Assalamualaikum w.b.t.
Cuma nak kongsikan sedikit cerita
pengalaman merawat seorang Nenek yang berbulan mengalami masalah gangguan.
Rupanya punca penyakit tu di belakang dapur rumahnya...
Al-Kisah....
Pertama kali Nenek ni datang ke RIDAM
adalah untuk merawat masalah imsomnia. Sudah lama Nenek ni tak tidur. Jika
badan terasa penat, Nenek ni hanya mampu baring. Oleh kerana sudah lama tidak
tidur, badan mula lah sakit-sakit. Kepala pun sering pening dan pusing.
Sebelum itu, sudah banyak klinik dan
hospital yang telah dicuba. Doktor sendiri pun tak dapat mengenal pasti punca
penyakit Nenek tu kerana diagnos klinikal menunjukkan Nenek tu sihat. Tiada
masalah gagal organ, saraf ataupun penyakit serangkai. Akhirnya, doktor hanya
berikan pil nutrisi dan ubat tahan sakit serta nasihat penjagaan diri sahaja.
*Camana nak kasi ubat bila tak tahu
sakitnya apa.. kan..? kan..?
Setelah mendengar luahannya, ambo buat
diagnos kesihatan menggunakan Mesin Analisis Meridian. Mesin ni menyemak point
akupuntur di tapak tangan untuk mengetahui organ badan yang bermasalah.
Sebagaimana diagnos kesihatan yang telah dibuat di pusat kesihatan, Nenek tu
memang tiada masalah kesihatan. Semuanya normal!!!
Tapi tuan badan pula mengadu sakit...?
Camana tu?
Bila diagnos klinikal sudah dicuba,
barulah ambo beralih kepada rawatan gangguan. Ambo bahagikan 5 sasaran anggota
badan Nenek tu iaitu Kepala, Tulang Sulbi, Jantung, Tangan Kiri dan Kaki Kiri.
Setiap anggota sasaran ambo tekan point utama saraf dengan bacaan Ayat
Pengesan.
Antara yang ambo baca adalah petikan
ayat dari surah Mu’min:19, Ali-Imran:29 dan Al’Alaq:7 selain disusuli ayat-ayat
lazim yang biasa dibaca dalam rawatan.
Dari sasaran point anggota yang dibuat,
hanya 3 bahagian sasaran yang menunjukkan tindak balas iaitu sakit kepala,
belakang badan jadi panas, sakit lutut, kebas betis dan kaki menjadi sejuk.
Melihat kepada tindak balas tersebut, ambo baca berulang-kali petikan surah
Al-Isra’:6 dan Hud:99.
Kata Nenek tersebut, semasa sesi rawatan
dibuat, terasa ada sesuatu bergerak-gerak dalam kulit, turun-naik di bahagian
kaki. Pada pengalaman ambo, itu terjadi kerana jin dalam badan kepanasan dan
tak dapat keluar dari tubuh. Bahasa perawat sinonim kita katakan ‘tak jumpa
pintu’.
Memang sebelum rawatan ambo ‘tutup’ dulu
laluan keluar untuk elak terjadinya kes gangguan ON-OFF. Banyak kes yang
terjadi pesakit akan sihat bila nak gi berubat dan sakitnya datang semula bila
sampai rumah. Untuk sekatan, ambo biasanya guna petikan surah Yasin:9 dan
Al-Baqarah:7..
Secara batin, memang dengar suara
makhluk tu minta hentikan bacaan dan serangan point tubuh, tapi ambo buat tak
layan kerana puak jin ni memang banyak tipu-daya. Bila dah terkeluar sumpah
dengan nama Allah, barulah ambo hentikan serangan.
Selebihnya ambo ‘pasung’ dan sediakan
bahan rawatan untuk bekal rawatan pesakit di rumah seperti air minuman, mandian
terapi dan senarai pantang pemakanan untuk menguatkan kembali tubuh badan yang
bermasalah.
Sebaik tamat rawatan, pesakit mula
menguap-nguap. Rasanya jika disuruh tidur, masa tu juga lena terbaring.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, masalah pesakit selesai pada hari itu.
*******************
Rawatan Ke-2
Selepas seminggu rawatan yang pertama,
Nenek tu mohon untuk di rawat lagi. Katanya dia hanya mampu tidur selama 2 hari
sahaja. Hari ke-3 masalahnya datang lagi. Masalah baru yang timbul bila hampir
senja, kakinya mula berasa sejuk dan berlarutan hingga subuh esoknya.
Sebagaimana diagnos dan rawatan sesi
pertama, ambo mendapat tindak-balas kesihatan yang sama. Cuma kali ini, suara
batin yang ambo dengar lebih garau. Hairan juga.. bukankah sebelum ini sudah di
‘clear’ kan semuanya? Mana pula datang punca kali ni?
