Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim Part 5 (Akhir)




Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim
Part 5 (Akhir)

******************************

Suara azan laungan Pak Halim Badar bergema dalam ruang Gua Mat Hasan. Badi hutan yang merasuk lelaki Kemboja itu telah berasa getaran hikmah azan yang didengarinya. Namun begitu, bukan mudah dia mengalah. Walaupun beberapa kali cubaan untuk mara menyerang Pak Halim Badar gagal, dia cuba pula melempar parang di tangannya.

Nyaris pusingan parang yang dilempar mengena bahu kanan Pak Halim Badar. Walaupun sedang mengelak, laungan azan tetap diteruskan. Setelah cubaan serangan itu turut gagal, makhluk itu cuba pula membaling batu yang dikutip di lantai gua.

Ambo dan Abang Nar masih ‘bertiang tebing’ di sisi mulut Gua Mat Hasan. Bila diperhatikan pertempuran di antara Pak Halim Badar dan Badi Hutan itu, sememangnya nampak sengit. Cuma yang menjadi hairan pada kami bila batu besar yang dilempar pada Pak Halim Badar menjadi debu pasir saja bila mengena tubuh badan.

“Mu guno ilmu gapo ni hah..?! Celako sungguh..!”, sumpah seranah Badi Hutan itu pada Pak Halim Badar.

Tidak sedikit pun dilayan bebelan Badin Hutan itu. Lengkap melaungkan azan hingga 7 ulangan, Pak Halim Badar menyeret kakinya mengelilingi Badi Hutan tersebut hingga membentuk garis bulatan pasir. Bila  bertemu di tempat mula, maka dibaca Mantera Bakar dengan disudahi dengan petikan sebilangan ayat dari surah Ali-Imran ayat 181 sebanyak 7 kali.


“Hay Malik ‘Alaihissalam,
Titih payung bersambung Jibril,
Diberi api turun ke bumi,
Namun tak padan tanggungnya alam,
Walau terendam 70 kolam,
Masih bersisa bara menyala,
Cukup la bakar di atas dunia,
yang lain biar di alam baqa’.
Bakar..bakar..bakar,
hancur zat isi dan badan,
berkat Lailahaillah Muhammadurrasulallah”

WANAKU-LUU ZUU-KU AZA-BAL HARIIQ - 7x

Maka terlaung-launglah si Badi Hutan menahan kesakitan. Badan yang ditumpang pada asalnya cerah mulai hitam kemerahan hingga akhirnya mengeras hangus. Sesudah itu, kelihatan segumpal asap hitam keluar melalui umbun si mayat. Namun, gumpalan asap itu terkurung dalam bulatan batin yang telah dijampi Pak Halim Badar.  Bagai menempuh dinding, berkali-kali gumpalan asap itu mencuba keluar.

“Kirin…! Nar…! Masuk sekarang”, tiba-tiba Pak Halim Badar bersuara. Kata-kata itu sememangnya ditujukan pada kami berdua. Tanpa berlengah, kami bergegas masuk ke dalam Gua Mat Hasan dan mengadap Pak Halim Badar.

“Nampak tu..?”, tanya Pak Halim Badar sambil muncung mulutnya menghala ke arah gumpalan asap tersebut. Walaupun hanya bertemankan lampu kepala, ruang dalaman Gua Mat Hasan cukup terang kerana turut dibantu bias cahaya bulan terang di luar gua.

“Nampak.. Rasanya tu ‘ibu’ Badi Hutan tu kan.?, jawab Ambo meneka.

Pak Halim Badar mengangguk beberapa kali. Diminta berikan botol air bekalan pada Abang Nar. Sebaik saja botol air berpindah tangan, Pak Halim Badar meneguk habis air di dalamnya. Sendawa juga dia beberapa kali kerana kenyang air senafas minum.

