Pengalaman Ghost Tour (16 Februari 2017)

[Pengalaman Ghost Tour (16 Februari 2017)]

Alhamdulillah.. Dengan izin Allah S.W.T, dapat ambo coretkan kisah pengalaman bersama sahabat yang terlibat ketika Program Santai Ghost Tour tempoh hari.

Secara kebetulan, ambo terlintas untuk melihat kalendar Jawa secara online beberapa hari sebelum program. Pada awalnya, tiada sebarang perancangan untuk mengadakan program tersebut. Tapi bila melihat pada tarikh 16 Pahing jatuh pada malam hari Khamis, ambo teringat kepada petua yang diberikan oleh Kiyai Haji Zawali sewaktu ambo berguru dengan Beliau di Pulau Natuna, Indonesia pada awal 2012.

Dari pengalaman yang pernah Beliau alami berkenaan dunia mistik, ada beberapa hari dan tarikh untuk dijadikan rujukan (sebagai petua dan tidak makbul kecuali dengan izin Allah) iaitu:

- Malam Khamis 16 Pahing
Insyaallah, mampu melihat dengan mata kasar akan makhluk halus jika kena pada tempat dan masanya.

- Malam Jumaat Keliwon
Insyaallah, ampuh untuk amalan ‘jarak jauh’.

- Malam Jumaat (apa-apa tarikh)
Insyaallah, mudah untuk rawatan pesakit Lelaki atau serangan pada musuh Lelaki.

- Malam Selasa (apa-apa tarikh)
Insyaallah, mudah untuk rawatan pesakit Wanita atau serangan pada musuh Wanita.

- Selepas Zuhur tanggal 17,19,21 bulan Islam
Insyaallah, makbul kesembuhan jika ikhtiar berubat

.. dan banyak lagi petua yang tidak ingin ambo kupas pada kali ini. Lain masa, Insyaallah... Jumpa di Seminar Ilmu Petua Nusantara – Part 2..

Ketika sesi perkongsiaan ilmu petua tersebut, Kiyai sangat menekankan ingatan akidah agar ambo tidak lari daripada Syariat. Kata Kiyai lagi, adalah HARAM untuk kita percaya kepada hari, namun akan rahsia khasiatnya, dibolehkan ikhtiar seiring petua kerana yang menciptakan hari itu pun adalah Allah jua.

Kiyai juga mengatakan bahawa setiap apa yang Allah cipta, ianya bukan omongan. Pasti ada rahsia dan kebaikan untuk penghuni alam. Tidakkah kita fikir sejenak.. Kenapa ada 7 hari dalam seminggu? Kenapa diciptakan syurga dan neraka itu 7 lapis semuanya..? Kenapa 7 anggota badan yang menjadi sentuhan dalam sujud..? Kenapa lapisan langit juga 7 lapis..?

Maka sudah tentu ianya punyai rahsia yang tersendiri. Maka terserah pada kita untuk merenung hikmah di sebalik penciptaan tersebut.

Ingin ditegaskan di sini, perkongsiaan ini hanyalah dari pengalaman semata-mata. Maka tiada dalil pun yang akan diketengahkan kerana bukanlah ianya tujuan untuk berhujah, kecuali sebagai sampaian ilmu semata-mata. Sudahnya nanti semoga menjadi panduan sesama kita. Wallahu’alam...

Berbalik kepada topik asal (Ghost Tour), ambo ada juga menerima pertanyaan dan nasihat dari mereka yang agak ‘keras’ mengecam program tersebut. Namun, kali ini tidak lah ambo marah dengan tindakan mereka kerana pendapat yang berlainan juga menunjukkan luasnya ilmu Allah. Antara QA dan pandangan yang ambo terima secara WhatsApp, Messenger dan Talian adalah:

1. “Dah tak ada kerja lain ker nak cari Hantu, ustaz..?”
2. “Kamu ni Ustaz apa dok ajak buat program yang Nabi tak buat..?”
3. “Dah rasa hebat sangat ke sampai Hantu pun nak dicari..?”
4. “Awak ni dulu memang belajar cari Hantu eh..? Bela Jin ke apa awak ni..?”
5. “Dah dah la dok buat kerja syirik macam tu..”
6. “Taubat dah aku tak panggil mu ni Ustaz lepas nih!!! Syirik!”
7. “Ni Tok Bomoh ni..Bukan Ustaz..!”
8. “Apa tujuan Ustaz cari Hantu sebenarnya..? Sy confius lah..”

