Hikayat Rawatan... Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 2



Hikayat Rawatan...
Wali Air; Panglimun Hj. Taslim.. Part 2

********************************

Gegak gempita bunyi kumpulan beruk itu mengalahkan bunyi alam yang lain. Ambo yang pertama kali berdepan situasi tersebut juga berasa gundah. Begitu juga dengan Abang Nar. Kami buntu dan mengharapkan Pak Halim Badar dalam hal ini.

Beruk putih yang baru melompat turun dari pokok itu berlari deras mendekati kami bertiga. Semakin dekat kehadirannya, semakin kuat pula Pak Halim Badar berkumat-kumit membaca doa amalan.

"Ya Abda.. ! Ya Nuruzzabar...! Ya Rijalul Ghaib...!!!" Fasayak fi kahumullah, Wahussami ‘un ‘alim..”.

Seperti dinding wujud di hadapan kami, beruk putih itu terpelanting bila jaraknya tinggal sekitar 5 hasta dengan kedudukan kami. Lantas ia bangun dan cuba merempuh beberapa kali namun cubaannya gagal. Ditayang giginya menyeringai marah.

“Kirin, wi parang mu ke Pak…”, pinta Pak Halim Badar pada Ambo. Selepas dicabut parang dari sarangnya, Ambo terus berikan pada Pak Halim Badar. Lantas, Pak Halim Badar lagakan muka belakang parang itu antara satu-sama lain.

Kesan dari bunyi lagaan itu menyebabkan beruk putih dan sekawan lainnya menjadi kalih arah. Beberapa kali mereka menutup telinga dan mula beransur-ansur beredar. Terdengar lintang-pukang mereka melompat dari pokok ke pokok. Hanya dalam beberapa detik sahaja, suasana kembali sepi kembali.

“Alhamdulillah.. beruk-beruk tu tak berani serang kita dah…”, kata Pah Halim Badar memecah sunyi kami bertiga. Ambo dan Abang Nar mula melepaskan nafas lega. Tak tahu lah apa jadi pada kami berdua kalau Pak Halim Badar tiada tadi.

“Jom kita teruskan perjalanan. Jauh lagi ni..”, ajak Pak Halim sambil berjalan di hadapan.

*****************************

Kami berehat sebentar berdekatan pokok Api-api di tengah perjalanan. Menurut kata Pak Halim Badar, harimau cukup takut dengan pokok ni. Jika nak berehat dan ingin mengelak bertembung harimau, rehat lah berdekatan pokok Api-api.

“Kenapa pulak harimau takut dengan pokok ni? Saya tengok macam pokok daun kecil biasa jer..”, tanya Ambo kehairanan sebab, bila dibelek daun-daun pokok Api-api tu, tiada pula rasa pedih, miang, gatal atau yang memudharatkan.

“Kita manusia ni memang lah tak berkesan apa-apa, tapi kalau kena dek harimau, jadi gatal. Berguling-guling nanti sebab tak tahan gatal tu’, jawab Abang Nar menyampuk. Nampaknya Abang Nar juga tahu hal itu. Sempat juga Abang Nar ceritakan pengalamannya terserempak dengan harimau waktu pergi menorah getah. Mujurlah waktu dia terserempak tu, keempat-empat kaki harimau semuanya duduk di atas akar. Biasanya, jika harimau berkeadaan begitu, itu tandanya ia sudah kenyang dan tidak menjadi ancaman pada manusia atau binatang yang lalu di hadapannya.

“shhhh..”, tiba-tiba Pak Halim arahkan pada kami supaya diam. Kemudian dia bangun tercacang dan memotong sebatang kayu hidup dari pokok di hadapannya. Kayu hidup kira-kira  1 meter panjang itu dicatas rimpang kiri dan kanannya. Hanya batang lurus sahaja yang tinggal.

Dari pangkal kayu tersebut, dibaca beberapa doa dan dihembus-hembus hingga ke hujungnya. Bacaan yang sempat Ambo tangkap sewaktu Pak Halim membacanya adalah ayat yang berada dalam surah Al-Hadid. Ada juga Pak Halim Badar benamkan hujung kayu itu ke tanah dan tampak benar kuatnya kayu itu seperti tongkat.

Perbuatan Pak Halim Badar itu menjadi persoalan dalam benak fikiran Ambo dan Abang Nar.

