Diari Rawatan >>> Bro Gaban




Terkenang  satu pengalaman merawat pesakit yang mengalami masalah Neuropati Periferal atau dalam bahasa mudah masalah saraf kronik. Simptom penyakit ini memang banyak, antaranya rasa sengal sendi, kebas anggota, kadang-kala sukar untuk bergerak, sakit kepala, ngilu bila dalam bilik berhawa dingin dan sakit tulang belakang serta pinggul.

Semasa dalam talian untuk aturan temujanji, pesakit tu berulang kali mengatakan yang dia di sihir orang. Sungguh pun begitu, ambo tidak membuat sebarang kesimpulan. Ambo sarankan datang dahulu dan nyatakan barang yang perlu dibawa untuk rawatan berdasarkan simptom yang dialami pesakit.

Tepat jam 5 petang, pesakit sudah sampai di RIDAM. Kagum juga ambo rasa ketika itu kerana amat jarang pesakit nak tepati masa temujanji. Kadang-kala sampai terlewat beberapa jam. Pernah juga senyap sampai sudah tak sampai-sampai.. Rupanya tak jadi berubat. Kita yang menunggu ni akhirnya hanya terbuang masa begitu saja sedangkan masa tersebut boleh diberikan pada pesakit lain. Sistem rawatan RIDAM hanya dilakukan dengan adanya temujanji yang dipersetujui antara Pesakit dan Perawat. Tidak ada kaedah rawatan express dan datang beratur kerana hal rawatan perlu menjadi rahsia antara Perawat dan Pesakit sahaja. Bukan menjadi tontonan umum hinggakan kadang-kala terbuka aib atau cerita hal rumah-tangga. Bab tu RIDAM memang tegas.

Bila ambo perhatikan, tiada pun sebarang unsur gangguan dalam tubuhnya. Ambo tidak nyatakan terus kerana tentu pesakit yang percaya dirinya sakit gangguan tidak akan terima kesimpulan tersebut tanpa sebarang bukti.

Pada mulanya, ambo ambil bacaan tekanan darah dengan mesin dan bacaan sistoliknya dah 200!!! Kalau di hospital tu memang sah kena tahan. Pesakit tak puas hati dan 5 kali bacaan tekanan darah diambil. Puratanya memang sekitar 200.. Bila ditanya jika ada penyakit lain, pesakit juga alami penyakit Diabetis tegar. Bacaan gula saja dah 18..!!! Allahurabbi..

Itu tak kira lagi ada masalah Gout, Kolestrol Tinggi, Gastrik, Hernia dan Asma.. Banyak sungguh penyakitnya.. Memang pesakit tu jenis gempal sikit lah..

Setelah ambil bacaan tekanan darah, ambo buat pula Diagnos Iridiologi. Diikuti dengan diagnos suhu badan, ujian Kiropraktik dan ujian meridian saraf. Memang banyak sungguh penyakitnya. Kesimpulannya, ambo nyatakan dia mengalami masalah Neuropati Periferal..

Tersenyum dia bila ambo beritahu penyakitnya. Seraya itu dia minta izin bangun sebentar untuk ambil sesuatu di dalam keretanya. Bila dia masuk semula, dia hulurkan surat keputusan ujian darah, X-Ray dan CT Scan.. Selain masalah berantai yang ambo maklum tadi, memang ada ulasan doktor berkenaan Neuropati Periferal tu. Dia juga ada masalah Tinnatus yang kronik.

Lihat pada keputusan ujian tu, tak mustahil pesakit tu boleh kena masalah Aritmia ataupun Anxiety pula. Memang parah...

“Tak ada gangguan ke Ustaz..? Banyak tempat yang saya gi berubat semua kata ni bukan penyakit hospital.. Semua kata sihir..”

“Setakat yang ambo tengok, tak ada pula. Memang penyakit hospital ni.. Result mesin ust dan result diagnos yang ust buat pun banyak tanda penyakit hospital ni..”..

Namun begitu, nak sedapkan hati pesakit tu, ambo buat juga rawatan rukyah padanya. Sengaja ambo rukyah dengan ayat-ayat penaik semangat, ayat-ayat minda dan ayat-ayat Syifa’ selain ayat-ayat pembakar gangguan.

Lama juga sesi rukyah tu. Hampir sejam gak lah rukyah semata..

