Hikayat
Rawatan
1 Batang RM5000
Gua bayar .. Part 3
*******************************
Bila ambo balik semula ke tempat mula, kelihatan sahabat ambo tu duduk bersembang dengan si tokey Cina . Sengaja ambo perlahankan langkah. Cadangnya nak beri sedikit kejutan pada mereka.
Hari pulak dah malam. Hanya lampu kereta saja yang menerangi sekitar tempat mereka ketika itu. Perlahan-lahan ambo ambik beberapa ranting kayu keras yang sudah patah. Kemudian ambo lempar melintangi tempat mereka duduk. Tak cukup dengan itu, ambo mengilai pula.
Apalagi, terkejut beruk lah mereka dua orang tu. Yang tokey Cina tu siap sujud ampun, menyembah-nyembah mintak maaf pada datuk nenek. Entah datuk nenek mana yang diniatkan tu. Sahabat ambo tu pula melaungkan azan. Tapi yang rangkap akhir tu jadi iqamat pula. Ambo dah tak tahan tengok lagak diorang, ketawa bagai nak pecah perut. Adoi la…
“Mu ke tu Kirin..? Mu ker tu…?”, terketar-ketar sahabat ambo bertanya. Kononnya nak nampak berani, rupanya kecut telur jugak….
“Yelah.. aku ni. Baru jer sampai.. saja nak mengusik. Maaf la… kikikikikiki..”, gurau biawak ambo tu dibalas dengan balingan kasut but dari sahabat. Mujur sempat mengelak.
“Mu ni gok eh.. Nak bergurau agok-agok la.. Kalu Pontianak sungguh tadi camana..?”
“Pontianak mende bunyi suara jantan..?”, sekali lagi ambo ketawa terbahak-bahak. Yang tokey Cina tu pulak macam baru sedar dari lamunan. Agaknya jenis lambat faham ke apa tak tahu lah..
Sementara masuk Isyak, ambo dan sahabat sempat solat Maghrib dan kemudian segera pulang. Dalam perjalanan pulang tu, ambo ceritakan apa yang ambo alami pada mereka berdua. Nampaknya satu saja pilihan yang ada. Ambo kena mengadap dan berbincang juga dengan empunya tanah. Moga-moga ikhtiar esok mendapat bantuan Allah sebaiknya.
Bila sampai rumah, ambo mandi, solat Isyak dan membuat ritual batin mengikut apa yang telah ambo belajar sebelum ini. Antaranya adalah wirid zikir tauhid dan disusuli pula dengan jazam amalan khas untuk persediaan esok.
Dalam dunia perubatan, ambo lebih selesa tidak menggunakan apa-apa ‘barang’ sebagai tambahan ikhtiar. Maksud ambo, ada mereka yang selesa dengan ikhtiar barang kayu, senjata seperti keris, badik atau batu-batu cincin. Soal pegangan seperti itu ambo tidak mahu ulas kerana ada yang lebih layak dari ambo untuk bicarakan hal-hal khilaf. Ambo ni masih mentah dan masih lagi belajar.
Alhamdulillah, tiada apa-apa firasat buruk yang ambo terima malam tu. Insyaallah, esoknya moga dimudahkan urusan oleh Allah… Ambo hanya memohon harap.
***************************************
TAWAKKAL..
Tokey Cina tu dah terpacak di depan rumah ambo sebelum pukul petang
lagi. Tersengih dia berdiri di tepi keretanya sambil menghisap rokok. Katanya,
kalau awal lagi cepat kerja habis. Dia ingat urusan yang ambo nak buat ni macam
pergi niaga barang pasar malam agaknya…
Kemudian, kami mengambil pula sahabat ambo di rumahnya dan terus ke lokasi semalam. Cuma kali ini, Tokey Cina tu siap bawa senapang, merjun bola, mercun papan, belerang, garam dan segala macam barang yang kononnya nak kasi hantu takut. Semalam, masa lepas hantar kami, sempat lagi gi jumpa Sami. Minta berkat katanya. Lantak lah.. Masing-masing punya keyakinan. Ambo pula, hidup mati hanya berserah pada Allah saja.
Sepanjang perjalanan, letih juga nak melayan soalan-soalan mereka berdua tu. Terasa letih juga bila dok ulang jawapan sama. Last sekali, sahabat ambo tu tanya tokey Cina tu.
“Tokey.. nak tanya jer ni. Jangan marah…”, katanya membuka bicara.
