur dan ikhtiar sehabis boleh. Jangan kita lupa untuk sentiasa berdoa kepadaNya. Asalnya kita dari DIA, dan esok kembalinya kita pun pada DIA.
Wassalam
#minyakherbawali
#herbawali
#hikmahujian