Dengan serangan sedemikan, Alhamdulillah, ambo masih boleh tersenyum. Sengaja tidak ambo balas pada saat menerima pelbagai komen tersebut kerana semuanya hendak ambo jawab dalam perkongsiaan pada kali ini.. Insyaallah...

Ini jawapannya.... Bismillahirrahmanirrahim,

Tujuan Ghost Tour diadakan adalah kerana untuk tujuan berikut:

1. Untuk melihat sendiri (dengan izin-Nya) makhluk yang Allah jadikan yang juga penghuni isi alam ini. Dengan kagumnya akan penciptaan alam dan isinya, maka mudah-mudahan ianya akan menambah lagi rasa taqarrub dalam diri bahawa kerdilnya kita sebagai manusia di sisi Allah S.W.T

2.  Untuk menghindar sifat Syirik kerana yakin bahawa ‘makhluk halus’ tidak lah punyai kuasa apa-pun berbanding kuasa Allah S.W.T.

3. Untuk menambah rasa berani dan tidak takut kepada makhluk.
*Ada orang, nak masuk bilik air yang rosak lampunya pun penakut sebab gelap.

4. Untuk hubungan silaturrahim sesama sahabat selain program-program yang lain. Kerana itu program Ghost Tour ini tidak dikenakan sebarang bayaran. Self-tools, self-preparation...

5. Untuk menambah pengalaman dan amali ilmu-ilmu petua nusantara.. Semoga ianya menjadi panduan dan bertujuan baik.. Amin..

***************************

Ready dah nak tahu pengalaman kami...???

Jom kita explore...

***************************

Setelah ambo iklankan di FB berkenaan program Ghost Tour nih, seramai 14 orang yang mendaftar nama untuk turut serta. Maka, ambo syaratkan berkumpul di rumah ambo selewatnya jam 10:00 malam untuk taklimat ringkas sebelum program dimulakan.

Namun, hanya 5 orang sahaja yang dapat hadir bila ramai yang batalkan penyertaan di saat-saat akhir. Ada alasan sibuk, takut, was-was dan yang tak bagi alasan pun ada. Ada juga yang tak dapat hadir sebab urusan kerja, namun dihulur wang pada ambo untuk kariah peserta dan belanja minyak kenderaan. Alhamdulillah..

Ketika berkumpul di rumah ambo tu, ambo pesan beberapa pantang larang yang perlu diikuti kerana destinasi yang ingin dituju adalah trak balak dan menyusuri hutan tebal Terengganu. Pantang larang yang diingatkan adalah:

1. Dilarang menyebut nama ‘makhluk halus’ atau binatang.
2. Dilarang menegur sebarang lintasan jika melihatnya.
3. Sentiasa cakna dengan ahli. Buat semakan bilangan ahli dari masa ke semasa.
4. Waspada dengan bau hancing samada kuat / tidak jika terbau.
5. Digalakkan berzikir sepanjang program.
6. Hindari sifat negatif seperti hajat nak dapat nombor ekor, nak tengok harta karun atau hajat dunia yang sewaktu dengannya.
7. Tidak digalakkan melihat terus gambar yang diambil semasa dalam program.
8. Peka dengan arah dan arahan sepanjang program.

Maka, sesudah penerangan ringkas tersebut, kami pun bertolak dengan menuju ke destinasi..


Ketika sampai di laluan masuk Hutan Ayer Puteh, kami terlebih dahulu berdoa dan membuat amalan ‘pagar diri’ untuk ikhtiar dalam doa bagi mengelakkan sebarang bahaya yang mungkin berlaku. Tepat jam 12:00 malam, perjalanan dan pengalaman kami bermula.

