Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 3



Hikayat Rawatan...
Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 3

********************************

Ambo berasa nyaman ketika kami melalui kabus embun yang terbang rawak di laluan pendakian. Memang ambo perasan, suasana dingin malam selepas merentasi kabus itu terasa lain benar. Abang Nar yang berbisik pada ambo turut berpendapat sama. Namun, kami berdua memang tidak mahu bertanya pada Pak Halim Badar kerana tidak mahu mengganggu lelah kudrat lelaki itu mendaki.

Dari jauh, kelihatan lampu-lampu pelita bersinar terang ditembok kayu yang hujung kiri dan kanannya tidak tahu kemana ia berakhir. Di tengahnya kelihatan 2 lelaki segak bertanjak, setia mengawal pintu tembok di kiri dan kanan gerbangnya.

Apabila kami hampir di pintu tembok, ada seorang wanita cantik menegur kami tanpa di angkat wajahnya. Walaupun tunduk dan berselindung disebalik selendang, masih nampak keayuan wajahnya. Beberapa kali juga ambo lihat Abang Nar tertelan air liur, mungkin kagum dengan kecantikan wanita tersebut.

Selepas wanita itu memberi salam pada kami,diberinya isyarat mata pada pengawal yang berjaga, tanda pelepasan kami ke situ sudah dimaklumkan.

“Lamo Abe Halim tak mari sini? Takkan tak rindu ke kita doh..?”, tanya wanita itu pada Pak Halim Badar. Antonasi lembutnya bagai kekasih yang kerinduan. Berpandangan ambo dan Abang Nar mendengarnya. Siapa pula wanita itu disamping Pak Halim Badar? Bermain-main persoalan itu di benak fikiran kami berdua.

“Hal kita tu biarlah.. Jangan dok kenang lagi. Abe mari ni pun sebab Ayoh berhajat nak jumpa. Kalau tak, memang tak bersusoh hal nok mari sini. Kito pun bukan orang muda lagi…”, jawab Pak Halim Badar kemudian melepaskan hela nafasnya. Sepertinya mereka berdua mempunyai sejarah bersama. Memang ambo nekad nak korek cerita jugak pada Pak Halim Badar nanti.

Makin menunduk wanita itu mendengar jawapan Pak Halim Badar. Memang Ambo dan Abang Nar nampak jelas tepi selendang wanita itu sedikit basah kerana tempias jatuh air matanya. Kenapa sampai menangis..? Apa yang Pak Halim Badar dah buat pada wanita itu?

Laluan kami melalui rumah-rumah yang berdinding buluh dan beratap nipah yang sangat mendamaikan. Tiada pula ambo nampak orang lain sepanjang perjalanan itu kecuali kami berempat. Setelah sampai di simpang 3, kami masuk ke lorong kanan hingga nampak sebuah rumah berpagar yang lebih besar dari segala rumah yang ada di situ. Di pintu pagar rumah itu juga ada 2 orang pengawal lelaki yang berkawal.

Kami masuk ke halaman hingga sampai ke tepi anjung rumah besar itu.

“Tunggu kejap ya. Rasanya Ayoh dok bilik sembahyang tu”, pinta wanita itu pada kami sambil bergegas masuk ke dalam rumah.

“siapa…”, tanpa sempat Ambo habiskan soalan, Pak Halim Badar terus memotong cakap. “Janda Pak la tu. Cerita lamo doh. Nanti semula Pak cerito deh…”, katanya ringkas.

Tidaklah ambo teruskan lagi soalan yang bermain di dalam fikiran ambo bila Pak Halim Badar menjawab begitu. Takut juga kalau Pak Halim Badar jadi marah.

Tak lama kemudian, wanita tadi keluar bersama seorang lelaki tua berjubah yang memakai serban hijau. Di kanannya memegang tongkat yang cantik ukiran hulunya. Setelah bersalam dengan kami, lelaki tua itu menjemput kami masuk ke dalam rumah.

“Guano perjalanan tadi..?”tanya lelaki tua tu selepas kami semua duduk bersila.

“Ada lah sikit ujian.. Tapi tak teruk mana..”, jawab Pak Halim Badar. Abang Nar memandang ambo dengan anak matanya. Memang ambo faham sangat. Isyarat mata tu nak menunjukkan ekspresi tidak puas hati Abang Nar pada jawapan Pak Halim Badar. Ada ke dia kata ujian sedikit..? Kalau tak kerana di kalangan kami bertiga ni ada yang mahir, mahu tergadai juga nyawa bila berhadapan dengan beruk-beruk dan badi hutan tadi. Kami hanya diam dan mendengar saja perbualan Pak Halim Badar dengan orang tua itu.

