Hikayat Rawatan... Wali Air;
Panglimun Hj. Taslim.. Part 4
******************************
“Kat mana tempatnya sarang
mereka tu Hj?”,tanya Pak Halim Badar pada Hj. Taslim.
“Dekat dengan Gua Mat Hasan”
“Pasti?”, Pak Halim Badang
bertanya lagi. Kali ini dia perlu pastikan tempat sasarannya tepat. Jika
tersalah arah, berkemungkinan perjalanan di hutan tebal menuruni Gunung Tebu
akan sesat dan jauh perjalanannya.
Hj. Taslim mengangguk yakin.
Katanya, sudah banyak kali dia ke situ untuk mengintai gerak-geri makhluk Badi
Hutan berkampung.
“Baiklah. Jika begitu, kita
bergerak dalam dua kumpulan. Cukuplah kami bertiga. Yang lain Hj. yang pimpin…
Ya..?”, suara Pak Halim Badar memberi cadangan.
Ambo dan Abang Nar hairan juga
dengan strategi Pak Halim Badar itu. Cukup kah kalau hanya kami bertiga?
Pertanyaan dalam benak fikiran kami berdua itu dapat pula dibaca Pak Halim
Badar.
“Cara kita lain. Gerak mereka
pun lain. Insyaallah, nanti di sana nanti korang akan tahu,”, begitulah Pak
Halim Badar memujuk hati kami agar percaya dan bersangka baik pada arahan guru.
Langkah orang lama lebih berbisa kerana pengalaman yang dilalui. Mereka lebih ‘makan
garam’ berbanding orang muda.
***************
LANGSUIR..
Seperti yang dicadangkan oleh
Pak Halim Badar, kami bergerak dalam dua kumpulan. Kumpulan yang dipimpn Hj. Taslim
sekitar 6 orang bergerak mendahului kami bertiga. Memang nampak tegap sungguh
badan orang-orang muda pimpinan Hj. Taslim itu. Hanya beberapa minit saja
mereka di hadapan, kelibat mereka hilang selepas melalui kabus embun sewaktu
menuruni Gunung Tebu tersebut.
Ketika dalam perjalanan itu,
melalui sebuah batu yang amat besar. Kata Pak Halim Badar, itulah dia Batu
Madrasah. Jika diizinkan Allah terbuka mata batin, sebenarnya Batu Madrasah itu
adalah tapak surau lama kaum bunian tadi. Perkampungan bunia itu sebenarnya
berdekatan dengan Taman Santai Bunian. Hanya beberapa meter menghala matahari
jatuh dari puncak Gunung Tebu itu.
Dalam perjalanan malam bertemankan
suluhan lampu kepala, ambo dengar jelas bunyi jatuhan air terjun. Semakin dekat
perjalanan kami dengan bunyi air terjun itu, Pak Halim Badar menyuruh kami memperlahankan
langkah berjalan.
Bertanya Pak Halim Badar
sambil berbisik,”ada sesiapa yang luka tak? kudis ker? kena ranting ker?”.
“Saya Pak Halim. Kena daun
buluh masa lalu kat kawasan buluh hutan tadi”, akui Abang Nar. Seraya itu Ambo
juga lihat-lihat di anggota badan kalau-kalau ada juga luka yang terhiris.
Rasanya memang tak ada.
“Allah.. cari bala doh la kali
ni…”. keluh Pak Halim Badar bila mendengar akuan Abang Nar.
“Bakpo..”. tanya Ambo dengan
pertanyaan Pak Halim Badar itu. Abang Nar juga inginkan penjelasan yang sama.
“Kawasan kita duduk ni dekat
dengan Punca Air Gunung Tebu. Banyak Langsuir sini. Kalau ada luka, pahtu ada
hujan pulok, memang dia muncul. Jadi lambat perjalanan kita nanti”, tertelan
air liur ambo tengok Abang Nar bila Pak Halim Badar berkata begitu.
“Dah tu camana ni Pak..?”.
soal Abang Nar cemas.
Belum sempat Pak Halim Badar
menjawab, terdengar suara perempuan mengilai nyaring di atas pokok besar
sebelah kami. Pada masa itu, memang terasa bulu roma naik ke tengkuk. Di tambah
pula hujan renyai-renyai mulai turun, rasa seram makin lah terasa. Ambo dan
Abang Nar bersauk siku. Bimbang juga kalau Langsuir itu menyerang.