Seperti dalam rawatan sebelumnya, sakit
yang dialami juga sembuh. Ambo harap sangat tiada lagi kes berulang. Kesian juga pada Nenek
tu. Kudrat umurnya yang lanjut tu bukanlah kuat seperti orang muda. Memang
terseksa tubuh badan.
*****************
Rumah Berhantu
2 Minggu selepas rawatan ke-2, ambo
terima lagi panggilan dari Nenek tu. Kali ni katanya dia hanya mampu tidur
selama 3 hari sahaja. Hari keempat sakitnya datang lagi. Kali ini barulah dia
ceritakan masalah gangguan di rumahnya.
Memang seram juga bila dengar cerita
Nenek tu. Katanya bila malam sering terdengar cakaran di dinding rumah. Pernah
juga dengan bunyi orang berjalan seiring bunyi gelang kaki di tangga rumah.
Pernah sekali dengar seperti orang menggali tanah di belakang laman dapur. Itu
tak campur lagi bunyi atas atap, bunyi guli, dalam bilik air dan kelibat yang
sengaja melintas. Memang tak dapat tidur sungguh la bila berada dalam situasi
macam tu...
Mendengar cerita Nenek tu, ambo setuju
untuk buat rawatan ke rumahnya pula.
*************
Serangan
Sehari sebelum rawatan, ambo pula jadi
tak lena tidur. Hanya mampu lelap lebih kurang sejam sahaja dan itu pun
bermimpi hal yang menakutkan. Setakat yang ambo ingat perihal mimpi tu, ambo
diberi amaran makluk berbadan besar yang berbulu supaya jangan teruskan rawatan
ke rumah Nenek tu. Ada juga perempuan bertaring yang tersengih di belakang
makhluk berbulu tu. Belum sempat ambo nak pertahan diri dari makhluk tu, ambo
tersedar dari lena. Berpeluh badan dan dada pun mula rasa semput. Tapi mujurlah
lepas makan ubat diuretik ditambah dengan rukyah syifa pada air yang diminum,
semput tu hilang perlahan-lahan. Alhamdulillah..
Namun begitu, sakit kepala, rasa loya
angin dan kebas betis masih terasa. Bila dibandingkan simptom yang ada pada Nenek tu,
memang sama sakitnya. Ambo andaikan itu adalah mainan entiti untuk halang rawatan
diteruskan.
Bila teringat pesan arwah guru, ada tips
yang boleh dicuba jika diserang secara ghaib sebelum rawatan dimulakan. Amalannya
adalah:
1- Mandi.. jika boleh mandi air terjun
atau air sungai yang mengalir.
*Oleh kerana sungai jauh tempatnya, ambo
hanya mandi di rumah. Cuma ambo buat sedikit tambahan iaitu mandi ais yang
dicampur perahan limau nipis. Tujuannya agar dapat rasa kedinginan dan wangian
dalam mandian. Insyaallah ianya mampu meredakan stress fikiran dan mengubati
fizikal badan.
2-Jazam Wirid
*Kaedah ini adalah dengan membaca wirid
dalam jumlah yang disarankan disusuli dengan senaman nafas ‘buang racun’.
Wirid yang dibuat adalah:
a. Al-Ikhlas 100x
b. Al-Falaq 100x
c.An-Naas 100x
d. Selawat 100x
e. Doa Nabi Yunus 100x
Alhamdulillah, ianya selesai sebelum
masuknya Maghrib pada hari rawatan yang akan dibuat pada malamnya.
3- Membaca 7x Ayatul Qursi sebelum
memulakan perjalanan ke tempat rawatan. Bukan sekadar baca, tapi ianya harus disusuli
dengan kaedah ‘Jurus Pemagar’ di sekeliling tubuh melalui nafas bacaan.
Semua saranan arwah guru ni dapat ambo
sempurnakan sebelum ke rumah pesakit. Alhamdulillah..
**************************
Kisah Rawatan Bermula
Kali ini, ambo minta seorang sahabat
menemani ambo. Selain menjadi pembantu, ada juga saksi dan teman bicara dalam
perjalanan. Kami sampai di hadapan rumah pesakit sekitar jam 8:30 malam
berpandukan GPS yang dihantar oleh cucu Nenek tu.
Bila ambo call nak maklum sudah sampai,
dengar suara Nenek tu macam suara orang bangun tidur. Kami kemudiannya dijemput masuk
ke dalam rumah.
Kata Nenek tu hairan, dah seminggu lebih
dia tak dapat tidur. Elok saja dekat masa nak berubat, rasa mengantuk yang amat
sangat hingga lena atas sofa. Selain itu, semua simptom yang dirasakan juga
hilang. Memang hairan sebab rawatan belum lagi bermula.
Luahan Nenek tu ambo mengangguk senyum.
Memang ada juga kes seperti itu dalam pengalaman merawat sebelum ini. Biasanya
pesakit akan sakit semula bila perawat dah keluar pulang dari rumah pesakit.
Ambo minta izin untuk melihat dalam dan
keliling luar rumah.