Wanita cantik itu tadi keluar dari dapur membawa talam lebar yang berisi makanan dan minuman. Memang nampak berselera sungguh melihat pengat pisang yang masih panas dan air nira yang terisi dalam gelas buluh berukir corak bunga dan burung merak.

“Jemputlah makan dik.. lupa pula Pakcik nak tanya nama kamu. Adik ni siapa nama?”, tanya lelaki tua itu sambil ibu jarinya ditunjukkan pada ambo.

“Syakirin..”, ringkas saja ambo menjawab. Sebenarnya mata ambo tak beralih pada hidangan dalam talam tu. Terasa lapar sungguh bila terbau aroma makanan yang masih panas.

“Yang tu pulak..?”, soal orang tua itu lanjut pada Abang Nar pula.

“Narmin pakcik..”.

“Adik-adik ni anak buah kamu ke Halim?”, kemudian soalan diaju pada Pak Halim Badar.

Mengangguk Pak Halim Badar, ”Mereka ni anak murid silat kami. Keluarga diorang pun ada hubungan saudara juga dengan kami. Saja bawa buat teman..”.

“Kirin, Nar.. ni Haji Taslim. Dulu dia ni Ayah Mertua Pak. Orang sini panggil Haji ni Wali Air…”, kata Pak Halim Badar memperkenalkan orang tua itu pada kami.

“Kenapa gelarannya Wali Air Pak..?”, soal ambo lanjut.

“Yang tu kena tanya dia lah”, jawab Pak Halim Badar berteka-teki sambil tersenyum memandang Haji Taslim. Adus.. jawapan macam tu bikin susah juga. Segan juga nak tanya terus pada Haji Taslim yang baru saja ketemu. Lain lah kalau sudah lama kenal.

Setelah melihat kami masih tidak menjamah makanan yang disediakan, Pak Halim Badar mengepalai adat menjamah makanan yang dihidang. Setelah itu, barulah ambo dan Abang Nar mulai makan. Adat Melayu, jika ada yang lebih tua, haruslah mereka didahulukan. Yang muda kemudian menurut tanda hormat.

Setelah habis makanan dan minuman di dalam talam, wanita cantik itu tadi keluar lagi dari dapur sambil membawa seikat daun kaduk dan beberapa beberapa bahan lain di dalam bekas anyaman. Kata Pak Halim Badar, itulah dia pencuci mulut cara kampung. Caranya adalah dengan meletakkan gabungan gula kabung, cili, hirisan limau nipis, bawang merah dan halia ke atas helaian daun Kaduk. Kemudian, daun Kaduk yang sudah terisi ramuan itu dilipat kecil dan dimakan. Sedap juga rasanya. Cuma tambah Pak Halim Badar lagi, pencuci mulut ni tak boleh dimakan banyak. Jika berlebihan, jawabnya nanti sakit perut dan akan kerap pula berulang ke tandas.

Ambo dan Abang Nar mengangguk faham. Dapat ilmu baru lagi..

Dalam enak kami menjamah makanan pencuci mulut tu, tiba-tiba Haji Taslim bersuara.

“Kami ada nak mitok tolong dengan Halim ni. Tu sebab kami sampai pesan kot angin”.

“Tolong apa Haji..?”, tanya Pak Halim Badar kehairanan. Bila fikir nak dibanding ilmu Haji Taslim dengannya, memang jauh langit dan bumi.

“Pasal Badi hutan yang Halim jumpa tu. Khianat makhluk tu bukan setakat yang kamu kena tadi tu..”.

“Dah tu setakat mana..?”, tanya Pak Halim Badar.

“Dah banyak bulan dok ganggu orang kami. Ingatkan ada 1 jah.. Rupanya ramai. Sarangnya pun kami tahu..”, terang Haji Taslim.

“Haji tak boleh urus ke?”.

Mengeleng kepala Haji Taslim dengan soalan Pak Halim Badar.

“Dah cuba, tapi tak lepas. Rasanya kalau kita bergabung, insyaallah boleh. Firasat yang diterima macam tu lah..”, jawab Haji Taslim.

