Hikayat Rawatan...
Wali Air; Panglimun Hj. Taslim
Part 5 (Akhir)
******************************
Suara azan laungan Pak Halim
Badar bergema dalam ruang Gua Mat Hasan. Badi hutan yang merasuk lelaki Kemboja
itu telah berasa getaran hikmah azan yang didengarinya. Namun begitu, bukan
mudah dia mengalah. Walaupun beberapa kali cubaan untuk mara menyerang Pak
Halim Badar gagal, dia cuba pula melempar parang di tangannya.
Nyaris pusingan parang yang
dilempar mengena bahu kanan Pak Halim Badar. Walaupun sedang mengelak, laungan
azan tetap diteruskan. Setelah cubaan serangan itu turut gagal, makhluk itu cuba
pula membaling batu yang dikutip di lantai gua.
Ambo dan Abang Nar masih ‘bertiang
tebing’ di sisi mulut Gua Mat Hasan. Bila diperhatikan pertempuran di antara Pak
Halim Badar dan Badi Hutan itu, sememangnya nampak sengit. Cuma yang menjadi
hairan pada kami bila batu besar yang dilempar pada Pak Halim Badar menjadi
debu pasir saja bila mengena tubuh badan.
“Mu guno ilmu gapo ni hah..?!
Celako sungguh..!”, sumpah seranah Badi Hutan itu pada Pak Halim Badar.
Tidak sedikit pun dilayan
bebelan Badin Hutan itu. Lengkap melaungkan azan hingga 7 ulangan, Pak Halim
Badar menyeret kakinya mengelilingi Badi Hutan tersebut hingga membentuk garis
bulatan pasir. Bila bertemu di tempat
mula, maka dibaca Mantera Bakar dengan disudahi dengan petikan sebilangan ayat
dari surah Ali-Imran ayat 181 sebanyak 7 kali.
“Hay Malik ‘Alaihissalam,
Titih payung bersambung
Jibril,
Diberi api turun ke bumi,
Namun tak padan tanggungnya
alam,
Walau terendam 70 kolam,
Masih bersisa bara menyala,
Cukup la bakar di atas dunia,
yang lain biar di alam baqa’.
Bakar..bakar..bakar,
hancur zat isi dan badan,
berkat Lailahaillah
Muhammadurrasulallah”
WANAKU-LUU ZUU-KU AZA-BAL
HARIIQ - 7x
Maka terlaung-launglah si Badi
Hutan menahan kesakitan. Badan yang ditumpang pada asalnya cerah mulai hitam
kemerahan hingga akhirnya mengeras hangus. Sesudah itu, kelihatan segumpal asap
hitam keluar melalui umbun si mayat. Namun, gumpalan asap itu terkurung dalam
bulatan batin yang telah dijampi Pak Halim Badar. Bagai menempuh dinding, berkali-kali gumpalan
asap itu mencuba keluar.
“Kirin…! Nar…! Masuk sekarang”,
tiba-tiba Pak Halim Badar bersuara. Kata-kata itu sememangnya ditujukan pada
kami berdua. Tanpa berlengah, kami bergegas masuk ke dalam Gua Mat Hasan dan
mengadap Pak Halim Badar.
“Nampak tu..?”, tanya Pak
Halim Badar sambil muncung mulutnya menghala ke arah gumpalan asap tersebut.
Walaupun hanya bertemankan lampu kepala, ruang dalaman Gua Mat Hasan cukup
terang kerana turut dibantu bias cahaya bulan terang di luar gua.
“Nampak.. Rasanya tu ‘ibu’
Badi Hutan tu kan.?, jawab Ambo meneka.
Pak Halim Badar mengangguk
beberapa kali. Diminta berikan botol air bekalan pada Abang Nar. Sebaik saja
botol air berpindah tangan, Pak Halim Badar meneguk habis air di dalamnya. Sendawa
juga dia beberapa kali kerana kenyang air senafas minum.