Acap kali juga Pak Halim Badar mundar-mandir ke hulu dan hilir tengah Gunung Tebu itu. Sesekali dia menguis tanah dan ada juga membelek dedaunan gugur di lantai tanah.

Ambo dan Abg Nar berpandangan sama sendiri. Jerih juga meneka apa yang Pak Halim lakukan. Tujuan apa? Kenapa?

Nak ditanya ketika itu takut dimarah pula. Terpaksalah kami diam dan hanya memerhati saja perbuatan Pak Halim Badar itu. Sudah la malam, bukan waktu bulan terang pulak tu. Kalau tak ada bekal lampu, memang gelap gelita sungguh. Kerana takut, Ambo dan Abang Nar duduk serapat boleh. Serik juga kalau kejadian serangan beruk lewat maghrib tadi menjadi lagi.

Dalam kelam malam itu, tak semena-mena bau bangkai menusuk hidung. Rasa nak muntah Allah saja yang tahu.

Terus, Pak Halim Badar menikam tongkatnya ke tanah. Dileret tikaman tanah itu menjadi garisan bulat di luar kami duduk. Kemudian Pak Halim Badar duduk bersila dan mulutnya mula berkumat-kumit membaca sesuatu. Kami berdua yang duduk di belakangnya beralih rapat, duduk dibelakang Pak Halim Badar.

"Nampaknya malam ini bukan malam mudah. Mulakan amalan Pelindung. Lihat saja apa jadi lepas ni. Jangan sesekali menyampuk, kecuali di beritahu..faham?" pesan Pak Halim Badar.

Kami berdua mengangguk faham. Tanpa berlengah, kami berdua bacakan ayat 9 dalam surah Yasin sebanyak 3 kali, diikuti surah Muawwidzain sebanyak 7 kali setiap satu. Kemudian kami jadikan ayat “Lailahailla anta, subhanaka inni, kuntuminazzolimin” menjadi zikir basahan di mulut kami.

Bau bangkai semakin kuat. Makin menyeramkan bila kedengaran pula suara lolongan anjing bersahutan. Panjang suara lolongan anjing itu menaikkan lagi bulu roma yang mendengarnya. Pada waktu itu, pandangan kami lebih waspada. Kiri dan kanan sentiasa kami perhatikan kalau-kalau ada sesuatu yang menjengah.

"mu wak gapo masuk tanah aku nih...?!", tiba-tiba terdengar suara garau lelaki menengking kami. Suara itu datang dari arah hadapan Pak Halim Badar.

"Ambo dengan anak buah ni lalu jah.. Takkan lalu pun salah..?", tenang Pak Halim Badar menjawab.

Soalan berbalas soalan itu menjadikan suasana sepi seketika. Berkali-kali Ambo mencari pandang, dilihat juga sekitar depan kalau boleh nampak empunya yang bersuara.

"Kalau benar kau tu tuan pada tempat ni, tunjukanlah diri tu. Pengecut jer yang bercakap selindung...", kata Pak Halim Badar mengejek pada suara yang entah mana duduknya.

Kemudian, terdengar bunyi ranting kayu patah di pijak-pijak. Detap-detup langkah memijak tanah semakin kuat. Begitu juga dengan bau bangkai dan lolongan anjing tadi.

"Allah....!"Ambo melompat, terkejut bila melihat seorang lelaki botak berseluar pendek muncul tiba-tiba di balik celahan pokok Ketapang. Kelihatan lelaki botak itu lompong kulit pipinya hingga menampakkan tulang muka. Beberapa ulat mayat kelihatan jatuh di bahunya. Memang hodoh benar rupanya.. Lantas Pak Halim Badar menghunus tongkat kayunya..

"Hey badi hutan.. Jangan cuba-cuba nak takutkan kami..!”, lantang Pak Halim Badar memberi amaran.

Makhluk itu menyeringai dan menampakkan lagi giginya yang rompong. Dia cuba mampir menghampiri kami tapi terhadang oleh dinding ghaib yang telah dibuat Pak Halim Badar. Tak cukup dengan itu, dia cuba pula dari arah lain. Berpusing keliling dia mencari jalan agar kami dapat disentuhnya.

Bila sudah banyak kali cubaannya gagal, akhirnya dia duduk menyangkung di hadapan kami. Nampaknya bukan mudah makhluk itu nak menyerah kalah.