Cadangan Haji Taslim tu dijawab sepi oleh Pak Halim Badar. Dia menunduk, diam seribu bahasa. Sesekali jari-jemarinya keluar masuk dari genggam penumbuk. Sepertinya Pak Halim Badar mengira sesuatu.

“Kalau ikut kalendar jawa, malam ni malam Kliwon. Molek benar kalau nak bertempur. Kita gi selalu lah lepas ni deh..”, kata Pak Halim Badar.

“Baik.. Kita bergerak sekarang. Kami dah maklum pada orang-orang muda sini untuk turut sama…”.

bersambung.. part 4

Aktiviti Hari Jumaat

Hari ni hari Jumaat..

Ambo ambik keputusan lepaskan semua burung belaan. Bukan burung SAKA ya.. 😊

Moga dijaga Allah kehidupan bebas mereka.. 😊


Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 2



Hikayat Rawatan...
Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 2

********************************

Gegak gempita bunyi kumpulan beruk itu mengalahkan bunyi alam yang lain. Ambo yang pertama kali berdepan situasi tersebut juga berasa gundah. Begitu juga dengan Abang Nar. Kami buntu dan mengharapkan Pak Halim Badar dalam hal ini.

Beruk putih yang baru melompat turun dari pokok itu berlari deras mendekati kami bertiga. Semakin dekat kehadirannya, semakin kuat pula Pak Halim Badar berkumat-kumit membaca doa amalan.

"Ya Abda.. ! Ya Nuruzzabar...! Ya Rijalul Ghaib...!!!" Fasayak fi kahumullah, Wahussami ‘un ‘alim..”.

Seperti dinding wujud di hadapan kami, beruk putih itu terpelanting bila jaraknya tinggal sekitar 5 hasta dengan kedudukan kami. Lantas ia bangun dan cuba merempuh beberapa kali namun cubaannya gagal. Ditayang giginya menyeringai marah.

“Kirin, wi parang mu ke Pak…”, pinta Pak Halim Badar pada Ambo. Selepas dicabut parang dari sarangnya, Ambo terus berikan pada Pak Halim Badar. Lantas, Pak Halim Badar lagakan muka belakang parang itu antara satu-sama lain.

Kesan dari bunyi lagaan itu menyebabkan beruk putih dan sekawan lainnya menjadi kalih arah. Beberapa kali mereka menutup telinga dan mula beransur-ansur beredar. Terdengar lintang-pukang mereka melompat dari pokok ke pokok. Hanya dalam beberapa detik sahaja, suasana kembali sepi kembali.

“Alhamdulillah.. beruk-beruk tu tak berani serang kita dah…”, kata Pah Halim Badar memecah sunyi kami bertiga. Ambo dan Abang Nar mula melepaskan nafas lega. Tak tahu lah apa jadi pada kami berdua kalau Pak Halim Badar tiada tadi.

“Jom kita teruskan perjalanan. Jauh lagi ni..”, ajak Pak Halim sambil berjalan di hadapan.

*****************************

Kami berehat sebentar berdekatan pokok Api-api di tengah perjalanan. Menurut kata Pak Halim Badar, harimau cukup takut dengan pokok ni. Jika nak berehat dan ingin mengelak bertembung harimau, rehat lah berdekatan pokok Api-api.

“Kenapa pulak harimau takut dengan pokok ni? Saya tengok macam pokok daun kecil biasa jer..”, tanya Ambo kehairanan sebab, bila dibelek daun-daun pokok Api-api tu, tiada pula rasa pedih, miang, gatal atau yang memudharatkan.

“Kita manusia ni memang lah tak berkesan apa-apa, tapi kalau kena dek harimau, jadi gatal. Berguling-guling nanti sebab tak tahan gatal tu’, jawab Abang Nar menyampuk. Nampaknya Abang Nar juga tahu hal itu. Sempat juga Abang Nar ceritakan pengalamannya terserempak dengan harimau waktu pergi menorah getah. Mujurlah waktu dia terserempak tu, keempat-empat kaki harimau semuanya duduk di atas akar. Biasanya, jika harimau berkeadaan begitu, itu tandanya ia sudah kenyang dan tidak menjadi ancaman pada manusia atau binatang yang lalu di hadapannya.

“shhhh..”, tiba-tiba Pak Halim arahkan pada kami supaya diam. Kemudian dia bangun tercacang dan memotong sebatang kayu hidup dari pokok di hadapannya. Kayu hidup kira-kira  1 meter panjang itu dicatas rimpang kiri dan kanannya. Hanya batang lurus sahaja yang tinggal.