Dibaca pula Al-Fatihah,
Al-Ikhlas, Ayatul Qursi dan Yasin ayat 9 pada botol itu. Badan botol di pegang
di tangan kanan manakala penutupya di tangan kiri. Kemudian, tapak tangan kiri
itu dihala arah gumpalan asap hitam tersebut sambil membaca LAHUL HUQMU WAILAI
TURJA’UN sebanyak beberapa kali. Secara perlahan-lahan, tangan kiri Pak Halim
Badar melintasi garisan bulatan hingga sebahagian tangannya menggenggam
gumpalan asap hitam tersebut.
Muncung mulut botol di tangan
kanannya dirapatkan ke genggaman tangan kiri. Secara beransur-ansur, gumpalan
asap hitam itu ditolak masuk ke dalam botol hingga tiada lagi bersisa di
luarnya. Pantas PaK Halim Badar menutup lubang botol dengan tudungnya dan
diletakkan di tanah.
“Nak buat apa lagi lepas ni
Pak Halim..? Geng Hj. Taslim macam mana pula?”, tanya Ambo bertalu-talu.
“Okay dah ni. Selesai dah. ‘Ibu’
badi ni kita tangkap dah, maka yang lain pun akan lemah sama. Nak hapus ‘ibu’
ni kena tunggu Hj. Taslim. Nanti tahulah kenapa gelarannya Wali Air”, tersenyum
Pak Halim Badar menjawab.
******************************
WALI AIR
“ Assalamualaikum ”, Hj.
Taslim mengucap salam pada kami bertiga. Seperti yang dijanjikan, pertemuan
kami itu dilakukan di tebing Sungai Cakah Dua. Kelihatan anak-anak buah Hj.
Taslim memegang pangsi buluh yang berbalut di hujungnya.
Pada hemat ambo, pangsi buluh
itu adalah kurungan Badi-badi hutan yang ditangkap sebagaimana yang Pak Halim
Badar lakukan pada botol air minuman tadi.
“Dah selesai semuanya?”, tanya
Pak Halim Badar pada Hj. Taslim.
“Alhamdulillah. Tunggu tugas
akhir saja lagi. Moga dimudahkan..”, tenang jawab Hj. Taslim.
“Amin”, serentak Pak Halim
Badar dan anak-anak buah Hj. Taslim membalas. Ambo dan Abang Nar yang masih
terpinga-pinga ketika itu turut mengaminkan tanpa tahu apa tindakan Hj. Taslim
selanjutnya. Masih berteka-teki dengan apa yang
berlaku.
Hj. Taslim menyilang paha,
duduk rapat ditebing Sungai Cakah Dua. Sambil berkumat-kumit membaca,
dicelupkan tangan kanan ke dalam air sungai separas buku lali itu. Ambo
cuba-cuba juga menangkap bacaan yang dibaca Hj. Taslim tapi tidak jelas kerana
bacaannya laju. Hanya bunyi hujung angin saja yang boleh didengar.
Tangan yang mencelup itu
kemudian dipusing-pusing arah tawaf hingga membentuk pusaran air.
Lama-kelamaan, pusaran air itu semakin membesar dan membentuk lohong pusaran
air, luas dan dalam ke dasar tanah sungai. Masa itulah kesemua botol dan pangsi
buluh-buluh kurungan Badi Hutan itu dicampak ke dalamnya. Hanya beberapa saat
saja, pusaran itu kembali mengecil dan aras sungai kembali tenang.
Rupanya, gelaran Wali Air yang
diberikan pada Hj. Taslim adalah kelebihan beliau mampu mengawal aliran air
walau dimana atau apa jua keadaan. Sewaktu dalam perjalanan pulang, Pak Halim
Badar banyak bercerita tentang kelebihan Hj. Taslim pada kami berdua. Pernah
satu ketika musim kemarau, Hj. Taslim pernah mengarahkan air sungai mengalir
naik dari hilir ke hulu hingga airnya dapat digunakan oleh penduduk kampungnya.
Begitulah antara kehebatan
yang Allah berikan pada Hj. Taslim sebagai satu tanda kebesaranNya. Kesemua
kelebihan yang ada, adalah dengan izin Allah SWT semata-mata.
Sekian, Wassalam.
~Tamat