Bila melihat masalah yang dihadapi, ambo sedar yang itu bukan level ambo untuk merawatnya. Masalah klinikal yang banyak begitu elok kiranya dirujuk pada perubatan konvensional. Biarpun ada kaedah rawatan alternatif seperti penggunaan herba, terapi saraf, rukyah dan seumpama, ambo rasa aturan rawatan berkala lebih baik diuruskan oleh doktor. Bukan perawat mentah macam ambo ni.

Ambo tidak mahu berikan pesakit tu harapan kosong. Untuk itu, ambo berterus terang dan menasihatinya agar dia merujuk masalah yang dihadapi ke hospital.

“Saya malas lah Ustaz nak gi hospital. Bila nak gi check memang kena tahan wad. Tak mahu saya tido kat wad.. baik saya tido kat umah.. lagi selesa..”, luah pesakit pada saya.

“La..kan awak sakit.. Duduk wad tu bukan macam gi melancong. Kat situ ada nurse dan doktor yang boleh pantau masalah kamu. Bila kamu sihat nanti, keluarlah dari wad tu..’, kata ambo memujuknya.

Pesakit itu tetap tak mahu ke hospital...

Bila dah itu keputusannya, ambo tidak boleh kata apa-apa lagi....

Pesakit mengadu sakit yang amat sangat di belakang tulang punggulnya. Dia minta ambo urut atau gunakan apa jua kaedah untuk merawatnya.

Ambo kata, jika buat terapi masa tu pun, nanti balik rumah sakit semula sebab sakitnya berpunca dari dalam tubuh. Kena makan ubat..Kena terapi fisio juga.. Tak selesai dengan terapi ambo buat ni..

Dia berkeras juga....!!!

Allahurabbi.. payah juga bila berdepan dengan pesakit keras kepala ni. Nak sedapkan hatinya, ambo buat juga terapi bekam, urutan, rukyah saraf dan sedikit rawatan akupuntur. Berkali-kali juga ambo nyatakan bahawa  rawatan yang dibuat tu bukan penyelesaian kekal. Dia hanya diam bila ambo berkata begitu.

Selesai rawatan lebih kurang hampir 2 jam lamanya, pesakit tersenyum sebab rasa sakitnya dah hilang serta-merta. Berkali-kali dia ucapkan terima kasih..

Seperti awalnya, ambo ingatkan yang sakitnya akan berulang dan menasihatinya agar ke hospital.

“Tak mahulah.. lepas ni kalau sakit pulok, saya cari ustaz jah.. Senang skit..”

“Ambo bukan Tuhan.. ni pun tak cukup syarat lagi merawat ni. Bukan ubatnya. Lepas ni ambo tak mahu rawat dah sebab memang bukan bidang ambo. Kamu kena gi jumpa doktor tu..”.

Oleh kerana lamanya masa rawatan, pesakit solat dan makan malam di rumah ambo. Sekitar jam 11 malam baru pesakit tu beredar..

Ambo pula bersalin pakaian, mandi dan laksanakan solat Isyak sebelum tidur keletihan.

_______________

Panggilan >>>

Ambo terkejut dari tidur bila handphone berdering. Dalam pening-pening lalat akibat tidak cukup tidur, ambo bangun dan menjawab panggilan. Rupanya pesakit siang tadi yang telefon. Masa tu jam 2 pagi.

Seperti yang dijangka, sakitnya berulang. Dia minta nak jumpa ambo masa tu jugak untuk di rawat. Adus.. berkali-kali ambo menolak sebab ambo sendiri pun keletihan. Mana ada daya nak merawat masa tu. Ambo sarankan dia ke hospital untuk dapatkan rawatan. Bagi ambo itu lebih baik.

Akhirnya dia mengalah, memohon maaf dan tamatkan talian.

Pukul 6:30 pagi dia telefon lagi minta di rawat. Sekali lagi ambo menolak kerana waktu itulah nak urus persiapan anak-anak yang nak ke sekolah. Masa itu juga nak tengokkan baby sementara isteri masak makanan sarapan.

Pukul 9 pagi dia call lagi. Ambo tetap menolak kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Nak kena pos barang produk, nak kena bayar lesen niaga dan perlu ke pejabat tanah daerah pula selepas tu untuk urusan bayaran tanah tapak kiosk yang ambo sewa dengan kerajaan.

