Ratib Pertolongan
*******************
Sudah lama ambo tidak membuat 'perjalanan rohani'. Sejak ditimpa sakit berat 2 tahun kebelakangan ini, sukar juga nak bangun beramal malam. Memang betul para ulama' pesan, 'buat ibadah sebanyak dan sebaik mungkin sementara umur masih muda dan sihat'. Rupanya inilah maksud pesanannya. Bila dah sakit atau umur makin meningkat, nak beramal tidak akan jadi sekuat sihat atau di zaman muda.
Malam itu, ambo gagahkan diri untuk bangun tahajud. Cuma sekadar lakukan solat 2 rakaat dan wirid pun hanya yang ringkas sahaja. Selepas itu, ambo baring membelakangi kiblat dan bacakan doa Laduni 11 kali. Kemudian, ambo mulakan zikir Ampas, Tanaffas, Nafas dan ulangi ayat 1 dalam surah Al-Qalam sambil mengusung 'rasa' dari hujung jari kaki, terus menaik ke ubun dan lepaskan dalam kelam alam Idofi. Badan ambo mula berasa ringan, nyaman dan bergerak dalam alunan gelombang.
Sunyi gema yang dirasai pada awalnya mulai hilang dan berganti dengan bunyi bising lagaan besi. Jelas juga kedengaran suara orang berteriak serta lantai tanah terasa kuat gegarannya.
Bila mata dibuka, rupanya ambo berada di medan peperangan dan hanya ada ribuan orang Arab di situ. Bagaikan halimunan diri ambo ketika itu kerana tiada siapa sedar kelibat ambo di situ walaupun medan tarung sudah berkebuk dengan rawak debu pasir yang bertebangan akibat geseran ganas langkah-langkah manusia.
Memang ngeri dan menyeramkan bila ambo lihat ada yang terpotong tangan, dirobek, dihunus dan kelaran pedang yang menyinggah tubuh. Laungan 'Allahuakbar' bersahutan di sana-sini. Padang pasir yang amnya berwarna kuning emas mula bertompok dengan merah darah mereka yang luka dan terbunuh.
Tidak lama kemudian, para ahli perang masing-masing berundur setelah kedengaran alunan gendang dari khemah pertahanan. Masing-masing mula bergerak ribut keluar dari medan tempur.
"ikut aku...cepat..!", tiba-tiba bahu ambo dicuit dari belakang. Ambo hanya menurut lelaki tegap yang mencuit ambo kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat. Terasa genting benar suasana ketika itu.
Kami berjalan laju, sesekali terpaksa menyelit di celahan ramai orang hingga ambo juga beberapa kali tersadung langkah dan hampir jatuh.
Di hadapan lelaki tegap itu tiba-tiba muncul lohong hitam yang dalamnya terpancar pusingan cahaya spektrum. Ambo yang mengekor di belakangnya turut masuk ke lohong hitam itu dan sekelip mata kami berada jauh di tepi medan perang tadi.
"Macam mana kamu boleh sampai sini..?" tiba-tiba lelaki itu bertanya.
Soalan lelaki itu ambo jawab dengan mengeleng kepala. Sesekali ambo menggaru kepala yang tidak gatal kerana masih memikirkan apa yang ambo sedang alami.
"saya kat mana nih..?", tanya ambo pula.
"Yamamah", ringkas saja jawapannya.
"Yamamah tu kat mana...?", ambo bertanya lagi kerana rasa tidak puas hati.
"Tanah Arab la... Kamu dah tersalah masuk tempat nih".
Lagi lah kusut fikiran ambo bila diberitahu begitu. Maka, banyak jugalah soalan dan jawapan yang diberitahu lelaki berbadan tegap itu.
Katanya, isim ambo dah 'terawangan' jauh. Dia tawarkan diri untuk bantu hantar semula ke jasad ambo. Syukur alhamdulillah, bantuan yang ditawar beliau itu memang ambo hargai dan harapkan.
"tapi sekarang tak boleh. Nanti hari dah gelap baru boleh ya", katanya lagi.
Sementara menunggu matahari tenggelam, kami berbual panjang sambil duduk berlantai tanah. Kata lelaki tegap itu, medan perang tadi adalah di Yamamah yang dipimpin Khalid Al-Walid dalam memerangi puak mungkar Musailamah Al-Kazzab.