Di awal trak laluan, kami disambut dengan salakan anjing hutan. Maka tika itulah sebaiknya segera berdoa agar dijauhkan dari segala bahaya. Niat kami hanya kerana Allah.. dan moga dengan niat tersebut, kami diberkati dan dilindungi Allah.

Ketika melalui selekoh ke-3 dalam trak tersebut, ambo lihat banyak Pokok Kecubung di tepi laluan. Maka, ambo berhenti di situ untuk perkongsiaan petua kepada peserta. Sedang dalam perbincangan, bulu roma ambo naik meremang. Dengan panduan ‘mata batin’, ambo dapat mengesan arah tenaga negatif yang hadir.

Amali Daun Kecubung

Jika dengan mata kasar, akan nampak pancaran warna putih dari salah satu celahan pokok tinggi yang ada di situ. Bila di suluh dengan lampu, cahaya tersebut hilang. Dengan petua Pokok Kecubung inilah, dapat dilihat seorang wanita yang tajam merenung kami dari atas pokok. Itulah dia Pontianak yang juga terkenal dengan jolokan nama Cik Pon. Maka di situ, beberapa gambar di ambil oleh peserta.

Cik Pon

Ghaib bila di suluh dengan lampu

Kami teruskan perjalanan hingga melalui kawasan tanah runtuh. Di situ, 1 lagi entiti dikesan iaitu Lelaki Tua berwajah Hijau. Itulah dia Jembalang Tanah yang disebut-sebut dalam dunia mistik Nusantara.

Jembalang Tanah

Selepas melalui tanah berpagar sebelum tapak lombong bijih timah, kereta yang ambo pandu terasa sangat berat. Walaupun sudah ditukar kepada gear 4WD, kelajuan hanya takat 20km/j sahaja. Pedal kaki minyak juga ditekan habis, namun kelajuannya tetap perlahan. Seakan-akan begitu ramai yang menumpang kereta. Ketika itulah ambo terpandang cermin sisi dan belakang. Rupanya ada 3 Hantu Pocong yang menumpang naik di belakang, duduk bersama 4 peserta yang leka mengambil gambar dalam gelap.

Lokasi ditumpangi Pocong

Dengan berkias, ambo maklum pada sahabat (Amir Faisal) di sebelah tempat duduk pemandu. Kata beliau, elok diamkan saja dahulu kerana khabar sebegitu boleh buat 4 peserta yang duduk di belakang rasa takut. Soal itu akan diuruskan bila sampai di Air Terjun Jeram Tanduk (destinasi akhir) nanti.

Entiti berikutnya adalah Harimau Entot (Harimau Jadian yang tempang 1 kakinya dan boleh terbang). Rilek aja dok intai kami di celahan pokok tinggi. Tidak disedari rupanya tertangkap masuk dalam kamera yang diambil secara rambang.

Harimau Encot

Selepas melepasi gerbang Selamat Datang ke Jeram Tanduk, kami disambut Kupu-kupu coklat sebesar saiz 2 tapak tangan di tengah laluan. Pada masa yang sama, bau seakan-akan bunga Tanjung mula mencuit hidung. Mengikut petua orang lama, itu tandanya sempadan kampung orang Bunian. Maka pantang larang harus dijaga terutamanya niat dan mulut. Nak masuk ‘kampung orang’, kena hormat lah peraturannya...

Di situ, ambo baca Doa Nabi Sulaiman dan mengamalkan Adat Izin. Alhamdulillah, isyarat kebenaran untuk masuk diberi. Maka, kami teruskan perjalanan hingga ke pinggir sungai. Di situ, kami rehat seketika dan mengambil gambar di sekitar kawasan.

Kesan Banjir Besar 2013

Alhamdulillah, geng Pocong yang menumpang di belakang kereta dah tiada masa tiba di destinasi akhir ni. Mungkin dah turun balik rumah agaknya di tengah perjalanan.