“Ya.. tanyalah…”.
“Kita buat kerja ni, nak kasi upah berapa kat kawan saya tu..? Tengok dia tak tanya, saya lah wakil dia tanya…”, pandai-pandai pulak sahabat berbasi-basi. Nak ‘saham’ jugak la tu…
“Oooh, yang tu Lu toksah risau ma.. Kalau gua kasi RM5000 untuk satu pokok apa macam..?”, tanya si Tokey Cina tu.
Terdiam jugak ambo dengar nilai RM5000 tu.. Banyak tu. Elaun praktikal ambo kat Perwaja masa tu baru RM200.. Seronok juga kalau dapat sungguh.. Sakan la belanja nanti.
“Lu ingat RM5000 untuk satu batang pokok ker? Bukan… itu pokok besar memang nak kasi tebang. Bila dapat tebang itu pokok, selepasnya ada banyak lagi pokok. Semua kalau tak silap kila dalam 30 pokok. Lu kali lah berapa.. sendiri kila lah..”,.
Fuhhh… lagi lah tersengih-sengih si sahabat ambo tu. RM5000 x 30 batang
pokok kan dah jadi RM150000.. Banyak tuuuu…
Tapi, entah kenapa hati ambo masa tu tak rasa galak pun dengan nilai tu. Macam rasa tak mungkin jer dapat duit sebanyak tu. Yang sahabat ambo tu pulak dah nampak jauh berangan. Rasanya berangan dah kahwin la tu kot sebab memang dia ada beritahu ke ambo dia nak cari duit, nak kahwin hujung tahun nanti.
Ah…biar lah soal duit tu. Ikhtiar dulu yang penting. Yang lain hal tu tengok lah camana nanti.
Yang penting, pesan guru ambo adalah kena Tawakkal sungguh-sungguh bila nak mengadap hal-hal ghaib ni. Di samping usaha, tawakkal juga penting sebagai taqarrub pada Maha Pencipta. Selesai atau tidak hajat tu belakang kira. Yang penting ikhtiar dulu…
***************************************
Kami sampai di tapak balak sekitar jam 4 petang. Masa perjalanan yang
dirancang nampaknya berjalan lancar. Sementara menunggu masuknya waktu Asar,
ambo buat persediaan ‘tempat perlindungan’ untuk sahabat ambo dan Tokey Cina tu
terlebih dahulu.
Dari penjuru matahari naik, ambo yang berbekalkan belerang yang digaul rata dengan garam kasar mula melangkah 4 penjuru sambil bahan tersebut ditabur seiring kaki ambo melangkah. Langkah ambo juga disertakan bersama bacaan rukyah ayat-ayat pemagar dan doa-doa watikah perubatan.
Memang masa ambo tengah buat amalan ‘pagar’ tu, terasa macam ada orang sedang memerhati dari balik pokok besar tu. Bila dengar suara kejauhan tu suara budak, memang ambo yakin mereka adalah budak-budak bunian yang ambo jumpa semalam. Dah namanya budak, sifat ingin tahu tu memang tetap ada. Biarlah mereka nak intai pun, bukannya maut setakat diintai. . Ambo hanya tersenyum sendiri.
“Ok.. siap dah..”, maklum ambo pada sahabat.
“Nanti karang, lepas aku gi jumpa tuan tanah ni, mu dengan Tokey duduk diam-diam dalam ni. Air nak wudhuk tu pun bawa sama, takut aku lewat balik selepas maghrib.
“Kalau aku nak kencing berak camana?”, tanya lagi si sahabat.
“Tahan la dulu.. insyaallah.. sebelum Maghrib aku balik. Kalau nak sangat, sekarang masanya. Bila dah masuk dalam tu, jangan sesekali keluar. Nanti pagar tu jadi tawar. Ingat tu..”, kata ambo sambil duduk menghela lelah.
“Nak masuk sekarang ke?”.
“Tak lah… nanti lepas aku gi tu, tengok dalam dekat nak pukul 7 baru masuk. Kira hari nak gelap dah tu…”.
Sahabat ambo mengangguk faham. Si tokey Cina tu pulak dok berkepit dengan senapangnya. Beg yang berisi barang-barang nak ‘halau hantu’ tu pun masih tak lepas di bahu. Entah kenapa tiba-tiba dia jadi pendiam pula. Sebelum ni elok jer banyak cakap. Mungkin pesanan Sami nya kot…
***************************************
PERCATURAN..