Awalnya memang puak muslimin menang, tapi terpaksa berundur kerana salah strategi.Khalid Al-Walid terpaksa mengundurkan dahulu tenteranya dan buat penyusunan baru. Akhirnya tentera Islam menang juga pada serangan ke-2. Ketua puak tu pula sempat lari tapi dikepung juga di kota mereka. Dengan izin Allah, Musailamah Al-Kazzab juga terbunuh di situ.
"Kalau kamu nak tahu, ratib ini lah Khalid Al-Walid baca masa berundur mula-mula tu. Ambil lah amal, aku izin. Kalau boleh ratib 1000 kali waktu malam selama 14 malam berturut-turut. Insyaallah masalah yang ada boleh selesai".
Lalu dibaca ayat ini:
الَصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَيْكَ وَأٰلِكَی يَا سَيِّدِي يَا رَسُولَ اللّٰهِ ۞ أَغِسْنِی سَرِيعً بِعِزَّةِ اللَّهِ ۞ أَدْرِكْنِي , أَدْرِكْنِي , أَدْرِكْنِي ۞ أَدْرِكْنِيَ الْحَلْ وَقَاضِی الْحَاجَتِي ۞
"Mungkin inilah hikmahnya Allah 'bawa' aku ke sini", ambo berkata sendirian dalam hati.
"ayuh.. sampai masa dah ni..", kata lelaki tegap itu bila bangun dari silanya.
Tanpa berlengah, ambo pun menurut bangun. Langkah kami menuju ke bukit berbatu di hadapan tempat kami tadi sekitar 300 meter jaraknya. Memang masa berbual panjang tadi, destinasi ini sudah diberitahu.
Dalam perjalanan malam bulan terang itu, barulah ambo teringat nak tanya namanya. Punyalah lama bersembang sampai lupa nak tanya usul.
Jawabnya ringkas, "aku Rofa'il dari Jabal Qaaf". Kemudian dia mengunci mulut dan langkahnya dilajukan.
Bila dah tiba di kaki bukit berbatu itu, ambo diarahkan mendaki pula untuk sampai ke permatang antara 2 puncak. Di tengah-tengah antara 2 puncak inilah ambo diminta baring sambil memejamkan mata. Hamba hanya disuruh zikir dengan doa Ashabul Baqia berulang-ulang hingga terasa ada kain bawah belakang ambo. Masa tu barulah mata boleh dibuka.
Sewaktu proses inkirnasi itu, memang terasa tubuh ambo terbuai-buai dibawa angin macam daun gugur. Hanya beberapa minit sahaja ambo sudah rasai ada kain bawah belakang badan dan bila mata dibuka, rupanya ambo sudah terbaring di atas sejadah tempat ambo solat di rumah.
Ayat ratib yang diajar pada ambo dalam pengalaman itu masih ambo ingat dan telah pun ambo rujuk pada mereka yang arif. Jadikanlah amalan jika ada hajat akbar atau kesulitan dalam hidup. Moga-moga Allah permudahkan segala kesulitan kalian.
******************
Ratib Pertolongan
الَصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَيْكَ وَأٰلِكَی يَا سَيِّدِي يَا رَسُولَ اللّٰهِ ۞ أَغِسْنِی سَرِيعً بِعِزَّةِ اللَّهِ ۞ أَدْرِكْنِي , أَدْرِكْنِي , أَدْرِكْنِي ۞ أَدْرِكْنِيَ الْحَلْ وَقَاضِی الْحَاجَتِي ۞
Assolatu wassalaamu-'alaika wa-a lika ya sayyidi ya Rasulallah. Aghis-ni sari-'an bi'izzatillah. Adrikni, Adrikni, Adrikni. Adrikniyal hal waqaa-dil haa-jati
"Salam sejahtera ke atas kamu, Pemimpin umat ya Rasulullah. Bantulah aku segera dengan izin Allah. Tunjukkanlah daku, Tunjukkanlah daku, Tunjukkanlah daku. Tunjukkanlah daku jalan keluar dan tunaikan hajatku"
Wassalam..
#darulmanzil