Tenang sungguh ku lihat bulan yang hampir penuh di langit tinggi.. Kalau bulan dah penuh betul nanti, bolehlah raya...
Tiba-tiba hati ini berdoa.. "Ya Allah.. izinkan aku terbang ke arah bulan itu.. Aku nak tengok dengan lebih dekat". Walaupun logiknya manusia tidak akan mampu berbuat demikian kecuali pada mereka yang Allah pilih.. Aku ini hanya hambaNya yang biasa, apatah lagi masih lemah berbanding mereka yang Engkau angkat darjatnya.
Dengan tidak semena-mena, badanku berasa ringan. Kakiku terangkat sekaki jaraknya dari tanah tempat aku berdiri. "Subhanallah.. Aku dah boleh terbang..!!!" Pandanganku dihala ke arah bulan yang masih cantik dan pegun di tempatnya. Masih indah sebagaimana pertama kali aku melihatnya. "Bismillahirrahmanirrahim..!!" Aku luncurkan jasadku ke arah bulan tersebut.
Dalam perjalanan itu, aku menempuh lapisan awan langit selapis demi selapis. Wajah bulan semakin hampir. Selepas langit ke-6, aku lihat lapisan yang ke-7 di atasku berwarna merah bayangan. Nipis warna dan lapisannya. Saat itu aku berhenti bila melihat beberapa panah kilat menuju ke arahku. Panah kilat tersebut turut berhenti tatkala aku berdiri terawang-awangan antara dua langit tersebut. Seperti bersedia untuk menyerang andaiku teruskan juga perjalananku.
Kemudian terdengar suara gema dari atas. Aku tahu suara itu ditujukan kepadaku. "Hey Syakirin.. Bukan masanya lagi untuk kamu diizinkan ke sini..!!! Turun dan balik semula...!!"
"Tapi kenapa tak boleh..? Allah dah izin aku ke sini..!! Maknanya aku boleh la..." kataku pada suara gema tersebut tanpa rasa gerun.
"Kau masih lagi ada tanggungjawab.. Buku catatan kamu masih belum penuh!!! Kamu lupakah pada isteri dan 5 orang anak kamu di bawah tu..?.!!", hujah suara gema itu mengusik hatiku. Entah apa keadaan mereka di bawah sana.. Adakah mereka masih boleh teruskan hidup bila aku tiada nanti..? Aku berkaca dalam hati..
Tiba-tiba aku mendengar suara isteriku dari bawah.. "Abang.. bangun Bang.. Bangun sahur.. Anak-anak semua dah bangun.. Cepat lah bang.. Abang.. Abang...".
"Kau dengar tu.. Sudah aku katakan masamu belum sampai.. Baliklah.. Bila sudah tersurat, kau akan dijemput.. Baliklah..." suara gema itu lembut pula memujuk.. Pada masa itu, hatiku juga terpujuk. Lantas aku pusingkan badanku dan meluncur terbang ke bawah.. Aku sudah lupa akan niatku untuk melihat bulan dari dekat. Selapis-demi selapis lapisan awan langit ku tempuh..
Selepas lapisan langit pertama, permukaan tanah dapat ku lihat terutama kawasan rumahku. Berkelipan cahaya neon di setiap rumah dan jalan raya yang ada. Aku tersenyum sendiri. Destinasiku sudah hampir...
Saat jasadku mendekat ke rumahku, aku mula berasa pening.. Pandanganku semakin kelam.. Aku berasa seperti mabuk di pukul ombak..
Badanku berasa digoncangkan beberapa kali.. Sentuhan tangan itu aku tahu adalah dari isteriku. "Abang... dah dekat pukul 5 pagi dah ni.. Bangun sahur Bang... apasal liat pulak pagi ni..? Biasa senang jer..".
Bila aku mendengal ngomelan itu, aku tersenyum. Itulah dia isteriku yang sangat aku sayangi. Aku membuka mata dan menggeliat beberapa kali di depannya. Bila melihat aku sudah terjaga, dia memegang tanganku, dipimpinnya aku dengan lembut menuju ke meja makan. Aku hanya mengekor manja. Suka melihat anak-anak sudah tersedia mengadap makanan untuk bersahur..
"Eh Abang... basuh muka dulu.. gosok gigi dulu.. Cepatlah, kitorang tunggu.." kata Isteriku dalam perintah tapi masih lembut dan penyayang.. Aku ke bilik air.. Dalam langkahku itu, aku teringat pengalamanku sebentar tadi...
Adakah ia nyata..? Atau ia sekadar mimpi..? Kenapa pula berlaku di malam ganjil akhir Ramadhan...?
Wallahu'alam
Sekian,
darulmanzil