“Mercun bola mana Kirin?”,
tanya Pak Halim Badar.
“Ada ni,” jawab Ambo sambil
hulurkan mercun bola bersama pemetik api kepada Pak Halim Badar yang diambil
dari beg galas. Tanpa berlengah, sebiji mercun bola dibakar, dan dilempar ke
arah hilaian Langsuir di puncak pokok. Walaupun hilaian ketawa Langsuir itu
senyap seketika, ia kembali mengilai dari arah lain pula.
Kali ini, Pak Halim Badar
gunakan 2 biji mercun bola dan melempar ke arah bunyi hilaian berkenaan.
Sewaktu melempar, dibaca seiring INNA FATAHNA LAKAFATHAM MUBIINA….!, iaitu ayat
1 daripada surah Al-Fath.
‘Gedebuk’ bunyi benda jatuh
dihadapan kami. Segera Pak Halim Badar berlari ke arah itu sambil dikeluarkan
parang dari sarungnya. Kami juga tergesa-gesa menurut langkah Pak Halim Badar.
Semput juga berlari ribut begitu.
Di hadapan kami kelihatan
seorang wanita berambut panjang, terbaring lipat di atas tanah. Terdengar juga
suara nafas wanita itu menghela kencang kesakitan.
“aku nak kira mudah..! Pergi
dari sini atau aku wi mu sakit. Pilih nak yang mana?”, kata Pak Halim Badar.
Parang di tangan tetap digenggam rapi. Bersedia juga kalau wanita itu
menyerang.
“hihihihihi…. mu ingat boleh
lawan aku..?,”kata wanita itu sambil mengilai ketawa.
Pak Halim Badar nampaknya kali
ini tidak banyak bersuara. Nampak lebih langkah dari suaranya. Segera hulu
parang di benam dalam tanah. Dalam benamnya hanya sekitar suku panjang parang
sahaja. Kemudian, dikeluarkan parang dari tanah dan dibaca mentera sekuat
laungan suara.
“Hey betina berambut panjang,
Selubung putih bermain awan.
Aku tahu asal usulmu,
Langsuir baka siluman,
kerana bercampur angin setan,
Aku pengikut Sultan Abu Bakar.
Sumpah bertapis perkena
manusia.
Berkat kalimah Lailahaillah,
Muhammadurrasulullah”.
“fuh…!”, dihembus tanah yang
terlekat di parang dengan satu nafas. Kemudian, belakang parang itu dihayun
laju, menetak sebiji baju besar di tanah. Bunyi ‘ting…ting…ting..’ lagaan besi
parang dan batu memeritkan telinga wanita itu. Dicuba menutup kedua telinganya,
namun gema bunyi tersebut makin kuat memeritkan pendengarannya.
Dari ketawa mengilai-ngilai,
akhirnya dia merayu tolong dihentikan perbuatan itu,”tolong..tolong jangan buat
lagi. Aku tak tahan…”. Beberapa kali juga dirayu sedemikian sebelum Pak Halim
Badar menghentikan perbuatannya.
Sebaik saja parang disarung,
dengan pantas wanita itu bangun dan terbang naik ke pokok. Tiada lagi ketawa
mengilai yang bila saat itu Ambo perasan, suara unggas rimba pun turut diam
ketakutan. Berasa lega dan syukur sungguh. Satu lagi kemudharatan telah
dimudahkan. Alhamdulillah.
Perjalanan kami diteruskan.
Ketika melalui laluan denai menghala turun ke kawasan yang dikenali sebagai
Jendela Pandang, banyak kali juga Ambo melihat makhluk binatang yang
pelik-pelik. Ada juga melihat katak di atas pokok yang besar saiznya. Arnab
yang bewarna emas dan pernah Ambo dan Abang Nar tiba-tiba disuruh matikan
langkah dan menahan nafas. Rupa-rupanya melintas si ular Sawa sebesar batang
pokok Pisang. Lajunya lintasan ular sawa tu hingga terasa angin yang membuaikan
rambut. Persis lintasan keretapi laju dilandasan.
Memang berasa seronok dapat
melihat pengalaman baru begitu. Tapi jika boleh ditimbang antara seronok dan
takut, rasanya lebih rasa takut ikut gayanya.
