Ads 468x60px

Coretan Riadah @ Pulau Besar - Part 1

 
 
Coretan Riadah @ Pulau Besar
5-6hb September 2016

Selesai Seminar Perubatan Nusantara RIDAM di Kuala Lumpur, saya mengambil keputusan untuk ke Pulau Besar keesokkan harinya. Lagipun, sudah 3 tahun tidak saya jejaki pulau tersebut.

Masih saya tidak lupa pada kenangan saat menziarahi makam arwah moyang (Sheikh Ibrahim Kadir iaitu abang kepada Sultan Ariffin Pulau Besar), Maulana Malik Ibrahim dan ahli keluarga yang berjuang menentang penjajah Portugis sebelum serangan besar ke atas bumi Melaka. Masih banyak sejarah yang digelapkan.

Insan yang menyusun dan memecah rahsia keturunan saya daripada leluhur Al-Ahmady (Pattani, Thailand) adalah Tabib Din. Melalui beliau lah, saya bertemu jodoh dengan pulau ini hingga tiba masa rindu datang menjengah, panggilan pulau terasa gundah.

Selepas daftar keluar hotel, saya ke Masjid Al-Ghufran untuk mengambil Haji Hamzah yang menginap di hotel masjid tersebut. Memang kagum dengan pengurusan Masjid Al-Ghufran. Seolah menaiki bangunan pejabat moden, masjid ini dilengkapi ruang solat yang selesa, lif, pejabat urusan masjid, kafetaria, dewan seminar dan hotel 21 bilik. Pendek kata, prasarana di sini sangat sempurna terutama pada para musafir.

'Driver of the Year' sepanjang kelana adalah Hermen Chelvam. Dia ni tidak memerlukan sebarang ubat atau pil jika mengantuk ketika memandu. Sekadar air nescafe sudah memadai dan mampu memandu sejauh 11 jam perjalanan tanpa rehat. Dah bertahun saya bermusafir bersamanya.

Selepas mengisi minyak di Petronas, kami bergerak ke Kerinci untuk membeli alat SmartTag terlebih dahulu. Dengan alat ini, perjalanan di lebuhraya akan lebih lancar kerana tidak perlu beratur panjang ketika pandu-bayar di stesyen tol.

Selesai urusan di Kerinci, kami singgah sebentar di Subang Jaya. En. Alang katanya nak beli handphone baru kerana yang lama sudah retak screennya. Kasihan.. handphone En. Alang terjatuh sewaktu dia keluar dari kereta, depan hotel kami menginap semalam. Pencarian handphone di Subang Jaya amat mengecewakan. Jika lihat di papan iklan luar kedai, katanya harga borong. Tapi itu semua gimik niaga saja. Harganya sama dengan tempat lain. Dah la 10 sen pun tak dikasi kurang. Bila difikir betul-betul, baik beli kat pekan dekat rumah saja. Jika ada apa-apa masalah, tidak lah jauh ke kedai nanti. Kos pun jimat.

Puas hati dengan keputusan yang diambil, kami singgah sebentar di pejabat Pos Subang untuk kiriman produk Minyak Keting Besi kepada pelanggan yang membeli secara online. Maklumat Minyak Keting Besi boleh dilihat di blog darulmanzil. Di situ, segala penerangan berkaitan produk disediakan secara lengkap.

Tepat jam 4:30 petang baru kami bertolak ke Melaka. Mujurlah hari itu hari minggu. Kuranglah sedikit kesesakan lalu-lintas. Kami singgah sebentar di RnR Nilai untuk santapan tengahari. Agak lewat sebenarnya jadual makan kami pada hari itu. Dah terasa keroncong perut baru teringat nak mengalas isi. Kata orang lama, dah masuk angin baru sedia nak menadah.

Kami tiba di Jeti Umbai sekitar 7:30 malam. Abg Napi dan Din dilihat rancak bersembang di kedai makan tepi jeti. Dari petang sabar menanti untuk bergerak sama kami. Kos parking kereta di Jeti Umbai hanya RM5 bagi mereka yang ingin ke Pulau Besar. Insyaallah, keselamatan kenderaan tetamu pulau yang datang dijaga sebaik mungkin oleh pekerja yang bertugas.

Selesai mengeluarkan beg masing-masing, kami menaiki bot Pak Man untuk ke Pulau Besar. Pak Man ni sudah lama saya kenal. Sejak tahun 2011 lagi, bot Pak Man menjadi pilihan jika saya nak ke Pulau Besar. Berbanding pengusaha bot yang lain, Pak Man sangat disenangi pelanggan. Selain mesra orangnya, beliau tidak lokek bercerita. Tanyalah apa pun perihal Pulau Besar, pasti akan diceritakan. Tak hairanlah bot Pak Man penuh dengan tempahan. Jika tak maklum awal sebelum bertolak, mungkin terlepas peluang nak sewa botnya. Pak Man boleh dihubungi melalui nombor 016-6101425.

Hanya 10 minit dari Jeti Umbai, kami tiba di Pulau Besar tepat jam 8:00 malam. Awalnya, kami memasang khemah di bahagian timur pulau dan makan malam di restoran resort selepas itu. Kemudian, kami solat di Masjid Pulau Besar sebelum menziarahi para makam ulamak dan moyang saya di situ. Al-Fatihah untuk mereka yang syahid ketika berjuang menentang penjajah Portugis laknatullah. Begitu cekal mereka berusaha menegakkan syiar agama dan menjaga kedaulatan negara bangsa. Semoga Allah menempatkan mereka dikalangan hambaNya yang beriman. Ameen..

Selesai urusan ziarah, kami rehat sebentar di tapak khemah sebelum aktiviti lewat malam yang dirancangkan..

Bersambung......

#darulmanzil #pulaubesar #perawatnusantara

www.darulmanzil.blogspot.com





 
Blogger Templates