Dari pangkal kayu tersebut, dibaca beberapa doa dan dihembus-hembus hingga ke hujungnya. Bacaan yang sempat Ambo tangkap sewaktu Pak Halim membacanya adalah ayat yang berada dalam surah Al-Hadid. Ada juga Pak Halim Badar benamkan hujung kayu itu ke tanah dan tampak benar kuatnya kayu itu seperti tongkat.

Perbuatan Pak Halim Badar itu menjadi persoalan dalam benak fikiran Ambo dan Abang Nar.

Acap kali juga Pak Halim Badar mundar-mandir ke hulu dan hilir tengah Gunung Tebu itu. Sesekali dia menguis tanah dan ada juga membelek dedaunan gugur di lantai tanah.

Ambo dan Abg Nar berpandangan sama sendiri. Jerih juga meneka apa yang Pak Halim lakukan. Tujuan apa? Kenapa?

Nak ditanya ketika itu takut dimarah pula. Terpaksalah kami diam dan hanya memerhati saja perbuatan Pak Halim Badar itu. Sudah la malam, bukan waktu bulan terang pulak tu. Kalau tak ada bekal lampu, memang gelap gelita sungguh. Kerana takut, Ambo dan Abang Nar duduk serapat boleh. Serik juga kalau kejadian serangan beruk lewat maghrib tadi menjadi lagi.

Dalam kelam malam itu, tak semena-mena bau bangkai menusuk hidung. Rasa nak muntah Allah saja yang tahu.

Terus, Pak Halim Badar menikam tongkatnya ke tanah. Dileret tikaman tanah itu menjadi garisan bulat di luar kami duduk. Kemudian Pak Halim Badar duduk bersila dan mulutnya mula berkumat-kumit membaca sesuatu. Kami berdua yang duduk di belakangnya beralih rapat, duduk dibelakang Pak Halim Badar.

"Nampaknya malam ini bukan malam mudah. Mulakan amalan Pelindung. Lihat saja apa jadi lepas ni. Jangan sesekali menyampuk, kecuali di beritahu..faham?" pesan Pak Halim Badar.

Kami berdua mengangguk faham. Tanpa berlengah, kami berdua bacakan ayat 9 dalam surah Yasin sebanyak 3 kali, diikuti surah Muawwidzain sebanyak 7 kali setiap satu. Kemudian kami jadikan ayat “Lailahailla anta, subhanaka inni, kuntuminazzolimin” menjadi zikir basahan di mulut kami.

Bau bangkai semakin kuat. Makin menyeramkan bila kedengaran pula suara lolongan anjing bersahutan. Panjang suara lolongan anjing itu menaikkan lagi bulu roma yang mendengarnya. Pada waktu itu, pandangan kami lebih waspada. Kiri dan kanan sentiasa kami perhatikan kalau-kalau ada sesuatu yang menjengah.

"mu wak gapo masuk tanah aku nih...?!", tiba-tiba terdengar suara garau lelaki menengking kami. Suara itu datang dari arah hadapan Pak Halim Badar.

"Ambo dengan anak buah ni lalu jah.. Takkan lalu pun salah..?", tenang Pak Halim Badar menjawab.

Soalan berbalas soalan itu menjadikan suasana sepi seketika. Berkali-kali Ambo mencari pandang, dilihat juga sekitar depan kalau boleh nampak empunya yang bersuara.

"Kalau benar kau tu tuan pada tempat ni, tunjukanlah diri tu. Pengecut jer yang bercakap selindung...", kata Pak Halim Badar mengejek pada suara yang entah mana duduknya.

Kemudian, terdengar bunyi ranting kayu patah di pijak-pijak. Detap-detup langkah memijak tanah semakin kuat. Begitu juga dengan bau bangkai dan lolongan anjing tadi.

"Allah....!"Ambo melompat, terkejut bila melihat seorang lelaki botak berseluar pendek muncul tiba-tiba di balik celahan pokok Ketapang. Kelihatan lelaki botak itu lompong kulit pipinya hingga menampakkan tulang muka. Beberapa ulat mayat kelihatan jatuh di bahunya. Memang hodoh benar rupanya.. Lantas Pak Halim Badar menghunus tongkat kayunya..

"Hey badi hutan.. Jangan cuba-cuba nak takutkan kami..!”, lantang Pak Halim Badar memberi amaran.

