Sedikit perkongsian pengalaman hidup untuk bacaan sahabat sekalian.
Tahun 2016 boleh dikatakan tahun cubaan bagi kita rakyat Malaysia. Majoritinya melibatkan masalah pekerjaan, pengangguran dan tentunya menjejaskan pendapatan isi rumah sekeluarga. Saya juga terkesan dengan masalah ini bilamana ada pesakit yang tidak mampu membuat sebarang bayaran selepas selesai menerima rawatan.
Amnya, mereka yang tahu adab biasanya akan maklum sebelum rawatan dimulakan. Insyaallah, tidaklah cerewet untuk saya berkira. Namun ada juga yang menyuruh dan meminta pelbagai hajat yang rawatannya memerlukan kudrat dan waktu rawat hingga ke awal pagi, namun hanya mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Kiranya hal itu hanya terjadi di pusat rawatan, boleh lah saya abaikan saja. Namun, yang saya agak terkilan bila merawat ke tempat pesakit. Paling kurang tidak mampu untuk membayar upah sekalipun, jangan lah pula dibebankan saya dengan kos petrol kenderaan dan bayaran tol. Sedangkan wang tersebut boleh saya belanjakan untuk keperluan keluarga. Saya juga ada tanggungan anak isteri. Tidak mampu dengan Buat-buat tak faham adalah dua fahaman yag berbeza. Apatah lagi diambil kesempatan sebagaimana pengalaman yang pernah saya alami sebelum ni.
Pernah satu ketika, terdapat 4 kes berturut-turut dalam seminggu, dimana kesemuanya adalah kes gangguan berat. Paling awal saya pulang ke rumah sekitar jam 2 pagi. Ada juga kedengaran azan Subuh baru saya menjejak tanah halaman rumah. Dengan masa tidur yang tidak mencukupi, sakit urat saraf dan keletihan melampau akibat terpaksa bergelut dengan pesakit yang kerasukan dan makhluk ghaib, saya diserang demam keesokkan harinya.
Paginya, anak saya minta duit belanja sekolah (5 orang kesemuanya) dan salah seorang minta duit lawatan sekolah ke Kuala Terengganu. Ya Allah, saya pada ketika itu hanya ada beberapa keping wang syiling dalam dompet. Seingat saya, 4 kes yang saya rawat tidak mendapat sebarang bayaran. Wang yang sedia ada saya buat bayaran petrol, tol dan pembantu yang menemani saya ketika berubat. Memang kelu dibuatnya.
Mujurlah anak-anak memahami. Anak yang minta duit lawatan sekolah terpaksa saya berdalih alasan. Memang nampak riak wajahnya kesedihan. Pagi itu, mereka ke sekolah hanya dengan bekal masakan ibu sahaja. Menitis air mata ketika melihat mereka dihantar isteri ke sekolah dengan tiada wang saku. Allahurabbi…
Pagi itu, saya menerima panggilan telefon seorang pelajar RIDAM.
Student: Asaalamualaikum Ust.
Saya: Waalaikumsalam.
Student: Ust apa khabar? Lama tak aktif facebook. Kenapa?
Saya: Ada.. Cuma demam sikit jer..
Student: Anak-anak semua sihat?
Saya: Anak-anak semua ok…
Student: Ust ok..? Kes rawatan macam mana? Ok?
Saya: Alhamdulillah.. Kes rawatan macam tulah.. Ust kan ikhtiar saja.
Student: Ust jangan tipulah..
Saya: Tipu apanya..?
Student: Ust. Saya kenal ust dah lebih 5 tahun.. Tahu sangat ust tu camana..
Saya: Yelah kenal lama.. Apa yang ust tipu..?
Student: Ust tengah susah sekarang ni kan..? betul tak.?
Saya: Eh.. demam sikit jer.. Biasalah tu.. Ust jarang demam.. Sekali kena memang parah.. Sekali sekala..
Student: Ust.. saya mimpi ust semalam..
Saya: Erm.. mimpi Ust… mimpi yang macam mana?
Student: Saya nampak Ust sekeluarga makan berkongsikan sepinggan nasi saja. Saya menangis dalam mimpi tu hinggalah terjaga terkejut azan Subuh… Betul tak petanda yang saya terima tu Ust..?
*Memang saya ingin iyakan tapi saya malu padanya. Dia ni antara 8 pelajar RIDAM yang begitu ambil berat tentang hal saya. Boleh dikatakan setiap bulan akan bertanya khabar walaupun ringkas.
Saya: Insyaallah.. masih bernafas lagi. Dan tak lagi lah sampai makan macam tu. Masih sepinggan seorang lagi.. Alhamdulillah.
* Saya cuba ketawa bagi menceriakan suasana.
Student: Kalau macam tu tak apalah ust tak mengaku pun. Tapi saya tahu.. Saya nak beredar dulu.. Ada kerja skit kat office. Jaga diri ust yer..
Saya: Aloha… ke situ pulak dia.. Ok lah.. kita sambung lain kali.
Student: Assalamualaikum Ust.
Saya: Waalaikumsalam..
Selepas 15 minit perbualan kami, saya menerima SMS dari pihak Maybank dan nota whatsapp daripada pelajar berkenaan. Rupanya dia dah sumbangkan wang yang mana ianya dapat saya selesaikan bil sewa rumah, elektrik, internet, yuran mengaji anak dan belanja rumah selama sebulan. Sekali lagi air mata saya tumpah. Cuma kali ini menangis kerana syukur. Syukur kerana DIA hadirkan rezekiku melalui hambaNya.
Terus selepas itu saya sujud syukur, solat Dhuha dan solat hajat. Dalam hajat, saya doakan agar dimurahkan rezekinya hingga tiada sikit pun nanti dia akan berasa kurang, dipanjangkan umurnya dan semoga segala urusannya dipermudahkan.
3 hari selepas kejadian, sekali lagi saya menerima SMS dari pihak Maybank dan nota whatsapp daripada pelajar yang sama. Kali ini, alasan dia menyalurkan hadiah adalah kerana tanda syukur dan melunaskan niat. Alhamdulillah, dia telah menerima tawaran kerja yang gaji barunya 3 kali ganda daripada tempat kerja pada masa itu… Gajinya sebelum itu dah 5 angka.. Tekalah sendiri…
Mungkin itulah sebaik-baik balasan pada hambaNya yang bersyukur dan berhati mulia.. Terima kasih pelajarku. Semoga Allah merahmatimu. Ameen.
#promosiminyakketingbesi