Selepas solat Asar, ambo mulakan langkah dengan Bismillah dan berdoa supaya dimudahkan segala urusan yang mendatang. Sepanjang melalui denai tersebut, hanya bunyian unggas rimba dan laungan bunyi ungka bersahutan di atas pokok. Kadang-kadang rasa seronok juga ditemani bunyian alam begitu. Hingar sekejap diri ini daripada segala bunyian bising di luar sana.
Bila nampak rimbunan pokok Senduduk Ungu di tepi denai tersebut, maka
sampailah ambo di tempat yang dijanjikan oleh budak-budak tu semalam. Sepanjang
menunggu budak-budak tu datang menjemput, ambo siap siaga juga dengan
sekeliling. Baik waspada awal, kerana mainan hutan kadang-kala sukar nak dibaca
helahnya.
Sempat juga ambo menilik pokok Senduduk yang tumbuh merimbun segar di situ. Kalau ada Senduduk Putih, boleh la buat minyak pengasih. Tapi tak ada lah pulak…
Ambo rasa dalam 5 minit saja ambo menunggu di situ. Tak lama lepas tu, nampak budak-budak tu datang menjemput. Tersengih-sengih diorang datang.
“Assalamualaikum Abang.. lama tunggu?” tanya mesra budak-budak tu.
“Eh.. tak adalah… kejap jer.. “.
“Apa tunggu lagi..? Mari ikut kami. Ayah dah tunggu tu..”, kata budak yang paling tinggi. Yang paling rendah tu pula memegang tangan ambo untuk dipimpin jalan bersama. Mesra pulak layanan diorang hari ni. Kalau semalam memang cukup lain. Macam nak makan orang lagaknya.
Dari laluan denai, kami masuk je kawasan padang rumput. Terkasima juga
ambo lihat tempat tu. Dah macam padang stadium. Cantik dan kemas saja potongan
rumputnya. Di hujung padang tu, ada sebuah rumah berdinding buluh. Kelihatan
seorang lelaki berjambang lebat sedang tercegati di pintu rumah. Pada hemat
ambo,mungkin itu lah Ayah budak-budak tu.
“Assalamualaikum.. ‘kami’ datang dengan niat baik. Boleh kalau bicara sebentar?”, ambo mulakan salam bila sampai di halaman rumahnya. Panggilan ‘kami’ dalam adat mereka adalah ‘saya’.
“Waalaikumsalam warahmatullahiwabarokaatuh.. Nampaknya kamu ni dah tahu adat ‘kita’. Sebelum ni pernah ke mana?”, tersenyum dia bertanya. Tapi tak pula dipelawa masuk ke rumah.
“Kami pernah ke Gunung Tebu. Jumpa Haji Taslim. Orang situ panggil Wali
Air. Kenal ke..?”, giliran ambo pula bertanya.
“Kalau Haji Taslim, tu adik kami…”, makin tersenyum dia berkata.
“Boleh panggil kami Hj. Nuar.. Nak bicara di pangkin atau dalam rumah? Kalau di luar, ada banyak angin..”.
“Kami ikut jer. Mana yang mudah, itu yang molek..”. Selepas itu barulah dia berjalan ke arah ambo, bersalam dan memimpin ambo ke pangkin tepi rumah.
Bila ambo duduk, memang jelas ambo mendengar suara sahabat ambo dan
Tokey Cina sedang berbual. Ambo manjur pula pandangan mata ke belakang rumah
Hj. Nuar. Subhanallah….! Nampak jelas kereta Tokey Cina tu di tapak balak.
Rupanya sebelah tapak saja rumah Hj. Nuar ni.
Melihat kerut merut wajah ambo ketika itu, Hj. Nuar mula berkata,
“kenapa..? rasa macam kena tipu..?”, soalan itu nampak ringkas, tapi ambo tahu
sebenarnya dia sedang menguji.
Permainan kata sebegitu telah ambo sedia maklum daripada guru ambo dulu.
Insyaallah, set jawapannya ambo dah ada..
“Kami rasa, setiap yang dibuat pasti ada tujuan niat. Biarlah tuan yang
hak saja tahu. Kami orang luar hanya duli biasa. Datang tak dijemput ini pun
hanya nak percaturan baik. Kurang tidak,niat hajat dah sampai……….”, jawab ambo
menyusun kata.
“Erm… jarang anak muda boleh beradap gini… Baiklah.. Sebenarnya…….”
Bersambung… Part 4