Makhluk itu menyeringai dan menampakkan lagi giginya yang rompong. Dia cuba mampir menghampiri kami tapi terhadang oleh dinding ghaib yang telah dibuat Pak Halim Badar. Tak cukup dengan itu, dia cuba pula dari arah lain. Berpusing keliling dia mencari jalan agar kami dapat disentuhnya.

Bila sudah banyak kali cubaannya gagal, akhirnya dia duduk menyangkung di hadapan kami. Nampaknya bukan mudah makhluk itu nak menyerah kalah.

“Tadi bukan main belagak kau orang semua ya…?! Habis beruk-beruk aku lari lintang pukang..”, tiba-tiba makhluk itu berkata. Rupanya, serangan gerombolan beruk-beruk itu adalah binatang belaannya.

“Dah diorang ganggu kami, takkan nak tengok saja..?”, jawab Pak Halim Badar mempertahankan diri. Ambo dan Abang mengangguk di belakang. Setuju benar dengan kata-kata Pak Halim Badar. Kalau diri diserang, memang wajib kita pertahankan diri.

“Aku banyak kali doh dengar orang kena kacau badi hutan kat sini. Tak sangka pulak kitorang pun kena. Apa tujuan kamu ni..? Tu… jasad siapa pulak yang kau tumpang tu..?”, garang Pak Halim Badar menyoal.

“Tubuh pencari gaharu. Aku pun nak makan jugak..”, jawab makhluk tu pertahankan diri.

“Setahu aku, badi hutan macam kamu kan makan darah binatang. Dah kenapa nak tukar selera pulak ni..?!”, tanya lagi Pak Halim Badar. Nada dan gayanya tidak sedikit pun menunjukkan tanda gentar. Tak macam Ambo dan Abang Nar, kami masa tu dan hilang kata, perut pun rasa tak kena. Apatah lagi bau busuk makhluk tu yang kuat sungguh mencengkam hidung.

“Aku baru tahu darah manusia lagi sedap.. Aku memang tak akan lepaskan korang bertiga. hahahahah….”, bergema seram suasana malam bila makhluk itu ketawa.

Perlahan-lahan Pak Halim berbisik pada kami, “Kalau nak tunggu, jawabnya lepas Subuh baru kita boleh gerak ni. Tak ada cara lain, kena lawan jugak nampaknya…”.

“Nak lawan guano…?”, tanya Abang Nar.

“Macam ni.. Masa Pak keluar lawan dia, Kirin ngan Abang Nar gi potong akar rimpang yang melintang kat batang pokok tu”, kata Pak Halim Badar sambil muncung mulutnya dihala ke arah pokok yang dimaksudkan.

“Lepas tu..?”, tak sabar pula Ambo nak buat kerja. Takut pun ada sebenarnya. Tapi buat-buat berani..

“Lepas potong tu, baca ayat ‘Afahasibtum’ 3x. Tiup biar rata pangkal hingga hulu. Bila nampak benda tu dah lalai, serang dari belakang. Belit molek… boleh?”, panjang lebar juga Pak Halim Badar memberi arahan.

Ambo dan Abang Nar cuma mampu mengangguk. Pada keadaan begitu, mampu atau tidak arahan itu dibuat tetap kena pastikan mampu juga. Gunalah apa cara sekalipun.

Pak Halim Badar keluarkan parang dari sarungnya. Kemudian di ambil air liurnya di lelangit mulut dan dicolet pada tanah. Jari telunjuk yang berdebu tanah itu kemudiannya dijadikan pena lakaran pada tepi besi parangnya. Dilakar tulisan Bismillah dalam bahasa arab tanpa baris. Kemudian, dia melakar pula perkataan Ya Jabbar, juga dalam tulisan Arab di hujungnya. Ditiup-tiup pada lakaran itu hingga tampak kering. Parang itu sedia digenggam erat di tangan kanan. Tangan kirinya pula masih memegang kayu tongkat yang dipotongnya tadi.

Pak Halim Badar melompat tinggi ke sisi hadapan kami. Dalam sedang gah memasang kuda-kuda, sempat dia menjeling pada kami, “hati-hati.. Jangan lupa zikir..”, pesan Pak Halim Badar pada kami berdua.

Tanpa banyak soal, makhluk itu bangun menyerang Pak Halim Badar. Tangannya cuba mencekik leher tetapi dengan mudah ditempis Pak Halim Badar. Lagak guru silat tua itu hanya seperti menempis angin. Tersungkur makhluk itu ke tanah.