Pukul 12:30 tengah hari dia telefon lagi. Waktu tengah hari macam tu lagilah tak boleh sebab nak ambik anak-anak balik sekolah pula. Lagipun hanya itu sahaja masa sedikit yang ada untuk ambo berehat sebab petang hingga malam pula sudah ada temujanji rawatan.

Bila isteri ambo tanya siapa yang telefon, ambo jawab “Bro Gaban call”. Memang rasa marah juga bila berdepan dengan kes pesakit tak henti-henti call nih..

Pukul 5 petang dia call lagi. Kali ini ambo matikan talian sebab tengah merawat pesakit. Rupanya dia dah tercegat kat depan rumah. Terkejut juga bila dengar dia beri salam. Nak tak nak terpaksa lah ambo sambut salamnya.

Sekali lagi dia mohon minta di rawat.. Kali ni dia pulak sendiri pandai-pandai mintak ruang masa dengan pesakit yang datang masa tu. Mungkin sebab nadanya sedih, pesakit tu berikan ruang untuk ambo rawatnya dahulu..

Allah...degil sungguh dia tu.. Tak reti nak mengalah..

Kali ini, ambo nak dia berjanji jika nak di rawat. Janji yang pertama adalah ini rawatan yang terakhir dengan ambo. Selepas ni kalau sakit datang lagi, kena gi hospital.. Janji selepas itu adalah tak boleh call lewat malam dan mesti makan ubat yang doktor sarankan.

Oleh kerana terdesak, dia berjanji siap bersumpah lagi.. Maka dengan itu, ambo mula merawatnya Cuma kali ni tak lah lama kerana masih ada lagi bekas rawatan sebelumnya.

Diringkaskan cerita, pesakit hilang rasa sakit selepas rawatan tersebut. Ambo pun hairan sebab ambo bukan merawat pun. Ambo cuma usik saraf agar dia rasa lega saja. Selain itu juga, ambo hanya doakan terus pada tubuh pesakit dengan doa-doa berkaitan bina insan. Tu sahaja yang ambo ikhtiarkan..

Selepas berpuas hati dengan kondisi selepas rawatan, dia memohon maaf, mengucapkan terima kasih dan berundur pulang..

Dia dah lega.. Tapi ambo la terpaksa lanjutkan rawatan pada pesakit siang tadi hingga lewat malam. Sekali lagi ambo keletihan yang amat sangat malam tu.

-------------------------------

Pertemuan Terakhir >>>>>

Sekitar jam 10 pagi, ambo dapat panggilan dari isteri pesakit semalam. Rupanya isteri nak maklum dia dah meninggal awal Subuh tadi.. Tak sangka rawatan semalam adalah pertemuan akhir ambo dengan arwah.. Kata doktor kerana serangan jantung masa tidur.

Bagi menghormati arwah, ambo turut sama menziarah dan terlibat dalam urusan pengebumiannya hingga selesai.

Bila ambo nak beredar dari tanah kuburan, adik arwah ajak ambo bicara sebentar. Kami duduk agak jauh sedikit dengan tempat majlis. Di situ, adik arwah berikan ambo sebuah sampul yang dalamnya ada duit RM1000.. Terkejut juga sebab apa tujuan duit tu diberi pada ambo?

“Semalam Abang Bad (bukan nama sebenar) ada bunyi kat isteri dia sebelum tidur. Dia kata nak bagi ustaz RM1000 sebab ustaz sanggup rawat dia. Dia juga rasa kesal sebab banyak kali call ganggu ustaz. Duit ni tanda terima kasih dan maaf sebab menyusahkan ustaz..Walaupun dia tahu ustaz marah sebab kena ganggu, ust teruskan juga rawatan.. Ambil lah.Ni hajat dia ni.”

Terkedu juga ambo bila dengar cerita dari adik arwah tu. Tak sangka baik sebenarnya arwah ni. Sedangkan masa rawatan tempoh hari pun dia bayar ambo dekat RM300. Kalau nak dikira, jumlah itupun dah lebih dari syarat upah asal rawatan.

Betul kata orang, bila terdesak, kadang-kala kita tak sedar buat kesilapan. Main langgar jer.. Mungkin sebab masa tu arwah sakit sangat dan takut nak ke hospital..

Apa pun, semoga arwah berada dalam golongan yang diberkati Allah dan berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah di ‘sana’.. Amin..

p/s: Semoga tidak berlaku lagi kejadian ini dalam hidup ambo.. Amin









MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.