Bila melihat Sungai Jeram Tanduk, teringat pula kisah yang diceritakan sendiri kepada ambo oleh pekerja kontrak yang membina prasarana di situ satu ketika dahulu. Kata mereka, 2 kejadian yang berlaku adalah pada waktu tengah hari. Di seberang sungai, mereka lihat ada 5 ekor Gajah Bersayap yang mandi dan kemudian terbang di atas air menuju ke hulu sungai.

Kejadian yang kedua adalah bila hendak solat Zuhur di Surau. Setelah selesai mengambil wudhuk, mereka di sapa beberapa gadis cantik bertudung dan berbaju kurung putih. Hairan juga kerana tiada kenderaan pun yang masuk pada waktu tersebut. Akhirnya, gadis-gadis itu hilang setelah masuk ke hutan. Sebaik mereka beredar, tercium bau yang amat wangi hingga bau peluh keringat di baju mereka hilang serta merta. Dan pakaian tersebut kekal wangi selama beberapa hari. Wallahu’alam..

Setelah puas dengan aktiviti mengambil gambar, kami bergerak pulang. Di tengah perjalanan, sekali lagi kami di ‘tahan’ kupu-kupu besar di tengah jalan. Ketika itulah ambo lihat seorang gadis muda di hadapan kereta. Kerana hal ini mungkin mengundang bahaya, maka ambo turun dari kereta dengan bekal tawakkal dan amalan untuk ‘berbincang’.

Ambo: “Assalamualaikum warahmatullah”.
* Kaki ambo maju 5 langkah ke depan, kemudian 3 langkah ke belakang. Kedua-dua tangan ambo angkat separa wajah (Petua Adat Berbincang).

* Alhamdulillah.. Gadis tersebut menjawab salam penuh.

Ambo: “Kita lalu bukan nak ganggu. Hanya tumpang lalu untuk balik kerana urusan sudah selesai. Janganlah diganggu kami yang ‘seusia balak condong’.

Gadis: “Kita tak marah pun. Cuma nak teman sebab itu tanda kita izin masuk tanah kita. Dah keluar tanah kita, sampai situ ajer kita ikut”.

Ambo: “Oh.. kalau begitu, ianya tiada aral. Alhamdulillah.. Kami balik dulu ya”.

Beberapa kali gadis itu mengangguk sambil tersenyum. Selesai memberi salam, ambo masuk semula dalam kereta dan bergerak pulang. Sepanjang perjalanan balik, ada beberapa Kupu-kupu yang setia mengiring kenderaan kami dan ghaib sebaik saja kami susur keluar ke jalan besar.

Kami berhenti sebentar di tepi jalan untuk Doa Kesyukuran dan membuat amalan 'pencucian batin' agar tiada yang 'ikut pulang' ke rumah. Persediaan amat penting dalam program sebegini.

Destinasi berikutnya adalah kedai makan thailand. Masing-masing dah lapar lepas program. Alhamdulillah, duit sumbangan sahabat semalam dapat digunakan untuk belanja peserta makan dengan menu masing-masing. Sempat juga kami melihat gambar-gambar yang sudah diambil.

Kesimpulannya, objektif program berjaya dengan izin Allah. Entiti yang dapat dilihat dapat anda lihat melalui gambar yang diupload. Cuma kena besarkan sedikit untuk paparan lebih jelas.

Semoga perkongsian ini menjadi panduan untuk semua. Sesungguhnya, ilmu Allah itu sangat luas untuk dijelajahi semuanya. Maka yakinlah bahawa hanya dengan izin Allah, tiada yang mustahil boleh berlaku. Dengan kalam ‘Kun Fayakun’, berfikirlah dengan hati yang terbuka...

Wassalam...

MAKLUMAN

Sila layari blog ini secara Web View walaupun anda melayarinya melalui telefon pintar agar tidak terlepas info penting di sidebar yang disediakan.

Semak Akaun RIDAM yang sahih di sini jika ada urusan bayaran produk dan servis.

Syukran Jazilan.

.