Ambo dan Abang Nar lekas mengambil peluang yang ada. Kami segera ke pokok yang ditunjukkan Pak Halim Badar tadi. Ambo memotong akar di bahagian hulu, manakala hilirnya dipotong Abang Nar.

“Siapa nak baca ni..? Abang Nar lah baca…”, kata Ambo pada Abang Nar bila akar rimpang siap dipotong.

“ish.. Kirin lah baca.. Budok-budok kurang dosa berbanding orang tua…,”berhujah pula Abang Nar memberi alasan. Sempat lagi nak ponteng tugas.

“Pulok….?”.

Terus Ambo pegang rotan rimpang itu tanpa berlengah. Masa tu baru nak berhujah sapa yang layak, tak kemana siap kerjanya. Sepertimana arahan Pak Halim Badar, Ambo bacakan 2 ayat terakhir dalam surah Al-Taubah sebanyak 3 kali. Kemudian Ambo tiup rata seluruh akar rimpang tersebut. Semasa membacanya, Ambo bayangkan secara makrifat keadaan akar rimpang itu bercahaya nur terang.

Ketika Pak Halim Badar sibuk berpencak dengan makhluk itu, Ambo dan Abang Nar memberi jelingan mata tanda sudah bersedia untuk tugasan seterusnya. Makhluk itu nampaknya tidak nampak letih sekalipun banyak kali jatuh tersungkur akibat elakkan lawan. Ketika kedudukan kami membelakangkan makhluk itu, Pak Halim Badar berteriak pada kami, “sekarang..!”.

Lantas Ambo maju ke sebelah kanan makhluk itu, manakala Abang Nar pula di sebelah kiri. Bila kami gerak bersilang, makhluk itu sudah terikat dengan akar rimpang tersebut. Waktu itulah Pak Halim Badar tidak melepaskan peluang mengetuk kepala makhluk itu dengan belakang parangnya. Hanya dengan sekali hentak, makhluk itu rebah ke bumi.

Tak lama kemudian, kelihatan asap hitam halus keluar dari kepalanya.Asap itu halus beralun terbang lari dari kami bertiga. Jasad yang asalnya nampak berdaging, lama-kelamaan semakin kering dan timbul tulang-tulang dalam kulitnya. Lebih meloyakan bila keluar pula ulat-ulat mayat dari rongga telinga, hidung, mulut dan pusatnya. Melintuk-lintuk keluar ulat itu jatuh ke tanah.

Abang Nar yang tidak tahan melihatnya muntah di perdu pokok. Berasa jijik sungguh dengan apa yang dilihat.

“Betul ke mayat orang ni Pak..?”, soal Ambo pada Pak Halim Badar.

Dia mengangguk. ”Kalau tak mayat orang Siam,orang Burma. Mati lama dah ni.. Tengok ada tattoo kat dadanya tu…”, sambil ditunjukkan tattoo pada dada mayat itu yang kini semakin banyak tulang dari daging.

“Takkan nak tinggal sini jer mayat ni Pak..?”, soal Ambo ragu-ragu.

“Tak apa.. nanti balik tak ada dah mayat ni..”, kata Pak Halim Badar tersenyum. Jawapan itu Ambo anggukkan saja. Pada pendapat Ambo, Pak Halim Badar lebih tahu.

Selesai kami menutup mayat itu dengan daun-daun pokok Tepus yang banyak tumbuh di sekitar kami tu, kami teruskan lagi pendakian ke puncak gunung.

Kata Pak Halim Badar, apa yang kami lihat dan alami tadi tu bukannya dalam dunia nyata. Itulah dia permainan alam ghaib yang misteri untuk difikir dek akal manusia. Badi Hutan tu memang sebenarnya sukakan darah. Biasanya, mereka yang nyawa-nyawa ikan akibat kecederaan dalam hutan akan dirasuknya. Kemudian jasad itu dengan sendirinya akan dijatuhkan ke dalam gaung atau batu besar. Darah-darah yang mengalir keluar dari tubuh tu akan dihisap hingga tubuh menjadi kecur. Biasanya hanya seminggu jasad rasukan badi hutan boleh ditumpang. Selepas itu, mangsa lain pula akan dicari.