Dibaca pula Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Ayatul Qursi dan Yasin ayat 9 pada botol itu. Badan botol di pegang di tangan kanan manakala penutupya di tangan kiri. Kemudian, tapak tangan kiri itu dihala arah gumpalan asap hitam tersebut sambil membaca LAHUL HUQMU WAILAI TURJA’UN sebanyak beberapa kali. Secara perlahan-lahan, tangan kiri Pak Halim Badar melintasi garisan bulatan hingga sebahagian tangannya menggenggam gumpalan asap hitam tersebut.

Muncung mulut botol di tangan kanannya dirapatkan ke genggaman tangan kiri. Secara beransur-ansur, gumpalan asap hitam itu ditolak masuk ke dalam botol hingga tiada lagi bersisa di luarnya. Pantas PaK Halim Badar menutup lubang botol dengan tudungnya dan diletakkan di tanah.

“Nak buat apa lagi lepas ni Pak Halim..? Geng Hj. Taslim macam mana pula?”, tanya Ambo bertalu-talu.

“Okay dah ni. Selesai dah. ‘Ibu’ badi ni kita tangkap dah, maka yang lain pun akan lemah sama. Nak hapus ‘ibu’ ni kena tunggu Hj. Taslim. Nanti tahulah kenapa gelarannya Wali Air”, tersenyum Pak Halim Badar menjawab.

******************************

WALI AIR


“ Assalamualaikum ”, Hj. Taslim mengucap salam pada kami bertiga. Seperti yang dijanjikan, pertemuan kami itu dilakukan di tebing Sungai Cakah Dua. Kelihatan anak-anak buah Hj. Taslim memegang pangsi buluh yang berbalut di hujungnya.

Pada hemat ambo, pangsi buluh itu adalah kurungan Badi-badi hutan yang ditangkap sebagaimana yang Pak Halim Badar lakukan pada botol air minuman tadi.

“Dah selesai semuanya?”, tanya Pak Halim Badar pada Hj. Taslim.

“Alhamdulillah. Tunggu tugas akhir saja lagi. Moga dimudahkan..”, tenang jawab Hj. Taslim.

“Amin”, serentak Pak Halim Badar dan anak-anak buah Hj. Taslim membalas. Ambo dan Abang Nar yang masih terpinga-pinga ketika itu turut mengaminkan tanpa tahu apa tindakan Hj. Taslim selanjutnya. Masih berteka-teki dengan apa yang  berlaku.

Hj. Taslim menyilang paha, duduk rapat ditebing Sungai Cakah Dua. Sambil berkumat-kumit membaca, dicelupkan tangan kanan ke dalam air sungai separas buku lali itu. Ambo cuba-cuba juga menangkap bacaan yang dibaca Hj. Taslim tapi tidak jelas kerana bacaannya laju. Hanya bunyi hujung angin saja yang boleh didengar.

Tangan yang mencelup itu kemudian dipusing-pusing arah tawaf hingga membentuk pusaran air. Lama-kelamaan, pusaran air itu semakin membesar dan membentuk lohong pusaran air, luas dan dalam ke dasar tanah sungai. Masa itulah kesemua botol dan pangsi buluh-buluh kurungan Badi Hutan itu dicampak ke dalamnya. Hanya beberapa saat saja, pusaran itu kembali mengecil dan aras sungai kembali tenang.

Rupanya, gelaran Wali Air yang diberikan pada Hj. Taslim adalah kelebihan beliau mampu mengawal aliran air walau dimana atau apa jua keadaan. Sewaktu dalam perjalanan pulang, Pak Halim Badar banyak bercerita tentang kelebihan Hj. Taslim pada kami berdua. Pernah satu ketika musim kemarau, Hj. Taslim pernah mengarahkan air sungai mengalir naik dari hilir ke hulu hingga airnya dapat digunakan oleh penduduk kampungnya.

Begitulah antara kehebatan yang Allah berikan pada Hj. Taslim sebagai satu tanda kebesaranNya. Kesemua kelebihan yang ada, adalah dengan izin Allah SWT semata-mata.

Sekian, Wassalam.

~Tamat



MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.