“Tadi bukan main belagak kau orang semua ya…?! Habis beruk-beruk aku lari lintang pukang..”, tiba-tiba makhluk itu berkata. Rupanya, serangan gerombolan beruk-beruk itu adalah binatang belaannya.

“Dah diorang ganggu kami, takkan nak tengok saja..?”, jawab Pak Halim Badar mempertahankan diri. Ambo dan Abang mengangguk di belakang. Setuju benar dengan kata-kata Pak Halim Badar. Kalau diri diserang, memang wajib kita pertahankan diri.

“Aku banyak kali doh dengar orang kena kacau badi hutan kat sini. Tak sangka pulak kitorang pun kena. Apa tujuan kamu ni..? Tu… jasad siapa pulak yang kau tumpang tu..?”, garang Pak Halim Badar menyoal.

“Tubuh pencari gaharu. Aku pun nak makan jugak..”, jawab makhluk tu pertahankan diri.

“Setahu aku, badi hutan macam kamu kan makan darah binatang. Dah kenapa nak tukar selera pulak ni..?!”, tanya lagi Pak Halim Badar. Nada dan gayanya tidak sedikit pun menunjukkan tanda gentar. Tak macam Ambo dan Abang Nar, kami masa tu dan hilang kata, perut pun rasa tak kena. Apatah lagi bau busuk makhluk tu yang kuat sungguh mencengkam hidung.

“Aku baru tahu darah manusia lagi sedap.. Aku memang tak akan lepaskan korang bertiga. hahahahah….”, bergema seram suasana malam bila makhluk itu ketawa.

Perlahan-lahan Pak Halim berbisik pada kami, “Kalau nak tunggu, jawabnya lepas Subuh baru kita boleh gerak ni. Tak ada cara lain, kena lawan jugak nampaknya…”.

“Nak lawan guano…?”, tanya Abang Nar.

“Macam ni.. Masa Pak keluar lawan dia, Kirin ngan Abang Nar gi potong akar rimpang yang melintang kat batang pokok tu”, kata Pak Halim Badar sambil muncung mulutnya dihala ke arah pokok yang dimaksudkan.

“Lepas tu..?”, tak sabar pula Ambo nak buat kerja. Takut pun ada sebenarnya. Tapi buat-buat berani..

“Lepas potong tu, baca ayat ‘Afahasibtum’ 3x. Tiup biar rata pangkal hingga hulu. Bila nampak benda tu dah lalai, serang dari belakang. Belit molek… boleh?”, panjang lebar juga Pak Halim Badar memberi arahan.

Ambo dan Abang Nar cuma mampu mengangguk. Pada keadaan begitu, mampu atau tidak arahan itu dibuat tetap kena pastikan mampu juga. Gunalah apa cara sekalipun.

Pak Halim Badar keluarkan parang dari sarungnya. Kemudian di ambil air liurnya di lelangit mulut dan dicolet pada tanah. Jari telunjuk yang berdebu tanah itu kemudiannya dijadikan pena lakaran pada tepi besi parangnya. Dilakar tulisan Bismillah dalam bahasa arab tanpa baris. Kemudian, dia melakar pula perkataan Ya Jabbar, juga dalam tulisan Arab di hujungnya. Ditiup-tiup pada lakaran itu hingga tampak kering. Parang itu sedia digenggam erat di tangan kanan. Tangan kirinya pula masih memegang kayu tongkat yang dipotongnya tadi.

Pak Halim Badar melompat tinggi ke sisi hadapan kami. Dalam sedang gah memasang kuda-kuda, sempat dia menjeling pada kami, “hati-hati.. Jangan lupa zikir..”, pesan Pak Halim Badar pada kami berdua.

Tanpa banyak soal, makhluk itu bangun menyerang Pak Halim Badar. Tangannya cuba mencekik leher tetapi dengan mudah ditempis Pak Halim Badar. Lagak guru silat tua itu hanya seperti menempis angin. Tersungkur makhluk itu ke tanah.

Ambo dan Abang Nar lekas mengambil peluang yang ada. Kami segera ke pokok yang ditunjukkan Pak Halim Badar tadi. Ambo memotong akar di bahagian hulu, manakala hilirnya dipotong Abang Nar.

“Siapa nak baca ni..? Abang Nar lah baca…”, kata Ambo pada Abang Nar bila akar rimpang siap dipotong.