Mengikut Pak Halim Badar, perjalanan kami tinggal dalam setengah jam saja lagi. Sebelum sampai di tempat sahabatnya tu, ada pintu gerbang besar yang perlu kami lalui.

“Ingat ya.. Kalau nampak anak dara, jangan sesekali senyum pada mereka. Kan tak pasal-pasal kena kahwin dan tak boleh balik..”, pesan Pak Halim Badar pada kami berdua sambil tersenyum.

bersambung… Part 3

Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 1



Hikayat Rawatan...
Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 1

**********************************

Bunyi seruling dan gendang silat bercaturan gema di gelanggang kampung milik Pak Halim Badar. Malam itu, hanya 8 pasangan murid yang hadir berlatih silat.

Pak Halim Badar merupakan anak jati kampung Batu Gajah yang dikenali sebagai guru Silat Pulut dan senibeladiri Muay Thai di kampung itu. Gelaran 'Badar' pada namanya itu diberi semasa zaman mudanya. Pernah dicerita orang, dia pernah mengalahkan lawan yang mengadapnya puluhan orang serentak. Mungkin kerana ramainya musuh yang telah ditumbangkan, gelaran Badar diberi sempena sejarah yang berlaku dalam perang Badar antara tentera Muslimin yang sedikit dengan tentera musuh yang ramai. Peperangan itu memberi kemenangan kepada pihak Islam dengan jayanya.

"Masuk 'buah paras' dulu deh.. Lepas tu pasangan sambut dan cuba tarik pehanya untuk jatuhkan lawan", begitu Pak Halim Badar ajarkan Ambo dan Abang Nar ketika sedang berpencak.

Memang kami berdua ni selalu jadi perhatian bila gelanggang mula dibuka. Nampak sayang benar Pak Halim Badar pada kami berbanding muridnya yang lain. Mungkin kerana kami pandai mengambil hatinya. Jika habis latihan, kami tak seperti muridnya yang lain, habis menadah terus pulang. Kami melayan bual dulu dengan Pak Halim Badar hingga lewat malam. Adakalanya, ada masa bukan kelas latihan pun kami datang menjengah. Seronok juga melayan cerita pengalaman orang tua tu. Tak lokek sungguh dia bercerita.

Ambo melangkah sendeng ke arah lawan. Bunga langkah tetap beralun walaupun saat  menempur musuh. Merecik juga peluh di dahi bila teruja membaca lawan.

Abang Nar yang menjadi lawan Ambo kini bermain langkah rendah. Jika tadi sempat disambut 'buah paras', namun kecepatan Ambo mengelak membantutkan hajatnya menumbangkan lawan. Sedia diri juga dirinya bila Ambo mahu gunakan 'buah tetak' ketika itu.

Pernah Pak Halim Badar berikan petua permainan," dalam silat mesti pandai tipu daya. Adakalanya tenaga bukannya taruhan permainan. Nak menang kena tahu bertingkah....".

Hayunan tangan Ambo mensasar lawan. Buah Tetak nampaknya sedia mengena, tapi itu hanya hayunan kosong. Tangan Ambo yang satu lagi sebenarnya ibu senjata. Sempat Ambo menarik belakang paha Abang Nar dan dia jatuh terlentang. Menjadi juga helah yang dirancang.

"Mu main nipu.. Mano aci Kirin.....", tersengih Abang Nar terbaring sambil dihulur tangannya untuk disambut bangun. Dia kemudiannya mengibas tepuk pasir yang melekat di seluarnya. Kami berdua duduk keletihan. Nampaknya setakat itu sahaja latihan kami pada malam itu.

Namun, kami berdua masih di situ walaupun semua murid yang lain dan pemain adat sudah pulang ke rumah masing-masing.

Sengaja kami menahan pulang kerana Pak Halim Badar ingin sampaikan sesuatu pada kami. Dia sendiri yang berpesan begitu waktu kami sampai awal di gelanggang tadi.

"Esok, ikut Pak gi Gunung Tebu nak?", tanya Pak Halim Badar pada kami berdua.

Tanya Abang Nar,"nak gi berkelah ke Pak?", mungkin kerana Gunung Tebu di Jertih tu terkenal dengan air terjun Lata Tembakah yang cantik pemandangannya.

"Dok eh.. Nak gi jumpa kawan lama. Dapat 'alamat' semalam".

"Alamat...?", soal Ambo kehairanan. Nak pos barang ke apa...