Dari laluan denai yang
tingi-tinggi rumput lalangnya, kami melalui pula denai yang lebih rata. Pak
Halim Badar tunjukkan sebatang pokok besar yang akarnya masuk menembusi batang
pokoknya. Agak berbeza dari kebiasaan kerana sifat akar biasanya melilit pokok.
Ini, akarnya menembusi batang pokok dan barulah hujung keluarnya melilit pokok secara
menaik.
“Tu lah gerbang alam ‘sana’
kalau kita naik kot Air Terjun Lata Belatan. Lepas ni kita jumpa sempadannya
pulak..mari”, ajak Pak Halim Badar. Hanya beberapa minit dari tempat ‘gerbang’
tadi, kami sampai di kawasan berbatu. Sedikit lagi langkah ke hadapan, ada
ruang tanah lapang sekitar 2 relung, seakan-akan di situ letaknya lorong masuk.
Memang di kiri dan kanan nak masuk ke ruang tanah itu ada serumpun pokok tebu
yang berpangsa 3. Warna pokok tebu itu Ungu gelap dan berkilat bila terkena
suluhan lampu.
Di situlah kumpulan Hj. Taslim
berkumpul. Kami disambut Hj. Taslim yang pada mulanya bersila bertafakur.
Anak-anak buahnya juga berkelakuan sama. Diam dan qiam dalam fana zikir diri
masing-masing. Sempat juga Ambo tangkap zikir ulangan di bibir mereka. Ayat
Nabi Yunus dalam perut Ikan Nun itu diulang-ulang tanpa putus.
“Dah lama sampai Hj..?”, tanya
Pak Halim Badar.
“Lama dah.. Kenapa lewat
sangat..?”, soal Hj. Taslim pula. Lantas Pak Halim Badar ceritakan pengalaman
berjumpa Langsuir tadi.
“Dah masuk tanah dia, memang
la diganggu. Kenapa tak lalu ikut tepi lembah air tu?”, lanjut soalan Hj. Taslim
pula.
“Nak cepat.. tulah padahnya”,
jawab Pak Halim Badar sambil ketawa kecil.
“Nampaknya, masalah kita makin
bertambah ni. Ada mangsa baru lagi. Dah jadi mayat hidup masa Kami intai tadi”,
cerita Hj. Taslim.
Mengeluh juga Pak Halim Badar
bila mendegar laporan risikan Hj Taslim tu. Beberapa kali juga Ambo dengar Pak
Halim Badar beristighfar.
“Badi Hutan ni kalau dah
menumpang jasad, kekuatannya makin kuat. Apalagi kalau mayatnya masih baru..”,
keluh Pak Halim Badar seorangan.
Setelah lama berfikir, Pak
Halim Badar cadangkan kumpulan dibahagi 3. Hj Taslim disarankan menggempur Badi
Hutan yang masih siluman. Ambo dan Abang Nar di suruh bakar sarang mereka di
dalam Gua Mat Hasan dan Pak Halim Badar sendiri akan berhadapan dengan mayat
hidup rasukan Badi Hutan itu. Selepas selesai urusan tugas masing-masing, semua
diminta berkumpul di kawasan Sungai Cakah Dua.
Setelah menerangkan susun atur
serangan, semua kumpulan bergerak serentak.
*********************
Ambo dan Abang Nar sudah
sampai di pintu Gua Mat Hasan. Dari celahan tepi dinding gua itu, jelas kami
nampak Pak Halim Badar sedang berdiri bercekak pinggang. Di hadapannya ada
seorang lelaki bermata sepet, turut berdiri bersama parang di tangan.
Lelaki itu bersuara parau,”hahahahahaa…
memang aku tahu doh mu akan mari. Berani mu dih..?”.
Soalan lelaki itu tidak
dijawab oleh Pak Halim Badar. Sebaliknya, diangkat kedua tangan separas cuping
telinga. Kemudian dilaungkan azan sekuat-kuatnya. Bergema suara Pak Halim Badar
dalam Gua Mat Hasan itu.
Setiap kali rangkap azan
beralih, lelaki itu akan terpelanting ke belakang. Namun digagahi bangun
kembali dan cuba mara menyerang Pak Halim Badar.
“Jangan ingat aku ni takut
bila kau baca tu..!”, jerit lelaki itu. Nampaknya bukan mudah dia menyerah
kalah. Kali ini dilempar parang di tangannya. Berpusing-pusing parang itu
terbang ke arah Pak Halim Badar yang sedang azan..
bersambung…