“ish.. Kirin lah baca.. Budok-budok kurang dosa berbanding orang tua…,”berhujah pula Abang Nar memberi alasan. Sempat lagi nak ponteng tugas.

“Pulok….?”.

Terus Ambo pegang rotan rimpang itu tanpa berlengah. Masa tu baru nak berhujah sapa yang layak, tak kemana siap kerjanya. Sepertimana arahan Pak Halim Badar, Ambo bacakan 2 ayat terakhir dalam surah Al-Taubah sebanyak 3 kali. Kemudian Ambo tiup rata seluruh akar rimpang tersebut. Semasa membacanya, Ambo bayangkan secara makrifat keadaan akar rimpang itu bercahaya nur terang.

Ketika Pak Halim Badar sibuk berpencak dengan makhluk itu, Ambo dan Abang Nar memberi jelingan mata tanda sudah bersedia untuk tugasan seterusnya. Makhluk itu nampaknya tidak nampak letih sekalipun banyak kali jatuh tersungkur akibat elakkan lawan. Ketika kedudukan kami membelakangkan makhluk itu, Pak Halim Badar berteriak pada kami, “sekarang..!”.

Lantas Ambo maju ke sebelah kanan makhluk itu, manakala Abang Nar pula di sebelah kiri. Bila kami gerak bersilang, makhluk itu sudah terikat dengan akar rimpang tersebut. Waktu itulah Pak Halim Badar tidak melepaskan peluang mengetuk kepala makhluk itu dengan belakang parangnya. Hanya dengan sekali hentak, makhluk itu rebah ke bumi.

Tak lama kemudian, kelihatan asap hitam halus keluar dari kepalanya.Asap itu halus beralun terbang lari dari kami bertiga. Jasad yang asalnya nampak berdaging, lama-kelamaan semakin kering dan timbul tulang-tulang dalam kulitnya. Lebih meloyakan bila keluar pula ulat-ulat mayat dari rongga telinga, hidung, mulut dan pusatnya. Melintuk-lintuk keluar ulat itu jatuh ke tanah.

Abang Nar yang tidak tahan melihatnya muntah di perdu pokok. Berasa jijik sungguh dengan apa yang dilihat.

“Betul ke mayat orang ni Pak..?”, soal Ambo pada Pak Halim Badar.

Dia mengangguk. ”Kalau tak mayat orang Siam,orang Burma. Mati lama dah ni.. Tengok ada tattoo kat dadanya tu…”, sambil ditunjukkan tattoo pada dada mayat itu yang kini semakin banyak tulang dari daging.

“Takkan nak tinggal sini jer mayat ni Pak..?”, soal Ambo ragu-ragu.

“Tak apa.. nanti balik tak ada dah mayat ni..”, kata Pak Halim Badar tersenyum. Jawapan itu Ambo anggukkan saja. Pada pendapat Ambo, Pak Halim Badar lebih tahu.

Selesai kami menutup mayat itu dengan daun-daun pokok Tepus yang banyak tumbuh di sekitar kami tu, kami teruskan lagi pendakian ke puncak gunung.

Kata Pak Halim Badar, apa yang kami lihat dan alami tadi tu bukannya dalam dunia nyata. Itulah dia permainan alam ghaib yang misteri untuk difikir dek akal manusia. Badi Hutan tu memang sebenarnya sukakan darah. Biasanya, mereka yang nyawa-nyawa ikan akibat kecederaan dalam hutan akan dirasuknya. Kemudian jasad itu dengan sendirinya akan dijatuhkan ke dalam gaung atau batu besar. Darah-darah yang mengalir keluar dari tubuh tu akan dihisap hingga tubuh menjadi kecur. Biasanya hanya seminggu jasad rasukan badi hutan boleh ditumpang. Selepas itu, mangsa lain pula akan dicari.

Mengikut Pak Halim Badar, perjalanan kami tinggal dalam setengah jam saja lagi. Sebelum sampai di tempat sahabatnya tu, ada pintu gerbang besar yang perlu kami lalui.

“Ingat ya.. Kalau nampak anak dara, jangan sesekali senyum pada mereka. Kan tak pasal-pasal kena kahwin dan tak boleh balik..”, pesan Pak Halim Badar pada kami berdua sambil tersenyum.

bersambung… Part 3

MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.