"Bukan alamat rumah.. Dapat ilham.. ", jawapan itu barulah Ambo faham. Pening juga berkata kias dengan orang lama ni.

"nak gi tak?", sekali lagi Pak Halim Badar minta kepastian.

Bila bab pergi jalan-jalan, memang kami tak tolak. Apa lagi semuanya di tanggung. Cuma bawa diri saja.

"Ya....",kami mengangguk setuju dan serentak pula menjawab.

************************

Kami sampai di rumah sedara Pak Halim Badar sekitar jam 3 petang. Ucop Matih tu sebenarnya sepupu Pak Halim Badar sebelah ibunya. Memang rumahnya terletak betul-betul di kaki Gunung Tebu.

Kata Pak Halim Badar, lepas Asar nanti akan kami mulakan pendakian. Naik ke Gunung Tebu itupun melalui kaki Gunung Tebu di belakang rumah Ucop Matih saja.

Ucop Matih ni pula memang peramah dan lawak orangnya. Memang tak kering gusi kami semua bila Ucop Matih bercerita lucu. Pernah jugalah tersebur nasi yang Ambo makan akibat tak tahan gelak bila mendengar cerita lucu Ucop Matih.

"dah pernah naik ke 'atas' ke sebelum ni?", tanya Ucop Matih pada Ambo. 'Atas' yang dimaksudkan adalah puncak Gunung Tebu.

Ambo mengeleng kepala. Yang paling jauh pernah Ambo sampai adalah di Air Terjun Lata Tembakah. Itupun bersama keluarga, pergi bermandi-manda sehala perjalanan balik ke kampung ibu di Kota Bharu, Kelantan.

"jaga diri molek deh.. Banyok hantu saka atas nung.. Jembalang pun banyak. Sekali diorang 'ngap' kamu baru tahuuuu," panjang muncung mulut Ucop Matih mengusik.

Ambo cuma tersengih pandang. Malas nak layan bila badan dah mula keletihan, akibat lelah perjalanan jauh tadi.

Ambo ambil peluang yang ada itu untuk rehat tidur sebentar. Sekadar melepaskan letih bermusafir..

***********************

Selepas solat Asar berjemaah, kami siapkan barang-barang ringkas untuk pendakian. Cuma dengan Pak Halim Badar ni,tak adalah protokol berkasut bagai macam join group pengakap sekolah. Cuma berselipar, lampu picit kepala, air minuman, kain pelikat dan makanan yang dibekalkan Ucop Matih. Parang juga terselit di pinggang masing-masing.

Maka, segera kami menghayun langkah, susur bertiga mendaki Gunung Tebu melalui denai kecil yang sudah tersedia.

Selepas 2 jam pendakian, Ambo kehairanan bila asyik terpandang-pandang sebatang pokok yang sama di sisi laluan. Seolah-olah kami berjalan di pusingan yang sama.

"Macam sesat jer kita ni Pak...", tiba-tiba Abang Nar bersuara. Ambo juga sependapat dengannya.

Reaksi Pak Halim Badar masih tenang. Tak nampak pun tanda risau di wajahnya. Sedangkan kami dah berkerut galau. Hari pula dah makin gelap, maka lagi bertambah la rasa takut.

"Allah nak uji ni...", ringkas Pak Halim Badar berkata.

Perbualan kami bertiga itu rupanya diintai sekumpulan beruk hutan di awanan pokok. Abang Nar yang perasan dulu akan kelibat beruk-beruk tu.

Makin lama, mereka semakin cuba mendekat. Mungkin kerana bau bekalan makanan yang kami bawa.

Dalam kumpulan beruk-beruk yang bergayut di pokok tu, ada seekor yang nampak lain kejadiannya. Saiznya lebih besar dan warna kulitnya putih kemerahan. Ibaratnya beruk itu adalah ketua kepada beruk-beruk yang lain.

Beruk-beruk itu mula berteriak nyaring. Gamit suasana hutan yang asalnya tadi hanya kedengaran suara unggas.

Seekor demi seekor mula turun menghala kami.. Tiba-tiba, beruk putih yang dari tadi memerhati kami mula melompat laju menghala kami.

"Jaga-jaga...!", kilat Pak Halim Badar bersuara perintah.

"Ya Abda.. ! Ya Nuruzzabar...! Ya Rijalul Ghaib...!!!", teriak Pak Halim Badar sambil bersedia memegang parang di tangan.

Kalut suasana makin bertambah..... bersambung.. Part 2

MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.