Berpandukan cerita Nenek tu, area yang
sering berlaku gangguan ambo perhatikan dengan lebih detail. Memang
hairan sebab memang tiada sebarang ‘rasa’ entiti di dalam rumahnya. Hinggalah
ambo mampir di laman belakang dapur rumah, tiba-tiba sahaja berasa meremang bulu roma.
Seram sejuk jugaklah dibuatnya..
Mengikut cerita cucu Nenek tu, di laman
itulah seringkali bunyi orang berjalan, bunyi orang menggali dan bersiul di
malam hari. Memang dia takut nak intai kerana mungkin terbayang wajah makhluk
yang menyeramkan.
Firasat ambo menyatakan bahawa kes ini
berkait dengan Sihir ataupun kita panggil ‘Buatan Orang’. Mungkin semua entiti
yang dalam rumah sudah lari ke tempat yang ditandakan oleh penyihir. Ambo syak
ianya ditanam di laman tersebut.
Dalam hal ini, sekali lagi petua arwah
guru ambo gunakan. Antara petua yang boleh dijadikan panduan untuk mengesan
barang sihir adalah:-
1- Akan terlihat tanah tidak berumput
jika lamannya subur dengan rumput.
2- Tanah yang punyai barang sihir juga
biasanya akan lebih kering dari tanah di sekitanya.
3- Akan ada angkatan semut merah yang
bersaiz besar di kawasan tanah tersebut.
4- Jika jenis Sihir yang kuat, area
tanah tersebut juga tidak akan punyai bayang setelah dipantulkan objek atau
tubuh.
5- Biasanya akan ada lintasan samada
biawak, burung gagak, cicak yang nyaring berbunyi ataupun ulat mayat.
Kesemuanya lintasan ni biasanya juga mencarik adat dari kejadian asal.
Contohnya biawak lintasan berekor pendek sedangkan biawak sebenar berekor
panjang.
Dalam kes ini, petua No.4 yang menunjukkan tindak balas. Segera ambo istighfar dan membaca zikir penguat diri. Moga-moga
tiada bahana kesan sampingan selepas rawatan dilakukan.
Dalam hal ini, ambo guna Kaedah Rawatan
Tunjal Alam. Kaedah ini diajar oleh Allahyarham Ust. Omar yang juga guru ambo
dalam bidang rawatan. Dengan berdiri mengadap ke arah kiblat, ambo angkat
kedua-dua tapak tangan separas dada. Di situ, tapak tangan di halakan ke depan
dan aturan nafas di mainkan 3 irama. Sambil membaca surah Waddhuha berulang
kali, ambo qasad dan mohon pada Allah agar deria tapak tangan menjadi ‘scanner’
untuk mengesan dimana barang sihir berada. Mundar mandir di tengah laman
tersebut, akhirnya isyarat menunjukkan kedudukan dimana sihir itu ditanam.
Ambo minta penyodok dengan cucu Nenek tu
dan mula menggali. Lebih kurang sehasta dalam lubang yang digali, akhirnya
ditemui gupalan lambut yang terikat dengan tulang burung puyuh dibahagian
tengah tulang kaki.
Jika melihat pengalaman lepas dan info
sahabat yang pernah mengalami kes yang hampir sama, bahan sihir gumpalan rambut
memang tujuan untuk jadikan mangsa dalam kebuntuan. Kesannya juga seperti
pening, sakit kepala, tak boleh tidur, rasa murung, kerap mimpi buruk dan
akhirnya akan hilang akal. Tulang Burung Puyuh di bahagian tengah kaki pula
memang sasarannya adalah dari lutut ke bahagian betis mangsa yang dituju.
Biasanya sihir ini adalah mainan ilmu hitam Lombok. Wallahu’alam..
Ambo asingkan bahan sihir yang dijumpai
dan tawarkan dengan air jampi garam. Seterusnya ambo buat ikhtiar pagar dalam
dan keliling luar rumah dan buat semakan rawatan pada Nenek tu. Alhamdulillah, tiada
lagi rasa sakit yang dialami dan Nenek tu pula nampak tak sabar nak tidur. Dah
seminggu lebih tak tidur katakan.. 😁😁
Selesai menjamu selera yang dihidang
tuan rumah, ambo dan sahabat mohon izin pulang. Barang sihir yang dijumpai ambo
buang ke sungai. Moga tiada lagi kes berulang selepas itu.
Semoga Allah memberi perlindungan dan
kesihatan yang berpanjangan pada keluarga pesakit. Amin.
p/s: Segala cerita yang dipapar dalam
post ini adalah pengalaman sebenar perawat. Darul Manzil tidak bertanggungjawab
di atas risiko mereka yang ingin beramal dengan kaedah yang dilakukan. 😎
Yang baik dari Allah.. Yang buruk hanya
dari penulis..... Semua terjadi kerana izin Allah semata-mata..
Wassalam.